Monday, February 21, 2011

[YaKiN]

"Der, lu yakin ke wa jadi milik lu nanti der?" Soal gadis biasa memulakan saat bicarawara mereka terhenti sekitar 5 minit lamanya bilamana masing-masing fokus dengan choki-choki di tangan. Masing-masing berusaha untuk mengeluarkan cairan coklat dan krim yang diadun bersama dalam plastik berbentuk silinder yang panjangnya hampir sama dengan sebatang pembaris pendek.

Brader hensem mengerutkan kening.

Buat muka pelik dan rungsing.

"Kenapa lu tanya camtu?"

Gadis biasa hanya meleret senyum. Plastik bekas sisa choki-choki dilipatnya penuh cermat dan digenggam. Tidak pula dibuang.

"Wa cuma tanya. Seyakin mana lu dengan jodoh kita?" kali ini gadis biasa mengangkat muka. Memandang brader hensem yang nampak terkial-kial mencuba untuk mengeluarkan coklat berperisa. Brader hensem memalingkan wajahnya. Buat muka selamba. Plastik choki-choki masih lagi berada di rekahan bibirnya.

Pandangannya kemudian dilontarkan kehadapan. Remang senja petang itu menjadi saksi sekali lagi brader hensem diuji dengan soalan cepu cemas yang perlu dijawabnya penuh hemah dan berhati-hati. Soalan-soalan sebegini cukup jarang diajukan. Hanya mereka yang berjiwa halus akan mengajukan.

Kebiasaannya, pasangan lebih selesa untuk berbincang persoalan berkisar tentang masa hadapan. Isu lazim yang diketengahkan adalah berapa jumlah anak yang akan mereka bincangkan. Rumah apakah yang menjadi pilihan. Kereta apakah yang memenuhi tuntutan. Atau mungkin destinasi manakah yang akan menjadi kunjungan kala mereka menempuhi percutian. Jauh menyimpang dari persoalan yang bermain di benak brader hensem sekarang.

*******

Ini adalah cebisan dari jutaan atau mungkin billionan kisah cintan yang setiap hari melatari kehidupan. 

Perkara pokok yang menjadi persoalan, seyakin manakah kita akan jodoh yang sedia tercatuk di hadapan?

Adakah dia putera pilihan?

Juga mungkin kah dia puteri impian?

Meminjam kata pujangga penuh makna dari muka depan komik Kartini,

"Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali, jika kamu tahu apa yang dicari..."

Dan, jika kita semua sedia mengetahui rahsia yang tersembunyi di sebalik percaturan alam ini, adakah kita perlu berpenat lelah mencari?

Adakah perlu menempuh seribu rimba jika kita tahu dia yang ada di depan kita memang tercipta untuk kita?
Adakah perlu mengharung seribu paya jika kita sedar dia sentiasa ada?
Adakah perlu kita menyelongkar sehingga hujung dunia jika kita tahu dia jodoh kita?

Kembara kita di bumi Tuhan akan menemukan kita dengan pelbagai hikmah...

Setiap satu yang tersembunyi akan memberi kita makna hidup yang hakiki.

Untuk menemukan sesuatu yang bernilai, kita perlu mengenal sifat dan peribadi. Tanpa mengenali terlebih dahulu, kita hanya sifar dan serba tak tahu. 

Masing-masing punya pendapat sendiri, tapi apa yang perlu, senantiasa berkomunikasi dengan Tuhan mu. Sesungguhnya DIA lebih tahu siapa yang lebih berhak untuk memiliki sekeping hatimu.Adakah dia si hawa yang dijadikan dari rusuk kirimu? Atau mungkin dia, si Adam yang tanpa dia tahu rusuk kirinya ada pada dirimu dan begitu dekat dengan hatimu.

 Mohonlah agar dirimu terhindar dari fitnah dan tipu daya syaitan, kerana tiada lain tujuannya hanya untuk menyesatkan cucu dan cicit Adam.

Seyakin mana?

Letakkan pada timbangan akal dan iman bukannya nafsu semata.

Pasti kau akan menemukan dia yang akan menemanimu dan membawamu ke jalan menuju syurga.




No comments:

Post a Comment