Wednesday, February 16, 2011

[RaSA]

          "Der, wa rasa wa bukan yang terbaik tuk lu la der. Ramai lagi minah cun kat luar sana yang jauh lagi cun dari wa queue nak dapatkan lu der. Wa rasa wa memang tak seswai untuk lu..." Ujar si gadis lembut, cuba untuk memberikan penjelasan kenapa dia perlu berundur. 

          Di hujung talian, seorang brader hanya tunduk meraup muka.  Tidak berdaya untuk mendengar hujah selanjutnya. Walau berkali cuba si brader cuba jelaskan yang dia adalah brader yang biasa-biasa yang mendambakan seorang gadis bagi menjadi suri dalam hidupnya, ianya masih tidak dapat diterima oleh si gadis kerana merasakan dia tidak layak bergandingan bersama brader. Dia meletakkan sisi brader itu pada satu aras yang terlalu tinggi dan istimewa. Hingga dia sendiri jadi takut untuk menerima. 

          Berbeza dengan si brader, dia merasakan dirinya bukanlah brader yang luar biasa sepertimana digembar-gemburkan oleh si gadis yang dicinta. Dia juga manusia biasa yang bisa tersadung langkah ada kalanya. 

          Si brader jadi buntu.

          Mengapa ini semua berlaku?

          Brader itu sendiri tidak tahu. 

Pernah berada dalam situasi di atas? 

.........

Ini adalah sebahagian dari cebisan cerita cinta yang berlangsung di pentas dunia. Hidup ini adalah platform untuk kita diduga. Ada naik dan ada turunnya. 

Jadi, apa yang perlu anda buat?

Ambil MASA dan beri MASA

Ambil masa untuk kita mengenal hati dan budi si dia. Itu adalah terapi terbaik yang akan membuka lembaran baru dalam hidup anda. 

Ambil masa untuk anda mengatasi kelemahan dan cuba untuk perbaiki diri anda.

Ambil masa, kerana ia boleh mencipta suasana. 

Biar RINDU tercipta.

Biar SAYANG mengulit jiwa.

Beri masa untuk kita dan dia saling mengenali.

Beri masa untuk kita dan dia saling muhasabah diri.

Beri masa, kerana ia akan mewujudkan suasana harmoni

Beri masa, kerana ia akan membentuk masyarakat madani

Percaya atau tidak, masa adalah kunci segala. Masa adalah penentu semua. Dan maasa untuk mengenal pasangan sebenarnya tidak terbatas, dalam erti kata lain infiniti. Anda perlu sentiasa menyelami hati dan budi. Jangan pernah berpuas hati. Takut anda menyesal di kemudian hari. Jumlah masa bukanlah tiket untuk anda mendabik dada menyatakan bahawa anda sudah saling mengenali. Kerana, perlu anda sedar, kita sering berevolusi sejajar dengan peredaran masa itu sendiri. Bukan untuk menakut-nakutkan tetapi ini realiti, berapa ramai dari pasangan yang mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya tetapi akhirnya menemui jalan kegagalan setelah mereka diuji. 

Perlu kita ingat, bukanlah kuantiti masa yang menjadi perkara pokok di sini, tetapi kualiti. Walau anda menghabiskan masa berhari-hari bersama, tetapi masing-masing dengan ego tinggi dan dengan haluan sendiri, ditambah pula dengan tiada berlangsungnya komunikasi, maka output dari perhubungan anda adalah zero kuantiti, juga zero kualiti. Tetapi, jika anda bijak mengatasi kekangan masa yang melingkari, walau cuma diberi satu minit bersama dan seminit bersama dimanfaatkan dengan sepenuhnya maka anda akan temui vaksin terbaik untuk mengubati masalah yang akan timbul nanti.

Jadi, jangan berhenti memberi.

"Hiduplah dengan niat untuk terus memberi sebanyaknya dan bukan untuk menerima sebanyaknya..."

Monday, February 14, 2011

[iNsAN tERPuJi]

MAHATMA GANDHI (Komentar mengenai karakter Muhammad di YOUNG INDIA ):


Pernah saya bertanya-tanya siapakah tokoh yang paling mempengaruhi manusia… Saya lebih dari yakin bahawa bukan pedanglah yang memberikan kebesaran pada Islam pada masanya. Tapi ia datang dari kesederhanaan, kebersahajaan, kehati-hatian Muhammad; serta pengabdian luar biasa kepada teman dan pengikutnya, tekadnya, keberaniannya, serta keyakinannya pada Tuhan dan tugasnya. Semua ini (dan bukan pedang ) menyingkirkan segala halangan. Ketika saya menutup halaman terakhir volume 2 (biografi Muhammad), saya sedih kerana tiada lagi cerita yang tersisa dari hidupnya yang agung.

Jumaat. 
Usai melaksanakan solat sunat aku melabuhkan punggung di tengah-tengah saf. Itu adalah tempat yang sama yang selalu menjadi medan komunikasi saat diri menghadap ILAHI. 

Muazzin melaungkan azan buat kali kedua. Khatib bingkas, bangkit menuju mimbar. Mula membaca teks ucapan khutbah yang telah tersedia. Pandangan aku tika itu lekat di tirai putih yang menerima panahan cahaya dari projektor yang digantung di langit masjid yang megah terbina. Masjid yang pertama di Terengganu dan di Malaysia yang menggunakan khutbah multimedia di mana jemaah tidak lagi tersengguk-sengguk menahan mata yang mengantuk, tapi mereka turut berpeluang megetahui isi kandungan khutbah yang akan disampaikan.

'Muhammad Habibullah'

Itulah tajuk khutbah Jumaat yang akan dibacakan kali ini sebagai memperingati insan teragung yang pernah hidup dimuka bumi 1400 tahun dahulu.

Semua mata jemaah menumpu.

Khutbah terus berlangsung.

“Wahai Jibril, jelaskan kepadaku tentang hak-hakku di hadapan Allah!”, Rasulullah saw. meminta dengan suara yang sangat lemah.
“Pintu-pintu langit telah dibuka. Para malaikat sedang menunggu ruh Anda. Semua pintu Surga terbuka luas menunggu Anda” kata Jibril.
Namun, kenyataannya, jawaban itu tidak membuat Rasulullah saw. lega.
Matanya masih penuh kekhawatiran.
“Anda tidak senang mendengar kabar ini?” tanya Jibril.
“Ceritakan tentang nasib umatku di masa depan?” kata Rasulullah saw.
“Jangan khawatir, wahai Rasulullah, saya mendengar Allah berkata:” Aku haramkan Surga untuk semua orang, sebelum umat Muhammad memasukinya, ” kata Jibril.

Saat ini, kolam mataku bergenang. Aku menahan tangis dari terus beresakan.

Khatib yang tadinya khusyuk membaca khutbah terhenti. Agak lama. Kemudian, dia menyambung kembali khutbahnya dalam sedu sedan dan linagan airmata. 

Saat ini, aku perhatikan ramai yang menunduk menekup muka.

Khutbah terus disambung.

"Waktu bagi malaikat Izrail melakukan pekerjaannya semakin dekat dan dekat.
Perlahan-lahan, ruh Rasulullah saw. dicabut.
Tampak tubuh Rasulullah saw. bermandikan peluh, saraf lehernya menegang.
“Jibril, betapa sakit ini!” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasalam sallalahu mengerang dengan perlahan.
Fatimah memejamkan mata, Ali yang duduk di sampingnya tertunduk dalam dan Jibril pun memalingkan mukanya.
“Apakah aku sedemikian menjijikkan sehingga engkau memalingkan muka wahai Jibril?” Rasulullah saw. bertanya.
“Siapa yang bisa tahan melihat Kekasih Allah di ambang sakaratul mautnya?” kata Jibril.
“Bukan untuk berlama-lama,” kemudian Rasulullah saw. mengerang karena sakit yang tak tertahankan.
Ya Allah betapa besar Sakaratul maut ini. Berikan kepadaku semua rasa sakit, tapi jangan untuk Umatku.
Tubuh Rasulullah saw. mendingin, kaki dan dadanya tidak bergerak lagi.
Dengan berlinang air mata, bibirnya bergetar seakan ingin mengatakan sesuatu.
Ali mendekatkan telinganya ke Rasulullah saw., “Jagalah shalat dan jagalah orang-orang lemah di antara kamu.”
Di luar ruangan, ada tangisan, ada kegaduhan. Para sahabat saling berpelukan. Fatimah menutup wajahnya dengan kedua tangan.
Sekali lagi, Ali mendekatkan telinganya ke Rasulullah saw. dan dengan mulut yang telah membiru serta air mata berlinang, Rasulullah berucap lirih: “Ummatii , Ummatii, Ummatii…” “Umatku, umatku, umatku…

Airmata yang aku tahan akhirnya gugur jua. Dapat aku dengari dengan jelas tangis dan sendu hiba yang melatari suasana. Semuanya diasak sedih, begitu pedih. 

"Mengingati mu ya Habiballah mengundang hiba. Sedih tidak terkira. Apakah aku pengikutmu yang setia, yang senantiasa melaksanakan suruhan agama? Adakah aku menjalani kehidupan dengan bekal yang kau tinggalkan; yakni dua perkara? Sedang engkau, 1400 tahun dahulu masih merintih memikirkan nasib umatmu saat sakaratulmaut didepan mata."




[mAKNa]

Hari Sabtu.
Mood : Lepak depan TV dengan mak aku sambil gosip-gosip. Sebenarnya waktu ni aku tunggu satu rancangan bual bicara terbaru yang bersiaran tepat jam 9.00 malam di Astro Ria. Rancangan apa?


Yup! Itulah konsonan yang kita cari. SITI. Itulah nama rancangan bual bicara yang dikelolakan oleh Dato' Siti Nurhaliza. Aku bukan kipas susahmati dia. Tapi apa yang membuatkan aku teruja adalah penampilan khas seorang VIP pada episod pertama aka episod pengenalan. Guess who? 


Betul. Anda memang genius. 
Tun Dr Mahathir Mohammad. Dia adalah tokoh yang disegani seantero dunia. Dan aku adalah cebisan dari berbillion manusia yang mengagumi bakat kepimpinannya. Menukar landskap Malaysia dari sebuah negara yang dulunya dipandang sepi dari pandangan atau mata dunia kepada sebuah negara yang punyai kuasa untuk bersuara. Lihat sahaja kepada sumbangan dan idea beliau. Memacu industri automotif negara di samping menukar atmosfera Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian. Menukar kehijauan ladang sawit yang luas mata memandang kepada deretan bangunan yang teresergam. Jika dahulunya, beliau dianggap gila kerana telah banyak melaburkan duit rakyat untuk membina pusat pentadbiran baru Putrajaya, namun kini inisiatifnya berjaya membuka mata dunia. Menutup mulut-mulut mereka yang sebelum ini lantang suara. 

Dari awal mula rancangan, aku terpaku. Kaku. Aku ingin menelusuri jejak gemilang seorang pemimpin yang disegani ini. 

"Saya tak makan ikan..." tutur Tun Dr Mahathir lembut saat diajukan soalan. "...memang ramai orang kata, ikan adalah sumber protein dan ianya dapat menajamkan ingatan. Mungkin sebab itulah ingatan saya lemah..." sambung Tun lagi merendah diri.

Itu adalah antara cebisan dari ungkapan yang keluar dari mulut Tun. Aku sebenarnya kagum dengan tahap konsistensi yang dimiliki beliau. Tun adalah seorang yang sangat suka membaca. Di zaman siber ini, mungkin ramai yang berpendapat ianya sangat konvensional. Tapi pada aku, ia sungguh menakjubkan. Tidak hairanlah jika Tun mampu berucap panjang tanpa perlu melihat teks ucapan. 

Jawab Tun, remaja zaman sekarang perlu melalui kerahan tenaga bagi menyemarakkan budaya membaca dalam diri mereka. Ini kerana, kecanggihan zaman sains dan teknologi telah memudahkan segala urusan dan ianya merencatkan budaya membaca di kalangan remaja kini. 

Aku sangat-sangat setuju. 

Sangat sukar untuk kita mendidik jika kita tidak mengenali latar andragogi ini. Dari zaman baby boomers kepada Gen-X dan kini era Gen-Y, mereka ini sentiasa bervolusi. 

Cukup sukar untuk kita melihat atau menggalakkan budaya membaca dalam diri anak muda. Bagi mereka, semua itu hanya membazir masa. Masa itu emas. Jadi tidak boleh dibazirkan sewenangnya.

Tettt!!!!

Membaca itu adalah gerbang atau pintu ilmu. Itu yang perlu kita tahu. 

Dan sepertimana dalilnya,


“Diangkat oleh Allah orang-orang yang berilmu daripada kamu dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa tingkatan” (S. Al-Mujadalah ayat 11)

Ibnu Abbas radliallaahu ‘anh (ra.) (direlak Allah dia kirannya) mengatakan : Untuk ulama beberapa tingkat di atas orang mu’min, dengan 700 tingkat tingginya, antara dua tingkat itu, jaraknya samapi 500 tahun perjalanan.

“Contoh-contoh itu Kami buat untuk manusia dan tidak ada yang mengerti kecuali orang-orang yang berilmu”. (S. Al-‘Ankabut ayat 43)

Tanpa perlu berselindung, orang yang beilmu darjatnya terulung. Mulakan langkah pertama dengan bacaan ringan sebelum anda 'berhijrah' dan menguak langkah membaca pebagai jenis makalah-makalah ilmu. Biarpun nampak konvensional, tetapi ianya akan memberi seribu makna.


Bagi yang sukakan cabaran, cabarlah minda anda untuk mentelaah dan menggali makna disebalik silangkata yang berserakan memaknakan kata. Disebalik humor yang bersahaja, pasti anda akan temui makna dan kosa kata yang tinggi 'nilainya'. Biarpun nipis dan tipis dari selak helaian, anda pasti akan terbeban dengan garapan cerita yang memerlukan lebih dari dua kali ganda pemahaman!




[kiSAH kLASiK uNTUK mASA dEPAN]

Melorek masa depan. Melarik impian.

Inilah frasa kata yang sesuai bagi menggambarkan apa sebenarnya yang selalu bermain di fikiran. Aku diheret jauh kehadapan bagi menemukan sebarang kemungkinan atau jawapan yang pasti tentang masa hadapan yang masih kelam. Hitam. Walau berkali mencuba, masih juga belum menemukan jawapan.

"Hidup adalah pilihan."

Analoginya, andaikan anda diberikan sebatang kayu jati mentah. Masih elok kondisinya. Masih belum dikupas dan dibuang kulitnya. Masih belum diperincikan saiznya. Dan, bersama anda, ada peralatan pertukangan. Juga ada mesin bagi memudahkan kerja pertukangan. Tanpa terikat dengan sebarang peraturan dan arahan, anda diberikan masa selama mungkin untuk anda siapkan karya seni tanpa perlu berkejar. Juga tanpa dipengaruhi oleh anasir luar.

Jadi, apakah yang anda akan hasilkan daripada sebatang kayu jati mentah?

Sebuah rumah?

atau mungkin anda hasilkan hasil kraf yang pelbagai dari sebatang kayu jati.

Sebenarnya, semuanya terpulang kepada kehendak masing-masing. Letakkan fokus kepada apa yang anda hajati, dan berusaha untuk terus mendekati. Jangan patah hati. Jangan mudah dipengaaruhi. Kekal istiqamah, kerana percayalah suatu hari, penat lelah, jerit perih serta keringat anda yang gugur ke bumi akan dibalas dengan hasil yang berganda dari sebelum ini. Tetapi, semuanya bergantung kepada nisbah usaha yang anda laburkan. Sepertimana kayu jati tadi, jika anda hanya melihat kayu jati kekal sebagai kayu jati tanpa melihat potensi, maka kayu jati itu tidak akan memberikan pulangan berganda, tapi sebaliknya berlaku jika anda yakin bahawa kayu jati mentah, jika kena pada prosesnya akan memberikan pulangan berganda. Cukuplah hanya dengan sedikit sentuhan magis dan selembar imaginasi, ianya akan menukar sebatang kayu jati menjadi produk berkualiti dan bermutu tinggi.

Ianya terbukti.

Tapi, kita perlu tahu dan ingat. Setiap impian yang disemai perlu realistik! Agar ianya tidak membunuh setiap impian lain yang baru bercambah atau berputik. Jangan meletakkan harapan setinggi langit.

Tetapi, pepatah Inggeris ada menyebut,
"Don't stop at the top, touch the sky before you drop..."

Apa signifikasinya? 

Jawapannya mentaliti. Cukup sukar kita mencari mereka yang berjiwa besar ; bilamana mereka diasak dengan pelbagai masalah, mereka ini kekal untuk mencuba, semakin kuat daya usahanya tanpa pernah berfikir untuk mengaku kalah. Tapi, terlalu banyak dari kalangan kita yang putus asa, patah hati bilamana mereka diuji dengan ujian sebesar biji guli.

Percayalah, walau anda merancang untuk menghadiri beribu temujanji bagi menemui pakar-pakar motivasi, anda masih akan menemui jalan kegagalan jika anda tidak cuba untuk merubah paksi pemikiran yang selama ini menjadi tunjang untuk anda berdiri. Kerana semuanya bermula dari diri sendiri. Cuba untuk muhasabah diri. Kenali hati budi. Kenali diri anda sendiri sebelum anda bertindak menuding jari. 

Jangan bersikap paranoid dengan menolak semua usul yang diberi. Cuba untuk menerobos sempadan diri. Melihat ke satu lagi dimensi. Jika anda yakin, anda perlukan transisi, maka buatlah keputusan yang bijak. Cuba untuk kekal positif. Ia akan merubah peribadi.
Anda pada hari ini adalah penentu kepada apa yang akan berlaku kepada ANDA suatu hari nanti.

Walaubagaimanapun, perlu kita sedar dan ingat : 
Sebijak manapun kita, kita hanya mampu merencana. Sesekali menconteng kumal dan kanvas bagi menambah serinya. Tapi bukan kita yang berhak untuk menentukannya. Kita hanya merancang. Dan DIA lah yang menentukan.

  

Wednesday, February 2, 2011

[k0NgSi]

Baiklah, topik aku kali ini hanyalah beniat menghalau lelabah yang nampaknya begitu riang dan gembira mengait sarang membentuk sawang di dinding laman.

Untuk beberapa minggu kebelakangan ini, aku dihambat penat yang menggila. Tanpa sedar, dinding blog aku senyap-sunyi seolah tidak berpenghuni, sepi tanpa sebarang khabar berita. Sebenarnya penghuninya ada, tapi malas nak menarikan jemari di papan kekunci laptop tu je...=='.


Aku cuba bertenang, memejamkan mata dan cuba untuk memerah idea. Mencari, kalau-kalau ada idea yang sudi singgah atau tersangkut di ranting minda untuk aku jadikan isu di muka depan blogger. 

Tapi, sayangnya...tak ada.

Hampa.

Kecewa tahap dewa.

Tutup muka.

...........

So, untuk menampakkan kesibukan kerja tahap dewa yang membuatkan aku penat gila, jadi dengan senang dan bebesar hatinya, aku akan ceritakan perihal kerja aku. Secara kasarnya je lah. Kalo detail sangat takut korang cakap aku ni pekerja contoh lak.


Seawal pembabitan aku dalam Corro-Shield (M) Sdn Bhd, aku diserap masuk ke department atau bahagian Operasi. Masa awal tu, memang sumpah blur. Time ni skema jangan cakap. Rambut kemas je (tu pun selepas Siti Nor & Hassenah Mohamad membebel tanpa henti). Baju pon masuk dalam. Seingat aku, this is a normal practise masa aku darjah satu. Seluar pon pakai paras pinggang dan sedikit tergantung menampakkan putihnya stokin yang membaluti kaki. Rambut sikat tepi dengan bedak yang bertampal di pipi kanan, kiri dan dahi. Wallaweh...gila suci la time ni.


Tapi tu dulu punya story. Sekarang da tak sama....


Selepas satu minggu, aku dah mula menari ikut rentak. Dah mula ubah pola dan corak. Aku dah mula faham tatacara seorang pekerja yang luarnya nampak selekeh, tetapi kepala mereka cukup ligat. Tak perlu nak nampak smart. Cukup dengan dress up baju t-shirt + selipar + rambut serabai = bos / pekerja yang hebat. 


Tapi nasihat aku satu je, kalau korang rasa nak selamat, atau nak terus berkhidmat dengan penuh hemat jangan ikut cara ataupun dress code sepertimana di atas. Bahaya sangat! Tapi, kalau korang nak try apa salahnya. Cubalah variasikan penampilan anda. Sesekali bergayalah dengan baju tidur ataupun baju mandi anda ke koran pejabat. Cuba lihat, apa reaksi bos anda. Selamat mencuba.


Ok. Berbalik kepada isu utama. Sebahagian besar kerja aku melibatkan pengurusan operasi. Bil makna, aku perlu untuk monitor setiap pergerakan pekerja/krew dan segala mak nenek kelengkapan yang akan mereka gunakan semasa berada di platform bagi mengelakkan timbulnya masalah kelak. Itu secara kasar. Secara halusnya, aku perlu untuk turut sama serta dalam aktiviti untuk mobilization dan demobilization serta perlu tahu  setiap jenis alatan untuk proses mob dan demob. Ye lah, penting untuk aku tahu bagi mengelakkan perkara-perkara 'pelik' berlaku. Sebagai contoh, jika salah seorang krew meminta aku untuk mendapatkan chisel, aku yang ketika itu 'buta' mungkin sahaja menghulurkan alatan lain yang tentunya bukan chisel. Bukankah itu mengundang tawa berpanjangan? Dan lebih teruk, aku akan jadi bahan lawak diorang sepanjang aktiviti itu berlangsung.


Jujur, aku tak pernah berkongsi atau menceritakan jawatan aku yang sebenar kepada pekerja atau krew lain. Sebabnya,aku tak nak wujudkan ruang atau jurang antara kami. Aku lebih senang untuk berada dalam kelompok mereka. Berbual dan bercerita tentang pelbagai perkara. Biar aku nampak bodoh kerana hanya diam bila mereka berborak soal kerja. Kerana itulah yang akan menjadikan aku lebih dewasa.


Cabaran paling besar pernah aku hadapi?


Bila senior project engineer aku berhenti....


Sebab?


Kerana aku kini menjadi focal point untuk PMO (Peninsular Malaysia Operation). Waktu tu, akuberusia 3 bulan, aku rasa banyak lagi yang kurang dan perlu aku tambah. Terlalu mentah atau mungkin terlalu muda untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua. Jika dibandingkan dengan pengalaman, nyata aku jauh ketinggalan di belakang. Tapi dek kerana keyakinan dari pihak atasan, aku anggap jawatan baru yang mereka tawarkan sebagai cabaran. 


So, bermulalah lembaran baru dalam kehidupan (ada sound effect, bunyi gendang dipalu). Cewahhhhh....


Tapi, jangan ingat dress code aku berubah. Kekal sama. Cuma aku lebihkan sikit


: seluar jeans koyak + t-shirt round neck + rambut serabai + selipar jepun = A.K.U


Tapi, cara kerja semakin berubah. Beban semakin bertambah. Hari-hari ada je fail nak kena geledah.


Susah?


Memanglah susah. Lagi senang kalau duduk aje kat rumah. Goyang kaki, sambil pekena jus buah. Baca majalah.


Tapi sampai bila?


Kau dan aku kena faham. Inilah realiti kehidupan. Walau sepahit mana pun cabaran. Hadapi dengan senyuman. Lalui dengan tenang. Kena maki, marah, herdik adalah asam garam. Backstabbers, culprit akan sentiasa cuba untuk menjahanamkan. Cuba untuk menewaskan pihak lawan. So, penting untuk kenal siapa lawan, siapa kawan. Taklah nanti kita hilang arah dan tujuan.






Nasihat dari aku yang masih malar hijau dalam industri. Bekerja dengan sepenuh hati. Ikhlas. Itu penting. Berusahalah untuk memajukan diri dan company. Mana tahu, hujung bulan dapat bonus 3 bulan gaji. Boleh belanja kawan-kawan ABC. 


Itupun kalau korang ni baik dan bermurah hati macam KAMARUL ABADI.

Friday, January 14, 2011

[5 HARi]

Apa yang boleh anda buat dalam masa 5 hari?

          Shopping tanpa henti?

          Karaoke sampai pagi?

          Futsal sampai patah kaki?

atau mungkin,

          Merenung langit memuji keagungan Ilahi? (hanya mereka yang berhati suci sahaja yang mampu mencapai tahap sufi sebegini!)

Serius (boleh juga dua atau tigarius), lima hari adalah tempoh masa yang cukup lama. Cukup untuk kacang hijau yang direndam dalam tisu basah bercambah akarnya sepertimana eksperimen yang kita lakukan semasa darjah empat atau lima. Cukup untuk fungus (bahasa kampungnya adalah kulat) tumbuh melata diatas roti gardenia yang  terdedah kepada udara dan telah tamat tempohnya .

Itu dari segi saintifik. Dan ianya terbukti melalui hipotesis yang dibuat di akhir eksperimen. Semakin lama ..... semakin .....

Tapi dari segi logik, 5 hari boleh membawa kepada pelbagai kemungkinan. Dan ianya berbeda mengikut situasi dan keadaan.


p/s : ini adalah entry terpendek yang aku hasilkan. Sebab, 5 hari menjanjikan pelbagai kemungkinan. Masing-masing punya pendapat da penilaian.

Sunday, January 2, 2011

[kApAL tERbANG kErtAS 3]

FATIMAH ZAHRAH mengukir senyum sehingga menampakkan barisan gigi yang putih dan tersusun rapi saat meninggalkan perkarangan pejabat pos. Redup awan yang melatari Bandaraya Shah Alam ketika ini tidak sedikitpun memberi kesan padanya. Langsung tidak meggugah dirinya. Hatinya kini berbunga riang. Harumnya mewangi dan memenuhi taman. Baru sebentar tadi dia mengirimkan bungkusan atau parcel kepada seseorang. Hanya dia dan Cikgu Jamilah yang tahu apa isi bungkusan. Itu menjadi rahsia kerajaan. Tidak akan sesekali dia bocorkan.

Langkah kakinya dihayun menuju kereta Proton Saga bewarna hitam yang tercatuk di hadapan pejabat pos sejak 15 minit yang tadi. Dari kejauhan, nampak berbalam-balam susuk tubuh seseorang yang sedia menunggu di tempat duduk hadapan bersebelahan dengan pemandu sedang berpeluk tubuh dengan wajah masam mencuka. Fatimah Zahrah kenal susuk tubuh itu. Cukup kenal. Kerana, dialah yang meminta susuk tubuh itu untuk kekal menunggu di kereta sambil dia bergegas ke kaunter untuk menyelesaikan urusan penghantaran. Dek kerana tindakannya itulah, maka susuk tubuh itu kekal di kereta dengan wajah mencuka.

Fatimah Zahrah meleret senyum manja saat pintu kereta dibuka. Susuk tubuh itu memalingkan muka memandang ke luar cermin kereta. Tidak sanggup bertemu muka dan bertentang mata dengan Fatimah Zahrah yang masih bersikap selamba.

Fatimah Zahrah melebar senyum.

Susuk tubuh itu membatu.

Seketika, deruman enjin kereta yang bergerak keluar dari perkarangan pejabat pos besar membawa bersama kesunyian yang dari tadinya meraja.

“Kenapa monyok je ni?” soal Fatimah Zahrah memulakan bicara. Dia tidak mahu diulit kesunyian berterusan. Susuk tubuh yang diam membatu dipandangnya sekilas sebelum membawa kembali pandangannya ke hadapan. Fokus kepada pemanduan.

“Jangan tegur aku!” bungkam susuk tubuh itu tadi. Wajahnya masih lagi masam mencuka.

Fatimah Zahrah tergelak kecil. “Kenapa?”

“Kau bawak aku sampai ke sini, tapi aku tak tahu pun barang apa yang kau kirim, dan pada siapa kau kirim!” ujar susuk tubuh itu. Pandangannya kini bertembung dengan Fatimah Zahrah.

“Sebab tu je kau tarik muka empat puluh empat ni?”

“Yelah. Aku pun nak tahu barang apa yang kau kirim. Dan pada siapa kau kirim.Happy semacam je aku tengok.”

Diam.

Tiada jawapan.

“Aku kirim kat someone.” Luah Fatimah Zahrah. Jemarinya menari-nari di stereng kereta.

“Boyfriend?” soal pemilik susuk tubuh yang setia di sisi.

Kali ini gelak tawa Fatimah Zahrah berderai.

“Tak adalah. Aku hantar kat kawan...” belum sempat Fatimah Zahrah menghabiskan bicaranya, kata-katanya dipotong.

“Kawan apanya sampai nak berahsia!” gumam pemilik susuk tubuh itu lagi. Dia membetulkan letak cermin matanya.

“Kau ni memang Syafiqah Takiyudin. The Private Investigator!” Serentak dengan itu. Tawa Fatimah Zahrah memecah keheningan yang tercipta antara mereka. Syafiqah Takiyudin yang dimaksudkan adalah pemilik susuk tubuh yang sejak tadinya masam mencuka. Dia adalah rakan sedarjah Fatimah Zahrah ketika sama-sama memasuki sekolah berasrama.

Syafiqah Takiyudin hanya mencemik. Malas melayan karenah Fatimah Zahrah yang gemar mengusik.

“Jom ikut aku pergi AmCorp Mall. Aku nak cari novel Diary of a Wimpy Kid.” Lanjut Fatimah Zahrah. Mukanya dibentuk-bentuk seolah-olah sedang merayu manakala kelopak matanya dikelipkan beberapa kali. Itulah kelebihan utama yang ada Fatimah Zahrah yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Novel Diary of a Wimpy Kid yang dimaksudkan adalah novel ringan karya Jeff Kinney. Seorang pencipta dan pembangun permainan dalam talian (online game developer). Novel yang berkisarkan kehidupan seorang pelajar sekolah bernama Gregory Heffley benar-benar menarik padanya. Ditulis dalam bentuk jurnal dengan gaya bahasa yang santai dan mudah difahami, juga terselit di dalamnya humor-humor yang bebentuk sarkastik.

“Boleh. Tapi dengan syarat.” Syafiqah Takiyudin bersuara tegas.

Fatimah Zahrah memamndang Syafiqah Takiyudin. Pandangan mereka saling bertembung. Fatimah Zahrah mengerutkan dahi.

“Apa dia?”

“Apa barang yang kau kirim tadi, dan siapa someone tu?”soal Syafiqah Takiyudin tenang. Dia yakin, kali ini Fatimah Zahrah tidak lagi mampu untuk mengelak dari menjawab persoalan yang bermain di mindanya sedari awal tadi.

Fatimah Zahrah gelak.

“Nanti aku cerita. Sekarang ni jom temankan aku dulu.”

“Promise?”

“Yup! Promise Miss Investigator!”

Kereta Proton Saga itu membelah jalan dan kemudiannya turut sama serta dalam kesesakan yang panjang. Cuaca redup yang melatari atmosfera Bandaraya Shah Alam sedikit membantu memberikan ketenangan kepada pemandu yang berada di jalan untuk terus bersabar mengharung kesesakan jalanraya.


*****


Petang itu menjadi saksi perbualan Fatimah Zahrah dan Zarir melalui ruang komunikasi yang dijana oleh kecanggihan teknologi. Dunia tanpa sempadan, juga diterjemahkan sebagai globalisasi. Betapa Fatimah dan Zarir masih mampu berhubung walau mereka dipisahkan oleh jarak hampir 500 kilometer jauhnya. Masakan tidak, seorang di pantai barat semenanjung, dan seorang lagi di pantai timur semenanjung. Fatimah Zahrah di Shah Alam, Selangor dan Zarir di Kemaman, Terengganu.

Namun mereka msih mampu berhubung selagimana kredit panggilan tidak berbaki kosong.

‘Assalamualaikum. Hoi, buat apa tu?’

 Itu antara kandungan mesej yang dihantar Zarir kepada Fatimah Zahrah.

‘Waalaikumsalam. Hoi, saya ada di AmCorp Mall. Cari buku. Buat apa tu, hoi?’

‘Hoi, saya nak keluar jap. Nak main futsal.Awak pergi sorangke hoi?.’

‘Tak lah hoi, kawan temankan.’

‘Lelaki?’

‘Erm...’

Jantung Zarir berdetak kencang.

‘Owh, ok then. TC.’

‘Baiklah hoi. Main futsal elok-elok.’

‘Tengoklah macam mana nanti...’

Zarir bungkam. Perasaannya bercampur baur. Berbagai persoalan menujal benaknya tika itu.

Fatimah Zahrah keluar dengan lelaki?

Siapa lelaki itu?

Handsome kah dia sehingga Fatimah Zahrah sanggup keluar ditemaninya?

Lima minit kemudian, telefon bimbit miliknya bergetar lagi. Ada satu mesej yang baru diterima. Tertera di skrin nama Fatimah Zahrah.

Baca.

‘Saya keluar dengan kawan perempuan  lah. Kawan sekolah. Saja je nak test awak tadi.’

Zarir menghela nafas.

Lega tapi berbaur geram. Dia kemudiannya menaip sesuatu.

‘Boleh tak jangan gedik sangat. Jangan buat lawak seram macam tu, boleh?’

Mesejnya berbalas.

‘Hikhikhik...sorry handsome. Main futsal elok-elok.Score goal banyak-banyak, arasoh?’

‘Em. Okay sweetie. Im off to court.’

Zarir bergegas keluar dari rumah. Penghidup tendang motosikalnya ditendang beberapa kali. Dia kemudia ketawa sendiri.

“Jang, starter ni ado hah. Yang ekau susah-susah nak start pakai penghidup tendang tu kenapo?Rajin sangat ekau ni hah!” Zarir berdialog dengan diri sendiri dalam tawa kecil yang terukir.

 Dia kemudiannya berlalu menuju lokasi gelanggang futsal di pusat rekreasi yang terletak hampir satu kilometer dari rumahnya.

Waktu-waktu cuti semester begini banyak dihabiskan Zarir dengan aktiviti beriadah. Kadang-kadang dia memilih untuk berada di rumah, membersihkan laman serta menggembur dan membaja pelbagai tumbuhan hiasan yang memenuhi laman rumahnya daripada melepak dan merayau tidak tentu hala. Zarir lebih senang dengan aktiviti sebegitu. Biarpun dilabel sebagai ‘gadis ayu’ dia tidak akan sesekali berganjak dan membuat sesuatu yang di luar kebiasaan.

MALAM itu, usai solat Maghrib Zarir bingkas menuju ke rak-rak yang menempatkan ratusan koleksi buku pelbagai genre. Dibeleknya satu persatu. Buku-buku tersusun rapi dan setiap satunya dibaluti dengan plastik pembalut bagi menjaga bentuk fizikalnya daripada rosak.

Dia kemudiannya merebahkan tubuhnya di kerusi meja studi yang letaknya betul-betul di hadapan rak buku-buku tadi. Belakang badannya disandarkan ke badan kerusi. Kedua tangannya dibawa ke belakang kepala bagi menampung kepalanya dengan jari-jari yang disilangkan. Matanya dipejamkan.

“Fatimah Zahrah...” terpacul nama itu keluar dari mulut Zarir.

Perlahan.

 Antara dengar dengan tidak.

Suaranya hanya bergetar di halkum.

Sementara itu, di suatu tempat yang lain, Fatimah Zahrah merasakan seolah-olah namanya dipanggil. Segera dia teringatkan Zarir. Kala itu dia sedang membantu Cikgu Jamilah menyediakan hidangan makan malam.

“Timah okay? Lain macam je mak tengok.” Cikgu Jamilah yang sedar akan perubahan yang berlaku pada anak perempuan tunggalnya segera menyapa. Sesungguhnya firasat si ibu tidak pernah menipu.

Fatimah Zahrah yang sedar dirinya diperhatikan segera kembali ke alam nyata setelah tadinya dia dihanyut khayal. Dia memandang wajah emaknya. Fatimah Zahrah kemudiannya mengukir senyum.

“Timah okay je.”

“Betul ni?”

“Em. Betul. Mak jangan risau.”

“So, dah hantar ke packaging tu?”

“Dah, petang tadi.” Kali ini senyum Fatimah Zahrah semakin melebar. Dia beruntung kerana si ibu selalu ada untuk memberikan pendapat saat dia memerlukan.

Cikgu Jamilah turut sama tersenyum. Senang melihat kegembiraan yang terpancar di raut wajah Fatimah Zahrah.


*****


HARI ini masuk hari kedua.

Hari kedua Zarir tidak menerima sebarang perkhabaran atau berita dari Fatimah Zahrah. Juga hari kedua Zarir tidak menerima mesej bertanya khabar. Berkali-kali Zarir cuba mendail nombor Fatimah Zahrah namun tiada jawapan. Hanya suara operator telefon yang menjawab panggilan. Berpuluh kali mesej dihantar, tapi tiada satu pun balasan.

Zarir tak keruan.

Zarir mula sawan.

Silap apakah yang dia lakukan sehingga Fatimah Zahrah memilih jalan untuk mendiamkan diri?

Tengahari itu,sewaktu Zarir sedang asyik menyusun buku, emaknya datang dengan satu bungkusan di tangan. Bungkusan sederhana besar yang dibalut dengan kertas bewarna coklat menarik perhatiannya. Setahunya, hari jadinya sudah lama berlalu. Masakan emaknya tidak tahu.

Zarir buat muka hairan.

“Apa tu ma?”

“Entahlah. Tapi yang pastinya bungkusan ni untuk Zarir. Bukan untuk ma.” Terang emaknya lebih lanjut berdasarkan nama yang tertera di muka kotak.

“Bila sampai?” soal Zarir inginkan kepastian.

“Baru je sampai. Panas lagi ni.”

Zarir tergelak kecil.

Bungkusan itu kemudian berpindah tangan.

Zarir membawa bungkusan itu ke katil. Dia meneliti setiap inci kotak yang baru diterimanya. Tiada nama penerima. Hanya ada nama samaran. Emaknya sudah berlalu meninggalkan Zarir sendirian bereksperimentasi dengan kotak yang baru diterima.

“Kyuri?” Zarir garu kepala. “...sejak bila pulak ada awek jepun admirer aku?”

Zarir membuka bungkusan yang diterima penuh berhati-hati. Ianya mungkin satu perangkap. Saat dia melihat isi di dalam bungkusan itu, Zarir jadi terharu. Zarir terkedu. Kedua telapak tangannya meraup muka. Menutup hampir keseluruhan muka. Hanya sepasang matanya yang bebas terbuka.

Zarir menggelengkan kepala.

Zarir semacam tidak percaya.

Bungkusan yang diterimanya adalah pemberian seseorang yang sangat dia kenali.

Bungkusan dari Fatimah Zahrah. Di dalamnya terdapat biskut berperisa coklat yang juga dihiasi dengan cip coklat di atasnya bersama sekeping nota yang dibentuk menjadi origami. Zarir mengambil satu biskut coklat yang dibentuk menjadi kapal terbang kertas. Hanya satu biskut coklat sepertinya. Yang lain, semuanya berbentuk bulat leper. Kemudian dia meletakkan kembali biskut berbentuk kapal terbang kertas dan mencapai nota yang ada.

Look like familiar.

Kapal terbang kertas versi Fatimah Zahrah.

Dibukanya lipatan demi lipatan dengan penuh berhati-hati.

Baca.

Zarir mencapai telefon bimbit. Dia cuba mendail nombor Fatimah Zahrah untuk ke sekian kalinya.

Berjawab.

“Hello...” kedengaran jelas suara Fatimah Zahrah di hujung talian usai dia memberi salam.

Zarir diam. Sesungguhnya saat itu dia benar-benar terharu.

“ Hoi awak...boleh tak jangan jadi sweet sangat?”

“Hoi, kenapa?” Fatimah Zahrah menyoal.

“Saya dah dapat cookies yang awak hantar. Tapi please, jangan jadi sweet sangat lepas ni boleh?”

“Yela, tapi kenapa?”

“Sebab saya tak sanggup nak nangis bila awak jadi sweet macam ni. Please...” rayu Zarir. Kala itu sedu-sedannya mula berlagu. Zarir benar-benar terharu.

Untuk pertama kalinya, airmata Zarir gugur dari tubir mata. Pemberian dari Fatimah Zahrah benar-benar bermakna. Itulah pemberian paling bermakna pernah diterima dan Zarir sendiri tidak pernah menyangka.

“Thanks sweetie. Love you!” Zarir mematikan talian setelah meluahkan apa yang terbuku di hati. Selebihnya, dia tidak mahu Fatimah Zahrah mendengar tangisnya yang semakin menggila.

Di hujung talian, Fatimah Zahrah mengukir senyum.

“My pleasure and thanks a lot handsome!”