Saturday, November 3, 2012

KTK Chapter 1

"Kita putus!!!" 

Talian dimatikan.

Jari-jemari berlari menekan-nekan nombor yang melekat pada pad kekunci. Sepuluh digit yang tertera di skrin telefon sekali lagi direnung, sambil mulutnya kumat kumit mengucapkan sesuatu. Mungkin memastikan nombor yang dipanggil bertepatan bagi mengelakkan timbul masalah di masa depan. Kesilapan mendail nombor orang yang tidak dikenali bukanlah perkara yang boleh dibangga-banggakan. Kesilapan begitu boleh memberi kesan dan impak yang besar.

Mana tidaknya, jika sudah beria-ia bersembang dengan tangan yang tak boleh duduk diam tanpa sempat mengutus salam tiba-tiba kedengaran suara dari balik sana talian tenang mengucapkan, "Maaf ye cik, adik/abang salah nombor ni...Saya bukan si polan bin/binti si polan." Bukankah itu sesuatu yang memalukan?
Jadi, berhati-hati ketika mendail itu perlu. Jangan terlalu rigid pada jalanraya semata.

Setelah dipastikan nombor yang tertera di skrin adalah nombor yang dimaksudkan, pad kekunci bewarna hijau ditekan penuh gaya dan keterampilan. 

Tidak menunggu lama, hanya beberapa saat cuma tanpa perlu membuat cubaan kedua, ketiga, keempat ataupun seterusnya, panggilan itu kini bersambung. 

Nafas ditarik dalam-dalam. "Kita putus!" Sama seperti sebelumnya, hanya ucapan itu yang diulang, pendek dan tegas. Tapi ucapan itu bukan dilafazkan pada individu yang sama.

Talian telefon kemudian dimatikan bersama segumpal nafas yang tadinya menyesakkan. Kedua kelopak matanya dipejam. Nafas kembali ditarik dalam-dalam memenuhi ruang pernafasan. Dia cuba untuk mengumpul kekuatan. Ini adalah apa yang dia inginkan. 

Kelopak mata dibuka. Kekuatan yang tadinya ditagih semacam datang bersama silau cahaya yang datang berlumba-lumba menerjah ruang kornea. 

Selang beberapa minit, ibu jari kirinya sekali lagi kembali galak berlari di pad kekunci Nokia 5610 Xpress Music rona hitam merah. Punat hijau sebelah kiri sekali lagi ditekan. Telefon bimbit kemudian diangkat selaras dengan telinga sebelah kiri dan dilekapkan hampir di cuping telinga. Perlakuan yang hampir sama seperti sebelumnya.

Talian bersambung.

Belum sempat satu suara di hujung talian sana mengalunkan suara menjawab panggilan, pantas si pemanggil menyatakan tujuan. "Kita putus!!! Saya tak nak ada apa-apa hubungan istimewa dengan lagi. Anggap saja kita tak ada jodoh." kali ini butir kata yang keluar dari mulutnya sedikit panjang. Tidak seperti tadi, pendek dan tidak punya huraian dan penjelasan. Betapa konsep WH Question tidak begitu dititik beratkan.
Tuutttt... Bunyi talian telefon yang telah dimatikan bergema masuk menyapa koklea sebelum berdenting di gegendang telinga.

Sama seperti sebelumnya, si pemanggil tidak sedikit pun memberi ruang untuk yang dipanggil menyoal balas. Talian telah pun dimatikan sejurus menuturkan kata. Dia tidak mahu rasa simpati dan bersalah menguasai diri. Takut kalau rasa-rasa itu akan mempengaruhi setiap apa yang telah dirancang. Bukan mudah untuk dia membuat keputusan sepertimana yang dia lakukan sekarang. Berbulan masa yang diambil sebelum membuat keputusan yang besar sepertimana yang dia lakukan sekarang.

Suasana hening.

Hanya kelihatan beberapa ekor semut hitam yang sibuk memikul barang makanan berupa serdak biskut jagung cap ping pong dan beberapa ketul gula yang jatuh bertebaran lantai kembali ke sarang buat santapan permaisuri mereka. Sesekali semut-semut itu melagakan sesungut sesama mereka yang datang dari arah bertentangan. Itu cara mereka berkomunikasi, kata saintis. Sedikitpun semut-semut itu tidak menghiraukan si dia yang sdang berduka lara di bilik bujang yang disewa yang luasnya hanya sekangkang kera.

Kelantangan suara G-Dragon dari kumpulan Big Bang mengalunkan lagu Tonight yang dijadikan sebagai caller ringtone langsung tidak diendahkan. Tertera di skrin nama pemanggil yang membuat panggilan. Berturutan. Tapi tidak ada satu pun dari panggilan yang masuk dilayan. Dibiarkan sahaja sehingga panggilan itu mati sendiri.


 notakaki : menulis dari laut memang bnyk karenah.

No comments:

Post a Comment