Saturday, March 24, 2012

Bebelan Panjang

Assalamualaikum,


Hari tu ada orang tanya aku. Betul ke kalau nak kenal hati budi seseorang tu perlu ke tahap bersosial? Pergi clubbing dan sebagainya? 


Termangu sekejap. Gila padat dan sarat makna soalan ni.


Macam mana nak jawab?


Okay, sejujurnya macam ni. Pada pendapat aku, tafsiran sosial tu perlu terang dan jelas maksudnya biar mereka yang diluar sana mengerti dan ikut sama memahami makna sosial yang sebenar. Tak nak lah nanti ramai yang tersesat jalan bila aku salah memberi penghujahan.


Kalau di ikutkan kata Inche Wikipedia, sosial dedifinasikan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan.


Yup. 


Masyarakat dan kemasyarakatan!


So, perlu ke sampai ke clubbing bagai semata-mata nak bersosial atau melibatkan diri dengan masyarakat dan aktiviti kemasyarakatan sedangkan jiran sebelah rumah pun belum tentu kita kenal muka, bertegur sapa pun hanya bila berlaku malapetaka! Saat itulah baru bermula sesi introduksi memperkenalkan diri. 


Itu baru asas.


Jangan meletakkan sempadan beza antara kampung dan juga bandar. Jangan sesekali dibezakan suasana bila kebanyakan sempadan rumah di bandar hanya dipisahkan tingginya tembok pagar. 


Ramai yang beranggapan bahawa, nilai kemasyarakatan di kampung lebih menebal berbanding di bandar. Ramai juga beranggapan bahawa suasana di kampung jauh lebih meriah dari bandar. Masyarakat kampung lebih mesra. Masyarakat kampung murak senyumnya.Gadis-gadis kampung lebih manis dan lawa. Itu hanya stigma. Di canang dan di beduk ke serata pelosok semata-mata memberi alasan semata.


Tak perlu menjelajah sampai ke sana (kelab-kelab malam) jika niat untuk mengenali bangsa manusia. Di sana hanya wujud kelompok manusia yang terdidik dengan budaya hedonisme berpaksikan liberalisasi di bawah langit terbuka. Anda tidak akan menemui jemaah-jemaah yang tebal adat dan budaya timurnya di sana. 


Untuk mengenali manusia, perhatikan amalan mereka. Apa yang mereka lakukan, apa yang mereka tuturkan adalah cerminan kepada peribadi. Betul, sekarang ini ramai yang suka bermuka-muka. Mengenakan 'topeng' untuk menyembunyikan akhlak yang tercela. Sukar untuk dikenal pasti mereka yang benar-benar luhur budi pekerti dan suci hati. Terlalu sukar untuk membuat perbezaan. Terkadang, mereka ini lebih baik dari yang disangkakan, riak wajahnya manis memukau dan tuturnya lembut menikam. Tetapi terkadang wujud kelompongan kerana mereka ini akan kelihatan janggal melakukan sesuatu yang tidak biasa mereka kerjakan.


Jangan mudah bersimpati. Juga, jangan mudah memberi puji. Bimbang, kalau-kalau anjing tersepit yang dilepaskan menggigit kaki. Jadikan filem Ali Baba Bujang Lapok sebagai contoh. 


Kampung atau bandar bukan ada beza. Masih wujud kelompok atau komuniti yang sama dalam masyarakat berbilang bangsa. Cuma, perlu ada kesedaran untuk menerapkan budaya kampung di bandar. Dan mungkin juga ada amalan yang baik dari bandar yang boleh dibawa dan diaplikasikan di desa. Itu, asimilasi budaya.  


Ringan-ringankanlah mulut mulakan bicara. Ringan-ringankanlah tulang bantu apa yang terdaya. Masyarakat akan menerima anda. Juga, jaringan sosial anda akan lebih kuat jika anda bijak menempatkan diri dalam kelompok mereka.


Dan manusia, masih juga manusia. Mengenali mereka bukan mengambil masa sesaat dua, tetapi berterusan hingga hujung nyawa.

No comments:

Post a Comment