Monday, March 21, 2011

Untuk Ke-2 Kali



Jika sebelum ini, aku lebih banyak membatu bilamana mendengar hujah dan penjelasan dari kamu satu persatu, dan terus jadi bisu dan hilang 'selera' untuk bercerita ini dan itu. Akal dan fikiran pula seolah terbejat, hingga berfikir secara waras pun tidak lagi aku mampu. Waktu itu, ternyata diri ditunggangi nafsu yang melulu. Selalu sahaja menyalahkan KETETAPAN di atas setiap yang berlaku. Tapi kini sebaliknya. 

Kali ini aku rasa lebih bersedia menerima kemungkinan tidak seperti sebelumnya. 
Takut dan gabra bila mendengar patah kata perit yang membunuh jiwa. 

Lebih tenang menerima kemungkinan tidak seperti sebelumnya. 
Hilang arah dan selalu dipandu amarah yang menggila. 

Lebih terbuka menerima kemungkinan tidak seperti sebelumnya. 
Tidak mampu menerima takdir dan ketentuan yang telah sedia ada tertulis di Luh Mahfuz sana, lantas cuba melakukan 'kerja-kerja' Tuhan yang maha Esa.

"Soalnya hati memang sukar untuk dimengerti..."

Terkadang, kita sendiri tenggelam punca saat menggali untuk mencari makna yang selalu sahaja terbit dari sekeping hati milik kita sendiri. Hati yang tidak tetap tempat berdiri. Sekejap itu, dan sekejap ini. Selalu sahaja berubah-ubah bilamana diuji dengan pelbagai ujian dari depan dan belakang, kanan dan kiri. Buat jiwa jadi resah hampir setiap hari. Buat diri jadi nanar bila dipandu hati yang mati. 

"Hati yang berpenyakit hanya akan merosakkan jasad yang telah tersedia cantik..."

Kembalikan hati kepada pemilik hati yang hakiki. Kerana dia lebih mengetahui saat roh ditiup ke jasad kita lagi. Dialah pemilik semua hati-hati di muka bumi. Dan Dialah yang lebih berhak untuk membolak-balikkan hati-hati. 

Biar diuji beberapa kali, biar disakiti berjuta kali, jalan terbaik untuk mengubati rasa sakit, rasa perit adalah kembali kepada fitrah sejati. Dari situ, kita akan lebih mengenali siapa diri kita sendiri. 

1 comment:

  1. hati adalah sumber dari segala-galanya dlm hidup kita..

    ReplyDelete