Thursday, February 25, 2010

[ciNta si TuK4Ng kEbUN]

           "Jadi, ni lah kerja kau selama mana aku keluar outstation! Harapkan pagar, pagar makan padi. Tak guna!!!" Deras suara tuan rumah bagaikan halilintar membelah sepi malam yang semakin larut. Matanya dijegilkan pada susuk tubuh tukang kebun yang terhenyuk di sofa seolah-olah ingin ditelan. Ekor matanya dapat menangkap sekujur tubuh isterinya yang masih tidak sedarkan diri.


            "Ma..maafkan saya tu... tuan. Saya tak...tak bermaksud macam tu." Rayu si tukang kebun cuba membela diri. Peluh dingin memercik di dahinya. Selama dia sepuluh tahun dia berkhidmat dengan tuan besar, baru malam ini dia dapat melihat sisi baran tuannya. Dia benar terkejut. Benar takut.


           "Maaf? Kau ingat aku buta? Kau ingat aku tak nampak apa yang kau cuba buat pada isteri aku?" marah tuan besar makin marak. Tangannya yang menggigil dikepalkan. Sedia untuk dilayangkan bila-bila masa.


             "Tapi tu..tuan, ini hanya salah faham. Saya memang tak bermaksud macam tu dengan cik puan. Saya berani bersumpah atas nama Tuhan." Kali ini tukang kebun cuba bangun dari duduk. Dia cuba meleraikan kekusutan yang berlaku antara dia dan tuannya.


             Belum sempat dia berdiri merapati tuan besar, satu tumbukan padu hinggap di muka. Tepat mengenai hidungnya. Dia merasakan ada cecair panas mengalir keluar. Darah!


            "Tuan..." belum sempat tukang kebun habis berbicara, satu lagi tumbukan singgah diperutnya. Dia tertunduk menahan kesakitan. Sakit yang belum pernah dia rasakan sebelum ini. Tuan rumah masih belum puas, direnggusnya kolar tukang kebun dengan kasar. Dia ingin melepaskan hajatnya. Tuan rumah bagaikan dirasuk. Matanya kemerahan. Dia mengangkat dan menghayun penumbuknya tinggi-tinggi.


           "Papa!!! Apa yang papa dah buat kat uncle Shafiq? Uncle buat salah apa?." Terdengar satu suara dari belakang. Cepat-cepat tuan rumah berpaling untuk melihat. Kelibat dua anaknya yang baru pulang dari menghadiri majlis makan malam menghentikan segala perbuatannnya. Tuan rumah bingkas, kolar baju tukang kebun dilepaskan. Tukang kebun yang masih kesakitan ditolaknya ke lantai. Lelaki itu mengerang.


           "Azie, Fatimah..." panggil tuan besar. Suaranya tersekat di halkum.


           "Apa yang papa dah buat ni? Kenapa papa jadi macam ni? Azie, anaknya yang sulung merapati. Seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat papanya berkasar dengan sesiapa. Tetapi malam ini, papanya berlainan sekali. Hatinya yang melonjak girang bilamana mengetahui papanya yang baru pulang dari Dubai hampir luluh pabila melihat apa yang terjadi sebentar tadi. Papanya kini kaki pukul. Ada butir jernih yang bergenang di lopak mata.


            "Kakak!!!, mama..." kali ini Fatimah bersuara. Jarinya ditudingkan ke satu arah. Alangkah terkejut mereka melihat sekujur tubuh yang pengsan tidak sedarkan diri. Mata mereka dibuntangkan. Azie dan Fatimah berlari mendapatkan mama mereka yang terjelopok di lantai berdekatan dengan sofa.

           "Papa bukan papa kami. Papa bukan papa kami!!!" kedua beradik itu meraung sekuat hati. Mereka berdiri menjauhi.


          "Papa jahat!!! Papa pukul mama! Papa pukul uncle Shafiq! Papa jahat!!!" kedua beradik itu kembali menjerit sekuat hati bersama esak tangis yang semakin menggila. Sekujur tubuh mama mereka dakap bersama.

         "Maafkan papa. Maafkan papa anakku..." tuan rumah cuba merayu. Dia cuba meraih simpati          anak-anaknya.


          "Papa pergi dari sini!!! Papa pergi. Kami tak nak tengok muka papa kat sini. Papa pergi!!!" jerit Azie. Kali ini dia tidak dapat membendung rasa sakit hati dan benci pada papa yang selama ini menjadi idola dia dan adiknnya sejak kecil. Papa yang selalu sabar dengan keletah dia dan adiknya yang pelbagai. Papa yang sanggup menemani saat guruh dan halilintar menyambar.


           Tuan rumah masih berdiri. Tubir matanya tidak lagi mampu menampung air mata yang semakin memberat. Dia cuba menyeka juraian airmata dari gugur kebumi. Namun, air mata lelakinya gugur jua. Dia menangis. Tidak disangka, tindakannya untuk membela nasib keluarga disalah-erti anak sendiri.


           "Azie, Fatimah...Bukan...bukan pa..papa yang pukul mama. Mama pengsan tadi. Uncle cuba nak tolong. Tapi..." kedengaran satu suara dari satu sudut. Azie, Fatimah dan tuan rumah segera berpaling. Tukang kebun yang masih cedera cuba menjelaskan segala. Dia masih menahan kesakitan yang masih bersisa. Darah merah yang mengalir keluar dari rongga hidung disekanya dengan ibu jari.


           Tukang kebun cuba mengimbau kembali apa yang berlaku.


           PRANG!!!!


         Kedengaran bunyi derapan kaca yang terhempas. Tukang kebun cepat-cepat berlari masuk kedalam rumah. Matanya melilau-lilau mencari-cari dari mana datangnya bunyi tadi. Jumpa. Alangkah terperanjatnya dia bilamana melihat sekujur tubuh yang terbaring kaku di kaki sofa.


          "Masya-Allah!!! Puan, apa dah jadi ni?" tukang kebun kaget. Serpihan kaca yang bertaburan di lantai masih berselerakan. Tukang kebun cuba mebantu. Dia membersihkan serpihan-serpihan kaca dan meletakkannya di satu sudut. Penuh berhati-hati.


           "Puan..." tukang kebun cuba mengejutkan puan rumah. Tiada reaksi. Sekujur tubuh masih lagi kaku tanpa meberikan sebarang respons.


            "Bibik!!!" jerit tukang kebun. Suaranya lantang dan boleh didengari hingga ke ruang belakang rumah.


             "Bibik!!! Dia mengulangi. Menjerit memanggil nama pembantu rumah yang hampir seusia dengannya. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.


             "Ya Allah, bibik kan cuti..." tukang kebun bermonolog sendirian. Dia menggaru dahinya yang tidak gatal. Pembantu rumah itu telah memohon cuti untuk beberapa hari atas hal yang tidak dapat dielakkan. Pemandu pula keluar mengambil anak-anak tuan rumah yang menghadiri makan malam.


           "Puan..." tukang kebun cuba memanggil sekali lagi. Masih tiada reaksi. Wajah puan kelihatan pucat lesi.


           Akhirnya tukang kebun membuat keputusan untuk mengangkat puan untuk dibawa ke hospital. Hanya itu caranya. Ketika cuba menganggkat puan rumah itulah dia disergah dari arah belakang. Dia mengenali suara itu seraya berpaling. Dia melihat wajah bengis tuan rumah sarat menyorotinya. Dia berdiri menghadap tuan rumah dan tika itulah dia ditendang dan jatuh terperosok ke sofa.


           "Tapi papa dah salah anggap. Papa pukul Uncle Shafiq sebelum sempat Uncle Shafiq jelaskan semuanya. Papa ingat uncle nak apa-apakan mama. Papa yang salah." Ucap tuan rumah. Dia kesal dengan perbuatannya yang menyerang tanpa usul periksa.


           "Tuan tak salah..."


           "Tapi saya da lukai hati anak-anak saya, dan mungkin isteri saya. Saya dah takutkan mereka semua." Getus tuan rumah lagi memotong kata tukang kebun. Dia tidak dapat menahan perasaan sebak yang menggila. Tangisnya terus-terusan meraja.


           "Maafkan papa..." tuan rumah lantas berpusing dan melangkah keluar. Mungkin dengan cara itu dia dapat menenangkan kedua anak kesayangannya. Dan mungkin dengan cara itu juga dia dapat menebus segala kesalahan yang telah dia lakukan.


            "Papa!!!" serentak Fatimah dan Azie berlari mendapatkan papa mereka. Mereka memeluk lengan papa seerat mungkin.


           "Jangan tinggalkan kami..." tutur Azie dalam esaknya.


           "Kami sayangkan Papa." Giliran Fatimah pula bersuara. Sepertimana kakanya, Fatimah juga tenggelam dalam esak tangisnya yang masih belum reda.


           Tuan rumah mengelus rambut kedua anaknya dan kemudian mengucup ubun-ubun mereka bergilir-gilir. Rasa kasih dan sayangnya tertumpah di situ. Dia benar menyayangi dan mengasihi kedua anaknya. Seketika, tuan rumah mendakap kedua anaknya erat.


           "Maafkan papa. Papa sayangkan kamu berdua. Azie, Fatimah maafkan papa." Kendur suara tuan rumah meminta maaf. Tukang kebun hanya menyaksikan drama keluarga itu dari jauh. Dia meleretkan senyum bahagia melihat keakraban dan kasih sayang yang terjalin antara ahli keluarga tuan tumahnya. Kadangkala timbul rasa cemburu dalam hati. Namun semua itu hilang bilamana kasih sayang itu juga tumpah padanya. Hampir sama. Perlahan, airmatanya menitis.


           "Abang Shafiq ok?" Shafiq mengangkat muka. Azie duduk melutut betul-betul di hadapannya. Mata bening Azie ditatapnya. Mata bening itulah yang telah sekian lama memukau hatinya dan pemilik mata bening itulah yang juga telah mencuri hatinya.


          "Em...ok. Sikit je." Balas Shafiq.


           "Darah tu..." ada riak bimbang di raut wajah Azie. Dia melihat kelibat papa dan adiknya berjalan bergandingan menuju ke arah mama yang sedari tadi tidak sedarkan diri. Dengan pantas, papanya merangkul erat mama dan mengucup ubun-ubunnya.


            Azie kembali berpalin menatap wajah Shafiq. Kali ini dia cuba menyeka linangan airmata yang gugur dari tubir mata Shafiq. Namun pantas Shafiq menghalang. Dia mengenggam tangan Azie erat. Lembut. Kesakitan yang ditanggung seolah hilang. Shafiq terbuai oleh pesona kecantikan dan keayuan yang terpancar pada wajah Azie. Tangannya masih menggengam erat tangan Azie dan membawa ke dadanya.


         "Woi...kau ni kenapa? Dah buang tabiat nak mampus ke apa? Tangan aku yang sekasar kulit kayu ni pun kau boleh angau?" jerkah satu suara. Shafiq terpempan. Cepat-cepat dia melepaskan genggaman tangan. Kamarul menarik tangannya kembali.


        "Eh...Eh, Kam...silap. Sori Kam..." Shafiq malu sendiri. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Kelibat Azie hilang dari pandangan. Kamarul yang duduk di hadapannya memandang penuh hairan.


         "Ey..apa da...kau ok ke Fiq." tungkas Kamarul. Dia pelik melihat tingkah laku kawannya itu.


          "Aku mimpi..." ujar Shafiq dalam hilai tawa.


         " Apa maksud kau?" tambah Kamarul lagi.


         "Aku mimpi aku jadi tukang kebun kau. Kau belasah aku sebab kau ingat aku ada skandal dengan isteri kau." Shafiq bersungguh-sungguh memulakan cerita. Cermin matanya dibetulkan.


         "Habis tu yang kau pegang tangan aku, kenapa???"


         "Aku syok kat anak kau. Tu yang aku bantai pegang tangan kau tadi. Aku ingatkan tangan anak kau. Sekali kulit kayu lah..." Shafiq mencebik.


         "Siapa anak aku?"

         "Azie..." pantas Shafiq menjawab.


         "Lalalalala...." Kamarul menekup kedua telinganya dengan tapak tangan. Dia malas melayan karenah Shafiq yang padanya mereng dan sedikit senget dan memerlukan talaan semula. Kamarul berlalu meninggalkan Shafiq yang masih bersungguh-sungguh bercerita.


          "Kam, tunggu. Aku tak habis cerita lagi." Shafiq membontoti Kamarul dari belakang. Mereka berjalan beriringan. Tawa Shafiq masih lagi bersisa. Serentak mereka ketawa bersama.

2 comments:

  1. suka ending cerita ni..pusing emosi pambaca secara tiba2..bagus!!

    ReplyDelete
  2. adik x sabar mahu baca episod 2~~ papa, hayaku2~~

    ReplyDelete