Wednesday, September 1, 2010

[n0tA 3]



NOTA 3



mungkin ini memang jalan takdirku
mengagumi tanpa di cintai
tak mengapa bagiku asal kau pun bahagia
dengan hidupmu, dengan hidupmu
telah lama kupendam perasaan itu
menunggu hatimu menyambut diriku
tak mengapa bagiku cintaimu pun adalah
bahagia untukku, bahagia untukku

ku ingin kau tahu diriku di sini menanti dirimu
meski ku tunggu hingga ujung waktuku
dan berharap rasa ini kan abadi untuk selamanya
dan ijinkan aku memeluk dirimu kali ini saja
tuk ucapkan selamat tinggal untuk selamanya
dan biarkan rasa ini bahagia untuk sekejab saja

Jelas kedengaran lagu Cinta Dalam Hati dendangan kumpulan Ungu melatari segenap inci ruang bilik kecil berukuran 8 kaki x 6 kaki yang terletak begitu hampir dengan ruang tamu sebuah rumah pangsa yang terletak di tingkat dua. Lagu tersebut adalah lagu kegemaran Syafiq dan Kamarul. Ini dibuktikan dengan kadar kekerapan mereka menyanyikan lagu tersebut di pusat-pusat karaoke berhampiran sehingga mengundang rasa senang hati dan gembira kepada pemilik premis Pusat Nyayian Keluarga berikutan Syafiq dan Kamarul boleh dikatakan antara pelanggan tetap yang kerap dan sentiasa menyumbang kekayaan secara langsung kepada  premis tersebut. (Bayangkan berapa kerap mereka menjejakkan kaki ke sana?)

 Berbeza pula halnya dirumah, lagu itu mengundang rasa muak dan jelak pada penghuni-penghuni rumah yang lain. Hal ini kerana, mereka terpaksa menadah telinga hampir setiap hari mendengarkan vokal-vokal sumbang Syafiq dan Kamarul dari pagi sampai malam. Tidak kira di mana mereka berada, lagu itu akan didendangkan penuh perasaan sedangkan penghuni rumah sewa yang lain  tidak. Walau berbuih mulut menasihati, tetapi nasihat itu umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Langsung tidak diendahkan oleh dua sahabat yang perasan suara mereka lebih sedap dari Pasha yakni vokalis kumpulan Ungu itu sendiri.

“Confirm ke ni dude? Atau kau just nak permainkan perasaan aku sebagai anak tunggal?” Syafiq buat muka tidak percaya. Matanya membulat memerhati lagak Kamarul yang serius. Sesekali, dahinya dikerutkan. Masih diasak rasa tidak percaya. Ini bukan soal-main-main, tapi soal hati dan perasaan. Volume pembesar suara diperlahankan bertujuan untuk memberi fokus kepada perbualan mereka berdua.

Baru sebentar tadi Kamarul meluahkan perasaan melalui satu sesi perbincangan yang tidaklah sehangat sepertimana perbincangan yang berlangsung di dewan parlimen atau sidang dewan undangan negeri (DUN). Itu hanya permainan atau agenda politik semata. Tapi dalam soal Kamarul, ianya melibatkan soal jiwa. Tidak mudah sepertimana yang disangka. Tidak boleh diremehkan. Perlu ada kepakaran untuk menyelesaikannya tetapi tidaklah sampai perlu menggunakan khidmat CSI, FBI atau SWAT.

“Apa pulak, betul lah. Aku serius. Ni bukan lagi kes main-main.” Kamarul menekan butir bicara. Cuba meyakinkan Syafiq yang masih lagi diasak rasa tidak percaya.

“Siapa minah malang tu?” persoalan yang berkelajuan 178 KM/H  itu meluncur keluar dari mulut Syafiq. Mungkin kerana tiada sekatan ‘jalan-raya’ ditambah pula keadaan jalanraya yang agak lengang menyuntik keberanian pada Syafiq untuk menekan ‘pedal minyak’ dan memecut laju tidak sepertimana biasa.

Diam.

“Bapak kau dah bayar insurans kau untuk bulan ni?” Kamarul memulangkan soalan Syafiq dengan soalan baru yang hanya boleh difahami oleh mereka yang belajar ilmu-ilmu makrifat. Dengan diiringi renungan tajam bak helang ianya sudah cukup untuk membuatkan sesiapa yang memandang Kamarul kala itu hilang pedoman. Mengundang trauma dan ketakutan.

“Kenapa kau tanya?” Syafiq masih tidak faham. Mungkin kerana faktor dia tidak belajar ilmu-ilmu makrifat.

Message pending.

 Belum lagi delivered.

“Saja. Aku nak confirmkan. Kalau ada apa-apa yang berlaku nanti bapak kau boleh terus claim.” Tutur Kamarul jujur dengan seraut wajah penuh luhur.

Message delivered.

Syafiq sengih seperti kerang busuk. Wajah Kamarul ditatapnya sekilas. Masih senyum.

 “Er...Belum aku rasa.”

“Ouh? Kalau macam tu tak apalah.”

Diam. Sepi.

“Siapa minah malang tu?” Syafiq kembali menyoal setelah kesepian meraja hampir beberapa minit lamanya. Wajah Kamarul nampak serius. Keruh. Seolah-olah dia sedang bersedia untuk menghadapi musuh yang menyerang dari depan dengan jumlahnya yang beratus-ratus.

Diam lagi. Hanya kedengaran vokal Pasha yang melatari ruang legar bilik kecil itu.

Kamarul masih lagi begitu. Masih kekal dengan posisi sama. Kekal serius. Wajah Syafiq direnung dalam. Seolah-olah mahu ditelan seluruh susuk tubuh Syafiq walau hakikatnya Kamarul tahu dia tidak akan mampu untuk menelan isi tubuh Syafiq yang membulat macam belon, sedangkan dia kurus kering. Oleh kerana bentuk fizikal Syafiq yang seperti itu, Syafiq digelar Bulat, manakala Kamarul mendapat gelaran Pendek dan kadangkala digelar Rendang.  Begitulah kreatifnya pemikiran mereka berdua dalam menghargai peranan sahabat dalam kehidupan masing-masing. Panggilan-panggilan manja sebegitu adalah medium terbaik untuk merapatkan ukhwah.

Dek kerana kekreatifan itulah persahabatan yang terjalin anatara mereka kekal utuh. Segala masalah yang dihadapi dikongsi dan mereka sama-sama mencari solusi. Bukan mereka tidak pernah bergaduh atau bertengkar. Syafiq misalnya, pernah dihalau Kamarul keluar dari bilik dan merempat selama dua hari gara-gara salah faham yang timbul antara mereka. Namun, kerana persahabatan yang sedia ada terjalin mereka leburkan ego yang meninggi dalam diri.

 “Kau nak aku cuci mulut kau dengan cili ke Bulat?”

“Hehehe...Tak nak. Minta ampun Pendek. Aku gurau-gurau je. Siapa gadis melayu terakhir yang berjaya buat kau jatuh cinta ni dude?” Tone suara Syafiq kali ini serius. Mukanya dikerutkan. Entah untuk berapa kali. Baginya, kes ini boleh diklasifikasikan sebagai kes luar biasa. Kamarul bukanlah jenis makhluk Tuhan yang suka bercinta. Kamarul adalah player. Kamarul adalah sweet talker. Kamarul adalah heart breaker. Malah, dia sudah didaftarkan sebagai kasanova kecil sejak tingkatan lima oleh guru kelasnya, Cikgu Massuza Suffian dek kerana rekodnya mempermainkan ramai pelajar sejak dia bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Dungun. Sudah ramai perempuan yang menjadi mangsa. Sudah ramai juga perempuan yang berendam air mata bilamana Kamarul menolak cinta dan mengingkari ikrar janji mereka. Juga sudah ramai perempuan yang trauma dan fobia untuk bercinta penangan cinta palsu dan janji manis yang ditaburkan Kamarul yang nyatanya palsu belaka.

 Mana mungkin seorang player berjaya seperti Kamarul boleh jatuh cinta. Itu perkara gila. Berbagai persoalan bermain di kepala Syafiq. Adakah hati Kamarul sudah boleh menerima cinta. Adakah hijab yang selama ini membutakan mata Kamarul telah terbuka? Apakah keistimewaan gadis tersebut sehingga berjaya membuka mata Kamarul melihat cinta?

“Kalau aku cakap, kau mesti tak percaya.” Kendur suara Kamarul. Riak wajah yang tadinya tegang kembali tenang. Pandangannya dilontarkan kehadapan. Kosong. Dia seolah-olah hilang dalam terang. Panah cinta yang menebak hatinya benar menyakitkan, tetapi masih mendamaikan. Menenangkan. Sekali-sekala ulas bibirnya menguntum senyum yang tiada berkesudahan. Panahan itu membawa bersama sinaran yang bergemerlapan berjuta-juta kali lebih ganda lebih terang sinarnya dari sinaran passport kegemilangan. Dan berbillion-billion lebih terang sinarnya dari kemilau cahaya lampu limpah stadium.

Lagi-lagi diam.

“Siapa? Kau jangan cakap kau jatuh cinta dengan lecturer kau, atau anak Auntie Syan pulak. Aku hempuk kepala kau nanti dengan akuarium ni.” Suara Syafiq kembali bergema, menghalau bersama kesepian yang singgah.

“Bukanlah...”

Syafiq mengerut dahi lagi. Seolah-olah itu hobinya yang baru bila berada dalam situasi sekarang. “Habis tu siapa?”

“Sofea.” Terpacul nama seorang perempuan dari mulut Kamarul.

Syafiq terpempan.

 Ianya satu kejutan.

“Sofea?!!!” Syafiq separuh menjerit. “ Aku tak silap dengar kan? Budak junior yang kau maki-hamun hari tu??” Syafiq kenal benar dengan nama itu. Dan sangat mengenali perempuan yang Kamarul maksudkan. Perempuan itu bukan lagi asing dalam diri mereka berdua. Perempuan itulah yang pernah mengundang amarah Kamarul satu ketika dahulu. Syafiq masih ingat butir kejadian yang berlaku, itu pun setelah diberitahu Kamarul.
Syafiq masih ingat bagaimana suatu hari Kamarul pulang ke rumah dengan riak wajah masam-mencuka. Mungkin lebih masam dari cuka-cuka yang biasa digunakan untuk masakan. Apabila ditanya, Syafiq pula yang menjadi mangsa. Dia dimarahi tanpa dia sendiri ketahui apa kesalahan yang telah dia lakukan. Dia hanya mendengar setiap hamburan yang keluar dari mulut Kamarul dalam keterpaksaan. Sesekali menelan liur. Kamarul ketika itu dilihat seolah-olah seperti seorang bapa yang memiliki susuk tubuh seperti Sazali Samad sedang memarahi anaknya yang telah melakukan kesalahan merosakkan telefon bimbit pintar Iphone atau mungkin telah melakukan kesalahan mencalarkan kereta Toyota Caldina kesayangan.

“Kau biar betik Pendek. Kau dah lupa ke apa yang kau dah buat pada dia dulu? Dekat sebakul lebih kau maki hamun dia. Tup...tup, kau cakap kau jatuh cinta kat dia. Kau biar benar ni? Syaitan apa yang merasuk kau ni?” Syafiq inginkan kepastian. Bertubi soalan diajukan. Langsung tidak memberi peluang dan ruang untuk Kamarul menangkis serangan.

“Aku serius. Aku rasa pintu hati aku sudah diketuk...”

Syafiq memintas percakapan Kamarul. “Siapa yang ketuk? Sofea tu ke yang ketuk?”

“Yup.”

“Dia guna apa? Hammer ke? Sakit tak?”

“Lat, aku serius ni.”

“Sori. Kau fall in love la ni?”

“Haah. Aku pun tak tahu macamana aku boleh fall in love dengan dia.” Kamarul masih keliru dengan perasaan sendiri. “ Dia buat aku rasa bahagia.” Kamarul menambah walau berbagai soalan hadir mengasak fikirannya kini. Bagaimana dia boleh jatuh cinta pada Sofea? Kenapa Sofea? Dia sendiri tiada jawapan untuk setiap persoalan yang semakin kerap menujal fikiran. Yang nyatanya, perasaannya pada Sofea berbunga-bunga. Penuh warna. Wajah Sofea seolah-olah memancarkan cahaya keemasan sepertimana biasa iklan-iklan kecantikan kebanyakan yang dipaparkan di skrin televisyen telah berjaya menarik perhatiannya. Sofea bagaikan bidadari syurga yang di turunkan di dunia bagi menghiasi kehidupan suramnya.

“Bahagia? Dia tahu kau suka dia?” soal Syafiq. Cuba menduga laut dalam walau dia tahu kail yang diguna hanya sejengkal panjangnya.

Kamarul memandang wajah Syafiq. Sekilas, dia kembali menundukkan pandangan. “Tak.” Jawab Kamarul. Lemah. Memang benar. Sesungguhnya dalam situasi sekarang Kamarul boleh diibaratkan seperti bertepuk sebelah tangan. ( Bidalan-bidalan lain yang berkaitan juga boleh digunakan asalkan bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan).

“Kau angau ni sahabat. Entah-entah dia dah ada balak yang jauh lagi handsome dari kau.” Kali ini Syafiq mencuba pula membaling umpan setelah berjaya menduga laut dalam dengan jayanya. Dia merasakan misinya kali ini untuk memancing ikan bersaiz mega akan berjaya berdasarkan penaakulan yang dibuat setelah mengambil-kira faktor seperti cuaca, kadar tiupan angin dan keadaan laut yang tenang, tidak bergelora.

“Kau benarkan aku untuk sebat mulut kau yang celupar tu tak?” Kamarul mula hilang sabar. Bantal peluk yang berada di hujung katil dicapainya. Bersedia untuk membuat serangan bertali-arus. Mungkin ada jasad yang akan bermandi darah dan ada yang kehilangan nyawa malam ini. Dia tidak kisah semua itu.

“Hehehe...sorry. Aku Cuma buat andaian je berdasarkan basic instinct aku yang power ni.”

Kamarul menarik muka. Malas melayan karenah Syafiq. “Banyak lah kau punya power.”

“Ala, rileks la dude. Tak kan la dah jadi mat kuntum sekarang ni?”

“Malaslah aku nak story dengan kau. Buang masa aku je.”

“Ala dude, sabarla. Kau ni macam perempuan. Muka zalim mengalahkan Adolf Hitler, dalam hati penuh taman.”

“Ada aku kisah?”

“Ok, kali ini kita suntik kembali mood serius dalam perbualan yang tergendala sebentar tadi, boleh Saudara Kamarul?”

Kamarul diam.

“Kau tahu tak Sofea ada 3 C dan kau ada 2G?.” Syafiq menguji. Menduga Kamarul.

Lekas Kamarul berpaling. Wajah Syafiq ditenung dalam-dalam mencari pengertian dari butir percakapannya sebentar tadi. Tiada ketemu jawapan. Ditenungnya lagi. Masih tiada jawapan.

“3 C, 2G maksud kau?”

Syafiq senyum kepuasan. Kamarul termakan umpan.

“Sofea tu...Cantik. Comel. Cute. Kau pula Goblok. Gelabah.” tawa Syafiq berhamburan tanpa ditahan. Belum sempat dia menghabiskan sisa tawanya, dia diserang bertubi-tubi. Serangan hendap. Kamarul adalah penggempur utama. Dia tidak lagi mampu menahan sabar. Bantal yang berada dalam genggamannya dijadikan senjata. Susuk tubuh Syafiq dipukul, dilibas, dihentak, dipukul tanpa ada rasa belas. Syafiq hampir hilang nafas.

“Pendek!!! Aku minta maaf!!! Bergema suara Syafiq memohon ampun.

Setelah puas Syafiq dibelasah, Kamarul berhenti mengumpul tenaga dan nafas. Mengah. Bantal yang berada di genggaman dilepaskan. Kesian dia melihat Syafiq.

“Dude, aku ada satu soalan cepu cemas nak tanya kau. Tapi kau kena jawab jujur. Boleh?” Syafiq masih mampu lagi bersuara walau diri sebenarnya penat diserang bertubi-tubi.

“Soalan logik ke tak?” Kamarul kembali mencapai bantal. Bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Logik.”

“Apa dia?”

“Apa sebenarnya yang berlaku antara kau dan Sofea sampai buat kau jatuh cinta sekaligus angau tak ingat dunia?” Syafiq bersuara setelah bangkit dan membetulkan duduk. Lagak percakapannya seperti seorang moderator sebuah rancangan yang mengendalikan segmen nikah kahwin yang bersiaran secara langsung di kaca televisyen. Intonasinya beralun. Bahasanya kemas tersusun menyamai bahasa yang sering digunakan oleh sasterawan-sasterawan negara yang ulung. Dan Kamarul tika itu adalah seorang tetamu jemputan dalam segmen tersebut yang bakal diajukan dengan pelbagai bentuk soalan.

“Kalau aku cerita kau nak buat apa?”.

“Aku buat-buat sibuk!.”

“Blahla kau. Banyaklah kau punya buat sibuk.”

“Habis tu, kau nak suruh aku buat apa?”

“Buatlah kopi ke, nesvita 3 dalam 1 ke ok lah jugak.”

“Nah, minum ni je.” Syafiq menyuakan sebotol Tropicana Twister yang terisi di dalamnya air kosong. “Jimat.” Sambungnya lagi.

“Air kosong je?”

“ Jangan nak demand lebih-lebih. Orang kat Afghanistan tu lagi teruk. Tak ada sumber air bersih.” Syarah Syafiq.

“Baik Ustaz.”

“Bagus. Cepat cerita.”

“Kejap ustaz, nak minum sumber air bersih ni kejap. Dahaga.”

Usai meneguk beberapa kali minuman yang diberikan, Kamarul menarik nafas sebelum mula mengarang cerita. Dia menceritakan segala apa yang telah berlaku. Perihal bagaimana dia boleh jatuh cinta pandang pertama pada Sofea. Raut wajahnya bersungguh-sungguh. Sesekali dia menekan-nekan suaranya bagi meyakinkan Syafiq akan kebenaran ceritanya. Syafiq hanya mengangguk. Tidak menyampuk, tetapi mendengar dan menghayati dengan penuh khusyuk. Sesekali dia menyoal Kamarul bila timbul keraguan dan persoalan di benaknya. Dan seketika dia mengangguk kembali setelah persoalannya diperjelas dengan terperinci dan teliti oleh sahababtnya yang angau itu.

Kamarul dan Sofea semakin rapat setelah mereka sama-sama mengikuti Program Semarak Kasih 11 di Sekolah Menengah Haji Mohammad Taib, Perak. Dari situ segalanya bermula. Mereka ditemukan secara tidak sengaja. Pada awalnya, Kamarul segan untuk menegur. Walaubagaimanapun, Sofea bijak merencana, dia mengambil inisiatif untuk ‘membuka’ mulut Kamarul yang ‘terkunci’. Dan sepanjang program itu mereka kerap dilihat bersama. Berkongsi pendapat dan idea. Dari situ timbul rasa suka. Tapi Kamarul hanya memendam rasa. Malu untuk meluahkan apa yang terbuku di dada. Mana tidaknya, Sofea pernah dimaki hamun, diherdiknya. Namun Sofea kekal profesional. Tetap menegur dan menghormatinya sebagai senior kelab. Pada Sofea, Kamarul miliki dua karekter berbeza. Adakalanya serius, dan kadangkala bersikap keanak-anakan. Perlu bijak jika mahu melihat tawa ria pada wajahnya.

Berbeza pula pada Kamarul. Sofea adalah cahaya padanya yang senantiasa ada menerangi jalannya yang gelap gelita. ( mungkin kerana bil elektrik yang tetunggak ). Tutur Sofea mendamaikan. Tawa Sofea menghiburkan. Senyum Sofea mampu buat Kamarul sawan. Segala apa yang terlahir dari tindakan dan perlakuan Sofea semuanya menyenangkan.

No comments:

Post a Comment