Wednesday, March 30, 2011

Menganyam Cita-Cita

Jadi penulis?

Memang aku pernah berangan-angan untuk meneruskan minat dalam bidang penulisan biarpun secara sambilan. Mana tahu, mungkin suatu hari nanti ada penerbit-penerbit yang sudi menerbitkan hasil karya aku dan dipersembahkan pada khalayak dalam bentuk bahan cetak. Bukankah itu cool dan gempak? 

Mungkin juga suatu hari nanti hasil karya aku akan diperdebatkan dalam konteks ilmu (itupun jika apa yang aku tuliskan berkaitan dengan salah satu cabang ilmu) di mana-mana fakulti sastera di universiti dalam dan luar negara. Pergh...syok gila!

Atau lebih hebat lagi, hasil karya aku menjadi pilihan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mereka jadikan sebagai novel bagi subjek bahasa melayu komponen Sastera seterusnya menggantikan Novel Interlok yang mencetus fenomena dek kerana kontroversi luar biasa sehingga di bawang ke meja rundingan di parlimen bagi  menggugurkan perkataan 'parya' yang dianggap menghina kaum India.

Tapi semuanya hanya angan-angan yang aku rasa tidak relevan untuk terus aku realisasikan.

Jauh panggang dari api. 
Sekadar menganyam mimpi di tengahari.

Sebabnya, aku selalu hilang konsistensi dalam mengolah idea. Aku selalunya menulis berdasarkan pengamatan dan pemerhatian yang serius terhadap sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling. Kadang-kadang kepala sampai naik pusing . Pening. Sebolehnya, aku cuba untuk wujudkan relasi kondisi atau hubungan dengan keadaan sekeliling dengan 'dunia' baru yang bakal aku cipta agar ianya tidak terus rata tapi ada turun naiknya. Perlu ada variasi pada setiap watak dan pembawakan karekter juga perlu ada warna-warninya. 

Seterusnya adalah susunan plot atau jalan cerita yang kemas bagi menarik minat pembaca. Tapi itu bukan semudah yang disangka. Menulis sesuatu topik atau cerita bukan boleh dipaksa-paksa, kerana jika dipaksa hasilnya tidaklah se-gah mana. Jalan cerita ataupun naratif yang baik perlu disusun mengikut kesesuaian masa dan waktu, juga fleksibiliti watak dan di mana serta bagaimana ia boleh berlaku. Perlu mengikut urutan ataupun kronologi supaya cerita yang dicipta tidak lari dari konsep asal atau lebih tepatnya diistilahkan sebagai merapu.

Usaha perlu diteruskan dengan menambah rencah dan perisa dalam setiap cerita biar cukup rasa. Sesekali cubalah untuk bereksperimentasi. Jangan takut untuk membawa khalayak menerobos mimpi untuk melihat sisi pelangi yang membias cahaya yang berseri. Cipta kelainan dan bukan terikat dengan jejak stereotaip sedia ada. Perlu diingat, anda mempunyai hak dan ruang yang cukup luas untuk ke sana dan kemari tapi jangan sampai dilabel syok sendiri.

Dan untuk aku, aku sedang cuba untuk membawa kisah 'Nota Hati' dan 'Kapal Terbang Kertas' ke satu dimensi baru. 

Kena berusaha lebih gigih.

Tapi sebelum tu...

Nak kena siapkan keje dulu, nanti kena marah plak.
=='

"Dah2, p buat kerja..."

1 comment:

  1. papepun, gut luck De, moga kekal bahagia hingga akhir hayat nun di Syurga y abada, nanti ade time kite main daun terup k.

    ReplyDelete