Monday, September 20, 2010

[n0tA 7]



NOTA 7





DEWAN MAKAN, 10.24 MALAM.
SEKOLAH MENENGAH TEKNIK DUNGUN.

                Dewan makan malam itu lengang. Hanya segelintir pelajar sahaja yang kelihatan berbaris untuk mengambil juadah minum malam. Mihun sup dan teh panas yang disediakan tidak mampu menarik minat pelajar untuk berpusu-pusu turun membanjiri isi dewan.

“Berani betul kau kan?” Surya memulakan perbualan setelah menyisip teh panas di hadapannya. Pandangannya tertumpu pada Fiya yang sedang asyik menikmati mihun sup tanpa menghiraukan Surya yang sedang asyik memandangnya. Mihun sup itu padanya jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan isu yang cuba dibangkitkan Surya.

“Berani apa?” Fiya menyoal. Bibirnya terus-terusan menghirup kuah sup panas yang masih menghembus kepulan wap-wap ke udara. Sesekali tangannya ligat mengadun mihun dan kuah sup biar sebati dan kemudiannya dikumpulkan dalam satu sudu sebelum disuakan ke mulutnya.

“Kamarul...”

Fiya berhenti menikmati. Mihun sup yang berada di dalam mangkuk dibiarkan, hanya sudu yang menari-nari dalam limpahan kuah. Pandangannya dilontarkan mengikuti gerak tari sudu yang dimainkan dengan jari.

“Kenapa dengan Kamarul?”

“Yela, berani betul kau tampar dia.” Surya menyambung.

“Sebab aku geram! Aku dah tak boleh tahan dengan perangai buaya dia tu.” Getus Fiya. Pergerakan jemarinya terhenti. Seleranya mati bilamana mendengar nama Kamarul disebut. Sesungguhnya dia benci dengan nama itu. Dia benci melihat raut wajah Kamarul kini. Walaupun Fiya akui dia pernah jatuh hati pada pemilik nama tersebut.

“Memang patut kau buat macam tu. Sedarkan sikit dia tu. Kalau tak sampai bila-bila pun tak akan sedar!” Surya cuba menyemarakkan api kemarahan Fiya. Seolah menyimbah berliter-lliter petrol dalam kawanan api yang sedang marak menjulang.

“Em...”

“Aku peliklah, kenapa senang-senang je dia dapat tackle pelajar perempuan sekolah ni? Dia pakai ilmu apa hah?” Surya semakin galak bertanya. Lepas satu, satu soalan keluar dari mulut mungilnya.

“Ilmu? Apa yang kau merepek ni?” Fiya mengerutkan dahi.

“Yela, ilmu. Kalau tak, masakan senang-senang je dia cairkan hati pelajar perempuan tu semua sampai buta tak nampak yang dia tu buaya.”

“Mengarutlah kau ni. Dia tu mulut manis kau tahu, ayat sikit je perempuan mesti cair . Tak kanlah dia tu ada ilmu?” Selang beberapa ketika, terburai tawa Fiya. Surya hanya mencemik. Dia benar-benar serius ingin tahu bagaimana Kamarul mampu menundukkan dan mencairkan banyak hati.

“Aku agak-agak je...” Surya cuba menyerkap jarang.

“Hahaha...ada-ada saja kau ni. Dahla, habiskan makanan tu cepat. Aku dah mengantuk ni. Nak naik tidur.”

“Lima minit, ok?”

“Cepatlah!” Getus Fiya.

“Sekejap lah...tercekik aku nanti.”

Fiya meleret senyum.  “Kalau kau tercekik, nanti aku panggil Kamarul. Dia kan ada ilmu. Maybe dia boleh tolong.” Terang Fiya dalam senyum. Dia nampak manis begitu. Seulas senyumnya sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja yan memamndang jatuh cinta. Mungkin itulah yang menarik perhatian Kamarul untuk mendekati walaupun pada sisi lain dia kelihatan seperti singa lapar yang selalu memerhati mangsa.

“Apa kau mengarut ni? Tak nak lah aku!”

“Hahaha...tadi kau yang beria-ia sangat cakap dia tu ada ilmu. Mana la tahu dia boleh tolong kau yang tercekik tu.” Fiya cuba mengusik.

“Aku agak-agak je lah. Bukannya betul. Tapi kalau betul, kiranya aku ada basic instinct yang cukup kuat la. Macam Professor Xavier dalam movie X-Men tu.” Ujar Surya bangga. Hidungnya kembang kempis dan hampir mengatasi diameter  tin milo yang berukuran 2 liter.

“Dah. Jangan nak melalut. Nak aku tinggal kau kat sini ke?”

“Ala, kejap lah...Nak berimaginasi sikit pun tak boleh. Huh!” Surya buat muka monyok. Mulutnya dimuncungkan hampir 5 sentimeter panjang. Sesuai diikat riben untuk dijadikan hadiah.

“Tu bukan sikit, tapi dah lebih dari banyak dah.”

“Fiya, kalau aku tanya kau satu soalan boleh?” Surya sempat menyoal walaupun mulutnya penuh dengan mihun sup. Ada yang keluar berjuntaian. Cepat-cepat Surya menyedut. Sama sepertimana iklan Maggi Slurpp.

“Banyak betullah soalan kau.” Omel Fiya. “... Susah ke tak?”

“Moderate.” Tingkah Surya.

“Em...apa dia?

“Macamana kau boleh jatuh cinta dengan heartbreaker tu?”

Fiya terdiam. Lama.

“Fiya?”

Masih belum ada jawapan.

“Fiya, Uya. Sampai hati makan tak ajak kitorang.” Kedengaran suara Masliah, kapten aspuri yang tiba-tiba muncul dari muka pintu bersama botol air yang kosong di tangan. Monyok. Merajuk. Kemudian, muncul kelibat Shareeda, Suriani, Maisarah, Hasnor dan rakan-rakan pengawas lain. Mereka semua adalah rakan sebilik Fiya dan Uya. Semuanya muncul dengan wajah masam mencuka.

Sorry...” hampir serentak kedengaran suara Surya dan Fiya memohon maaf.

“Tak ada sorry-sorry. Kenapa tak tunggu kami tadi?” Shareeda mencelah. Dia lantas menarik kerusi yang berada di hadapan Fiya dan melabuhkan duduknya di situ.

“Ala, kami ingat kamu semua tak nak makan. Itu yang saya ajak Surya turun berdua.” Fiya memberi alasan membela diri.

“Kami naik salin baju la cik adik. Tak kan nak turun dewan makan berbaju kurung bagai.” Giliran Maisarah yang berada di pihak pendakwa-raya memberi hujah. Surya dan Fiya hanya meleret senyum.

“Along, sorry. Maafkan kami yang cantik ni.” Along adalah nama panggilan lain untuk Maisarah. Walaupun memiliki fizikal yang kecil, tetapi kerana jurang perbezaan usia yang hanya beberapa bulan atau mungkin hari memberikan kredit kepada Along memainkan peranan sebagai kakak yang sulong. Sesuai dengan keupayaannya berleter tanpa henti jika ada antara mereka yang melakukan kesilapan. Keupayaan yang hanya mampu dimiliki oleh individu-individu tertentu termasuk Along. Tetapi Along bukanlah peminjam wang berlesen, malah Along tidak pernah mengetuai atau mendalangi mana-mana kumpulan haram tersebut walaupun Along adalah cukup sinonim dengan pemberi pinjam wang yang suka memeras ugut peminjam jika mereka tidak mampu membayar balik pinjaman dalam masa yang ditetapkan dengan kadar kenaikan yang cukup tinggi.

“Bwek...nak muntah Along.” Maisarah buat-buat gaya ingin termuntah.

“Along, jangan muntah kat sini.” Surya bersuara. Cuba menyekat dan menghalang perbuatan Along.

“Kenapa Uya?”

 “Tak. Kesian mak cik cleaner tu nanti. Satu kerja pula nak kena bersihkan muntah Along.” Dalam tawa yang berderai, Surya sempat mengusik. Tanpa diminta, beberapa cubitan sudah pun hinggap di pipi tembam Uya. Ikhlas dari Along. Uya yang tidak sempat mengelak hanya mengaduh sakit.

                “Along....jahat!” Surya mengaduh.

                Tawa mereka semua berderai. Surya memang begitu. Manja. Dek kerana kemanjaannya itulah, dia selalu menjadi mangsa. Selalu dibuli rakan-rakannya yang lain. Namun Surya tidak pernah makan hati. Dia adalah makhluk jenis yang happy go lucky. Perasaan Surya sangat sukar untuk dimengerti kerana dia jarang bersedih hati. Dia adalah sahabat yang senantiasa sudi meminjamkan telinga untuk sesiapa sahaja yang memerlukan. Lebih tepat lagi, Surya adalah problem solver.  Nasihatnya, walaupun kadangkala agak keanak-anakan tetapi masih lagi praktikal. Sesuai untuk dipraktikkan bila-bila masa.

“Fiya, aku dengar kecoh petang tadi kat dewan terbuka. Kau pukul KP kita. Betul ke?” Shareeda menyoal. KP merujuk kepada Ketua Pengawas yakni jawatan yang disandang Kamarul ketika ini. Dan, yang jelas individu yang dimaksudkan adalah Kamarul itu sendiri.

“Betul!” bersungguh Surya menjawab soalan bagi pihak Fiya. Fiya yang berada di depannya hanya diam membisu. Membatu. Langsung tidak memberikan sebarang reaksi berhubung soalan yang diajukan. Sebenarnya Fiya malas untuk melayan soalan-soalan sebegitu. Semenjak insiden itu berlaku, ia telah mendapat liputan yang meluas dari media tidak bersiaran serta wartawan yang tidak berbayar. Fiya dapat merasakan yang insiden itu akan menjadi isu dan topik hangat yang akan diperdebatkan untuk satu jangkamasa yang lama. Mungkin sebulan dua. Ataupun insiden itu bakal menjadi bualan sepanjang zaman. Lifetime story!

“Takla. Mana ada aku pukul dia. Setakat tampar-tampar manja je.” Kali ini Fiya pula yang bersuara. “Biasalah tu. Memang itu pun cara kami bermanja.” Ulas Fiya. Sekadar berbasa basi.

Kali ini semua mata tertumpu pada Fiya. Tidak berkelip. Masing-masing menunjukkan wajah kehairanan. Pelik dengan kenyataan Fiya yang nampak sangat klise. Adakah benar tamparan itu hanya satu gurauan? Sungguh pelik cara Fiya dan Kamarul meluahkan rasa kasih dan sayang. Tampar-menampar mungkin adalah asam garam bagi mereka. Pengikat kasih, pengerat sayang antara mereka.
“Hahaha. Bermanja sampai aku tengok berbirat muka dia. Romantiknya.”

“Romantik apanya? Fiya tampar si KP tu sebab KP tu buat hal!” Surya cuba menjelaskan kedudukan yang sebenar. Alasan sebenar kenapa Fiya menampar Ketua Pengawas sehingga meninggalkan bekas.

“Buat hal apa? Fasal perempuan lagi?” Masliah cuba mendapatkan kepastian. Yang lain turut memandang. Turut sama inginkan kepastian.

“Kalau bukan fasal tu, fasal apa lagi?” jelas Surya. Wajah Fiya di hadapannya dipandangnya sekilas. “...KP kita tu memang kaki perempuan!” getus Surya. Dia sebenarnya masih marah dengan tindakan dan perlakuan Kamarul terhadap Fiya. Ditambah pula dengan rasa bersalahnya terhadap Fiya.

Surya sebenarnya adalah orang tengah yang menjadi medium perantara. Dahulu, semasa berada di tingkatan empat, Kamarul pernah menyuarakan hasrat ingin berkenalan dengan Fiya kepada Surya. Peranan Surya tidak ubah seperti pegawai di Agensi Mencari Jodoh. Surya yang ketika itu sangat yakin dengan keikhlasan Kamarul, di tambah pula dengan status Fiya yang masih single terus setuju untuk menjadi posmen tidak berdaftar Kamarul dan Fiya. Bermula dengan sesi pekenalan biasa, Fiya yang memang sangat dikenali di kalangan pelajar lelaki yang mengelarnya singa betina berjaya dijinakkan Kamarul.

                Pada mulanya, hubungan Fiya dan Kamarul tidak dapat dihidu oleh sesiapa. Kecuali Surya. Mereka berlagak seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa antara mereka. Kamarul senang dengan cara begitu. Dia tidak suka mensensasikan hubungannya dengan Fiya, tetapi mengambil pendekatan untuk melindungi privasi mereka berdua agar tidak menimbulkan sebarang masalah di hari muka. Selama mana bersama, Kamarul dan Fiya jarang benar menunjukkan kemesraan. Malah Kamarul lebih senang dengan sikapnya yang serius dan kadangkala gila-gila. Fiya juga begitu.

Tetapi, lama-kelamaan Kamarul mula menunjukkan belang. Lepas satu-satu kes dia timbulkan. Semuanya berkaitan perempuan. Fiya terasa diperbodohkan. Masakan tidak, dia sendiri tidak mengetahui kegiatan Kamarul sehinggalah diberitahu oleh Surya. Oleh yang demikian, Fiya bertindak nekad untuk bersemuka dengan lelaki hidung belang itu. Hasilnya, berbirat pipi kiri Kamarul dikerjakan. Fiya sudah tidak tahan.

“Fiya, kau ok?” Maisarah menegur melihatkan tiada sebarang reaksi dari Fiya sedari tadi. Hanya Surya yang tidak henti-henti mulut bercerita itu dan ini.

“Em, aku okay. Jangan risau.”

“Okay. Dahla, jom kita naik. Kita discuss kat bilik. Dah lewat ni. ” seru Maisarah.

Kemudiannya, mereka bergerak beriringan keluar dari dewan makan mendaki tangga menuju ke hostel yang berada di sebelah dewan. Bangunan paling hujung.

               

No comments:

Post a Comment