"kopi itu pahit, tapi adakah kita akan mengetahui pahitnya tanpa mencubanya barang secubit..."
Situasi 1 :
"Kau tu muda lagi kot. Rileks la der. Tak perlu nak tergesa-gesa. Cukup umur 30 kita settle down la..."
Situasi 2 :
"Aku belum sedia lagi la bhai. Gila kau, nak jaga anak orang ni bukan perkara senang. Makan pakai aku tak berapa nak terjaga ni pulak nak bina keluarga..."
Dan banyak lagi situasi serupa yang mungkin diterjemahkan dan diolah secara berbeza ^^
Selalunya bila aku bawakan soal mendirikan rumah tangga sebagai satu isu untuk dibahaskan, ramai (tidak kira samada lelaki atau perempuan) yang menolak untuk mengupas isu ini atas alasan aku dan mereka masih lagi hijau untuk menelah masa depan bersama pasangan.
Masing-masing punya pendirian berbeza. Hitam rambutnya sama, tapi belum tentu hati punya warna serupa.
Sekarang, aku cuba analisis setiap dari jawapan kepada setiap situasi yang aku nyatakan di atas,
Situasi 1 :
Sedar atau tidak, terlalu ramai yang berani memberi jaminan kepada hayat atau umur mereka. Mereka seolah-olah yakin bahawa mereka akan dapat menikmati kehidupan sebagaimana yang mereka imaginasikan di layar minda dan kepala sehinggakan mereka lupa siapa sebenarnya yang meminjamkan nyawa.
Tanpa sedar, sebenarnya kita telah memberikan harapan palsu kepada diri sendiri dengan menetapkan had umur sebagai satu pra-syarat untuk melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh, "Saya belum bersedia untuk bertudung. Belum tiba masanya..." Jawab Senah bangga dengan belahan senyuman bila diajukan soal menutup aurat oleh wartawan.
"Hidup adalah sebuah perjalanan yang panjangnya bukan kita yang tentukan..."
Jadi, kau nak semua orang berputus asa atas apa yang mereka usahakan selama ini semata-mata umur yang tiada jaminan, macam tu? - Sabar dulu. Bukan macam tu maksud aku, berbalik kepada persoalan utama berdasarkan situasi yang berlaku, aku nak terangkan kat sini bahawa ramai antara kita yang suka mempersendakan apa yang sedia tertulis di Luh Mahfuz sana. Soal ajal maut itu bukan kerja kita. So, kenapa tak grab a chance untuk berbuat baik sebelum kita dijemput malaikat maut? Kenapa terus-terusan leka dan cuai dengan janji taghut.
Memetik kata-kata Imam Al-Ghazali : "Yang jauh itu WAKTU / MASA LALU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang berat AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA / MENINGGALKAN SOLAT, yang panjang itu AMAL SOLEH, dan yang indah itu SALING MEMAAFKAN"
Situasi 2 :
Pernah tengok cerita hantu? Takut tak bila tengok hantu-hantu yang divisualkan atau dijelmakan melalui imginasi dari kalangan kita sendiri?
Seringkali kita mendengar kisah atau cerita gagal sebuah insitusi keluarga yang 'diarahkan' oleh 'pengarah' tersohor dan dijelmakan kepada masayarakat dalam bentuk cerita-duka-lara-yang tiada-bahagia, dan dek kerana kegagalan itulah, maka minda anak-anak muda yang sebelum ini terbuka jumud jadinya, masakan tidak, mereka dimomokkan dengan keperitan dan kepayahan, kesukaran dan kepincangan serta seribu satu macam cerita yang diperindah dengan tokok tambah supaya sisi insitusi perkahwinan itu tampak goyah. Mudah rebah.
Kenapa tidak dibawa cerita epik suka-duka pasangan yang berjaya meredah samudera, menongkah arus dan gelombang bersama untuk dijadikan iktibar bersama? Bukan sedikit mereka yang berjaya mengecap bahagia biarpun tidak memiliki emas permata atau wang berjuta. Kenapa tidak mereka dijadikan contoh teladan? Tidak menjadi ikutan? Sebetulnya, kita ini penakut dan kadangkala begitu setia menjadi pak turut. Hanya mengangguk saat kepala dihantuk. Bukannya cuba untuk beralih takuk, jauh sekali memanjangkan leher dan tengkok.
"Kita adalah apa yang kita fikirkan..."
Tanggungjawab itu bukan perkara yang perlu kita tunggu, yang akan datang bergolek sampai di depanmu. Ianya adalah perilaku yang bermula dalam diri, bukan boleh dibeli atau ditimbang kati.
-ka.ariffin-
OIT.. PE SENAH2?? JGN DISERU, KANG TROS MJELMA!! :P
ReplyDelete