Wednesday, August 18, 2010

[n0tA 1]



NOTA 1


Tombol pintu kayu yang menjadi pemisah di antara bilik dan ruang tamu dikuak. Gelap. Sunyi. Sepi. Tiada penghuni. Kamarul melangkah masuk ke bilik dengan sekelumit rasa berani yang disuntik ke dalam diri. Tangannya meraba-raba di sekitar dinding berhampiran bingkai pintu bilik mencari suis lampu.

Tak jumpa. ‘Mana pulak perginya suis lampu ni. Sebelum ni elok je ada kat sini. Tak kan dah beralih tempat kot.’ Kamarul sekadar bermonolog sendiri. Tangannya ligat meraba mencari punat suis lampu yang masih belum ketemu.

Jumpa. Dia lantas memetik suis di dinding tanpa ada rasa ragu atau was-was.

BRRRR...KTAK..KTAKK...KTAKKK...KTAKKK!!!

Kamarul terpempan. Saat itu dia melompat dan berundur kebelakang. Bunyi yang terhasil merenjatkan denyutan jantungnya. Bunyi itu masih kedengaran. Kuat, jelas dan menakutkan. Bunyi yang terhasil mengepam 3000 getaran seminit ke seluruh urat nadinya. Jantungnya hampir gugur kebumi. Begitulah metafora kepada sebuah kejadian yang tidak disangka-sangka walau hakikat sebenarnya tidak. Jika dirujuk pada doktor pakar, mungkin mereka akan menekan-nekan perut kerana ketawa terbahak-bahak dengan analogi yang digunakan.

“Kau ni apahal? Dah buang tabiat?” Terdengar satu suara menegur. Kamarul lantas menoleh.Kelibat Syafiq di pintu utama dipandangnya sekilas. Syafiq yang sedang meletakkan kasut di rak bersebelahan pintu utama hanya menggelengkan kepala sambil tangannya menyusun kasut yang digunakan agar lebih kelihatan kemas dan rapi.

Syafiq berjalan merapati. Tangannnya menampar lembut dahi Kamarul  yang berkerut. “Tu kan bunyi kipas. Tengeng!” Syafiq menambah. Kamarul mengoyak senyum. Menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Haah. Lupa la dude. Aku jemur baju kat cover kipas tu tadi. Hanger tersangkut dekat bilah kipas...” Kamarul masuk ke bilik semula setelah lampu dinyalakan. Anak matanya tertancap pada sebuah kipas usang yang tergantung senget di dinding bilik yang semakin perlahan putarannya selepas dia mematikan suis kipas itu tadi. Penyangkut baju yang tersidai masih berada di situ. Masih tergantung di kipas itu. Kipas itu telah banyak menabur bakti dan jasa walaupun kadang-kadang bunyi yang dihasilkan seolah-olah bunyi bilah helikopter atau lebih. Penyangkut baju yang digantung kemudiannya dipisahkan dari penutup kipas dinding.

Tawa Syafiq berderai.  “Hahaha...Tahu pun. Yang kau melompat tadi apahal setan?”

“Saja je. Gimik.” Tingkah Kamarul sambil tangannya sibuk mengalih dan menyidai baju yang separa kering di ampaian luar tingkap bilik.

“Banyak la kau punya gimik. Penakut!”

“Mana ada. Aku keturunan Hang Jebat la. Setakat bunyi macam tu apa aku hairan.”

Syafiq mampir di pintu bilik. Sempat dia menoleh kipas yang masih tergantung di dinding. Memeriksa keadaan kipas usang peninggalan tuan rumah samada masih berfungsi dengan baik atau tidak.

Dengusan Syafiq kedengaran. Memecah tembok kesunyian malam.  “Berlagak! Nasib baik tak patah bilah kipas tu. Kalau tak malam ni aku suruh kau tiup pakai mulut bagi sejuk satu bilik.”

“Habis tu selama ni kau ada pernah jumpa sesiapa yang tiup pakai telinga ke?” Ulas Kamarul membelakangi sahabatnya. Dia sedang gigih berusaha menggantung pakaian yang tadinya menganggu-gugat keegoan lelakinya di ampaian yang terletak di luar tingkap bilik.

Syafiq yang masih berdiri di muka pintu memandang Kamarul yang masih terkial-kial mencuba untuk menyidai bajunya di ampaian. Mungkin kerana kekurangan ketinggian menyebabkan Kamarul sukar melaksanakan misinya kali ini. Memiliki ketinggian sekitar 5 kali ganda lebih kurang dari zirafah sedikit merencatkan perjalanan kerjanya yang memerlukan ketinggian.

                “Kau nak rasa duduk dalam akuarium kecik bersama neon tetra?” Syafiq mengajukan soalan. Soalan yang berupa ugutan perlu diajukan pada manusia yang tidak makan saman. Jari telunjuk kanan diarahkan pada sebuah akuarium mini yang mengisi belasan neon tetra yang berwarna biru dan putih dengan sejalur garisan bewarna hitam ditengah membezakan kedua warna tersebut. Spesies ikan kecil yang cukup cantik kelihatan berenang dengan penuh riang.

“Errr...”

“Kalau nak, aku boleh usahakan. Aku pun dah lama tak buat amal kebajikan. Nak?” Syafiq mengulang soal.

“Aku belum bersedia. Biarlah neon tetra berenang tanpa kehadiran orang baru. Kehadiran aku pasti menganggu gugat keamanan dan ketenteraman mereka.”

“Pasti?”

“Sangat pasti. Tiada keraguan!”

“Bagus!” Syafiq meleret senyum. Beg plastik yang berisi baki kentang goreng yang dibeli dari restoran makanan segera Mc Donalds diletakkannya di satu sudut bersebelahan akuarium. Matanya melirik pandang Kamarul yang sudah bersila menghadap komputer riba. Tangannya ligat menari di papan kekunci komputer tanpa menghiraukan Syafiq yang berdiri betul-betul di belakangnya. Kamarul adalah sahabat karibnya yang gemar bercanda. Kadangkala dia geram dengan perangai Kamarul yang sangat selamba. Jawapan pada setiap persoalan yang diajukan olehnya dijawab sambil lewa serta disuntik bersama elemen humor yang pasti mengundang hilai tawanya sahaja. Jarang sekali humor yang cuba ditonjolkan mampu menjentik emosi Syafiq untuk turut sama bergelak tawa. Perkenalan yang terjalin hampir dua tahun banyak terisi dengan memoir pahit dan manis. Penuh konflik dan tragis! Mereka sama-sama menyewa sebuah flat berhampiran kampus UiTM Pulau Pinang bersama-sama empat lagi sahabat yang lain. Fuad, Wan toyol, Abe dan Roqa berikutan kuota untuk kemudahan kolej terlalu terhad dan kolej tidak mampu menampung kapasiti ribuan pelajar pada satu-satu masa. Akur dengan aturan pihak pengurusan yang pada pengamatan mereka sengaja menganak-tirikan pelajar-pelajar semester akhir seperti mereka. Jadi, hendak atau tidak mereka terpaksa juga menyewa bagi meneruskan rutin harian mereka sebagai pelajar yang penuh dengan disiplin dan dedikasi.

Hubungan akrab mereka berdua terkadang disalah ertikan. Ada mata-mata yang memandang serong keakraban mereka dan tika itu bermulalah sebaran-sebaran am yang bertebaran memenuhi ruang-ruang atmosfera yang menyesakkan gegendang telinga yang mendengar. Segala umpatan dan gosip-gosip liar ditepis dengan sebelah tangan. Bukan setakat itu sahaja, Farah Aminah Nazrie yakni teman wanita kepada Muhammad Syafiq Abdul Majid pernah menyuarakan rasa cemburunya terhadap Kamarul bilamana Muhammad Syafiq selalu melebihkan Kamarul dalam segala hal. Tapi mereka kekal begitu. Kekal intim tanpa perlu ada rasa malu. Hubungan akrab yang dijalin atas dasar ukhwah memang diuji dengan pelbagai ujian. Tetapi bersangka-baik sesama insan itu adalah selemah-lemah iman.

 Tapi sekarang hanya tinggal mereka berdua. Empat lagi sahabat yang menghuni satu rumah bersama mereka keluar menonton wayang. Syafiq dan Kamarul menolak pelawaan sahabatnya yang lain untuk turut sama menonton filem ‘Kuetiaw-Kuetiaw Cinta’ yang mencatat kutipan kotak pejabat pada hari pertama tayangan dan menduduki rating tertinggi setakat ini kerana mereka berdua telah menontonya sebanyak lapan kali. Bermakna lapan kali jualah Kamarul dan Syafiq berendam air mata menyaksikan babak-babak yang menyetuh jiwa dan meruntun perasaan. Kisah cinta bersegi lapan itu benar-benar punya magis tersendiri. Berjaya menyihir penonton sehingga pihak pengurusan panggung wayang terpaksa menyediakan khidmat paramedik kerana bimbang kalau-kalau ada penonton yang diserang histeria.

“Fiq, aku ada something nak story kat kau, tapi kau jangan gelak pulak.” Kamarul bersuara bilamana sepi mula meraja antara mereka dan hanya bunyi putaran kipas yang menghiasi dan menjadi saksi betapa sepi mula menaiki singgahsana. Tangannya masih ligat menari di papan kekunci komputer.

Syafiq diam. Bajunya ditanggalkan dan disampirkan pada penyangkut baju sebelum digantung di dalam almari baju yang berdiri teguh mengisi ruang di dalam bilik. Tangan kirinya menggaru-garu perut yang nampak seolah-olah perut Doraemon atau Giant jika dipandang dari sudut sisi.

“Apa dia?”

Kamarul memalingkan muka dan badannya menghadap Syafiq yang duduk di hujung katil berdekatan tingkap. “Janji jangan gelak?”

“Tengoklah pengisian cerita. Kalau cerita tu lawak, tak kan aku nak bantai nangis pulak.” Balas Syafiq. Dia kemudiannya mencapai kotak rokok dan mengeluarkan sepuntung rokok sebelum disuakan ke belahan bibirnya.

“Ni cerita serius. Antara hidup dan mati.”

“Betul-betul serius ni.”

“Tapi sebelum tu, amaran oleh kerajaan Malaysia merokok membahayakan kesihatan!” sempat Kamarul berpesan dalam nada berseloroh menasihati rakannya akan bahaya merokok.

“Hisy...yelah-yelah. Aku tak hisap dah. Lepas ni aku berasap balik.” Syafiq sekadar mencebik.

“Jangan gelak!” Kamarul mengingatkan.

“Baik!” Syafiq menyatukan ibu jari dan jari telunjuk kanan dan dibawa ke bibir seraya membuat gaya mengunci mulut dan kunci itu dilemparkan keluar tingkap.

Diam.

Masih lagi diam.

“Aku rasa aku jatuh cinta.”

Syafiq bingkas. Dia bangun dari duduk dan berjalan melewati Kamarul. Kamarul yang kebingungan dengan reaksi sahabatnya lantas menegur saat susuk tubuh Syafiq hampir di muka pintu bilik. Betul-betul di hadapannys.

“Dude, apahal? Kau nak ke mana?”

“Dapur.” Ringkas.

Pelik. “Buat apa?”

“Cari sudip...”. masih ringkas.

Dahi Kamarul dikerutkan. Kedua keningnya hampir sahaja bertemu.

“Nak buat apa?”. Kamarul memicing anak mata. Pelik dengan perlakuan dan tindakan sahabatnya yang ingin ke dapur mendapatkan sudip malam-malam buta. Disampuk agaknya. Mungkin kerana terlalu kerap menonton Hell’s Kitchen yang dihoskan oleh Gordon Ramsay. Al-maklumlah, Syafiq adalah pemegang diploma jurusan seni kulinari. Berbeza dengan Kamarul yang bergelumang dengan dunia kejuruteraan Mekanikal.

Serius. “Aku nak korek telinga aku, mungkin ada sedikit masalah teknikal pada koklea aku.” Syafiq mengunjuk jari telunjuk dan mengorek-ngorek dalam telinganya.

“Kau nak aku tolong korekkan pakai buldozer?”

Angguk. “Boleh jugak. Berapa kosnya?”

Geleng. “Tak payah. Demi sahabat tercinta aku buat perkhidmatan percuma!” Kamarul menekan suara.

Senyum. “Hehehe...Tak apalah. Mungkin lain kali.”

“Betul tak nak?”

“Tak nak. Tiba-tiba je aku rasa koklea aku dah kembali berfungsi. Lagipun aku rasa malam-malam jumaat macam ni tak ada yang sanggup keluar rumah buat kerja bawa buldozer.”

Kamarul hairan dengan kenyataan Syafiq. “Kenapa?” Dia cuba mendapatkan kepastian dari apa yang meluncur keluar dari mulut Syafiq sebentar tadi.

“Kau ni pendinglah. Tak tengok tv ke? Iklan MJ, Malam Jumaat!” Ada riak hampa yang yang jelas terpancar di wajah Syafiq. Mesej lawak yang cuba disampaikan belum delivered masuk ke peti masuk mesej Kamarul. Tergendala. Gagal.

“Oh...pernah. Aku pernah tengok iklan tu. Dah faham dah.” Kamarul mengangguk sebagai reaksi balas pada butiran penjelasan sahabatnya.

Syafiq Garu kepala. Sebolehnya dia cuba untuk mengenakan Kamarul, tetapi terbalik pula situasi jadinya. Kamarul berkelakuan seperti bodoh-bodoh alang.

 “Baguslah. So, boleh kau sambung cerita kita tadi?” Tingkah Syafiq cuba menamatkan kekusutan yang melanda. Dia kembali duduk, melabuhkan punngung di tempat yang sama dia berteleku tadi. Badannya yang montel disandarkan pada dinding simen yang menggerutu.

“Boleh...Boleh...For sure. Kat mana aku berhenti tadi?”

“Kau jatuh cinta.”

“Yup. Aku jatuh cinta!”

PANG!!!

Satu tamparan separa deras dengan kelajuan 23 kilometer sejam menjamah lembut pipi gebu Kamarul. Dia tersentak. Syafiq hanya berlagak seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Aku Cuma nak pastikan yang kau sebenarnya tak bermimpi.” Lekas Syafiq menarik kembali tangannya yang masih lekat dimuka Kamarul.Seketika,  sahabatnya itu kelihatan mengusap-usap pipi. Perit barangkali.

“Mimpi kepala jendot kau. Aku cakap menda betul! Serius!!!”

“Hahahaha...sori pendek.”


No comments:

Post a Comment