Melorek masa depan. Melarik impian.
Inilah frasa kata yang sesuai bagi menggambarkan apa sebenarnya yang selalu bermain di fikiran. Aku diheret jauh kehadapan bagi menemukan sebarang kemungkinan atau jawapan yang pasti tentang masa hadapan yang masih kelam. Hitam. Walau berkali mencuba, masih juga belum menemukan jawapan.
"Hidup adalah pilihan."
Analoginya, andaikan anda diberikan sebatang kayu jati mentah. Masih elok kondisinya. Masih belum dikupas dan dibuang kulitnya. Masih belum diperincikan saiznya. Dan, bersama anda, ada peralatan pertukangan. Juga ada mesin bagi memudahkan kerja pertukangan. Tanpa terikat dengan sebarang peraturan dan arahan, anda diberikan masa selama mungkin untuk anda siapkan karya seni tanpa perlu berkejar. Juga tanpa dipengaruhi oleh anasir luar.
Jadi, apakah yang anda akan hasilkan daripada sebatang kayu jati mentah?
Sebuah rumah?
atau mungkin anda hasilkan hasil kraf yang pelbagai dari sebatang kayu jati.
Sebenarnya, semuanya terpulang kepada kehendak masing-masing. Letakkan fokus kepada apa yang anda hajati, dan berusaha untuk terus mendekati. Jangan patah hati. Jangan mudah dipengaaruhi. Kekal istiqamah, kerana percayalah suatu hari, penat lelah, jerit perih serta keringat anda yang gugur ke bumi akan dibalas dengan hasil yang berganda dari sebelum ini. Tetapi, semuanya bergantung kepada nisbah usaha yang anda laburkan. Sepertimana kayu jati tadi, jika anda hanya melihat kayu jati kekal sebagai kayu jati tanpa melihat potensi, maka kayu jati itu tidak akan memberikan pulangan berganda, tapi sebaliknya berlaku jika anda yakin bahawa kayu jati mentah, jika kena pada prosesnya akan memberikan pulangan berganda. Cukuplah hanya dengan sedikit sentuhan magis dan selembar imaginasi, ianya akan menukar sebatang kayu jati menjadi produk berkualiti dan bermutu tinggi.
Ianya terbukti.
Tapi, kita perlu tahu dan ingat. Setiap impian yang disemai perlu realistik! Agar ianya tidak membunuh setiap impian lain yang baru bercambah atau berputik. Jangan meletakkan harapan setinggi langit.
Tetapi, pepatah Inggeris ada menyebut,
"Don't stop at the top, touch the sky before you drop..."
Apa signifikasinya?
Jawapannya mentaliti. Cukup sukar kita mencari mereka yang berjiwa besar ; bilamana mereka diasak dengan pelbagai masalah, mereka ini kekal untuk mencuba, semakin kuat daya usahanya tanpa pernah berfikir untuk mengaku kalah. Tapi, terlalu banyak dari kalangan kita yang putus asa, patah hati bilamana mereka diuji dengan ujian sebesar biji guli.
Percayalah, walau anda merancang untuk menghadiri beribu temujanji bagi menemui pakar-pakar motivasi, anda masih akan menemui jalan kegagalan jika anda tidak cuba untuk merubah paksi pemikiran yang selama ini menjadi tunjang untuk anda berdiri. Kerana semuanya bermula dari diri sendiri. Cuba untuk muhasabah diri. Kenali hati budi. Kenali diri anda sendiri sebelum anda bertindak menuding jari.
Jangan bersikap paranoid dengan menolak semua usul yang diberi. Cuba untuk menerobos sempadan diri. Melihat ke satu lagi dimensi. Jika anda yakin, anda perlukan transisi, maka buatlah keputusan yang bijak. Cuba untuk kekal positif. Ia akan merubah peribadi.
Anda pada hari ini adalah penentu kepada apa yang akan berlaku kepada ANDA suatu hari nanti.
Walaubagaimanapun, perlu kita sedar dan ingat :
Sebijak manapun kita, kita hanya mampu merencana. Sesekali menconteng kumal dan kanvas bagi menambah serinya. Tapi bukan kita yang berhak untuk menentukannya. Kita hanya merancang. Dan DIA lah yang menentukan.
No comments:
Post a Comment