Monday, February 22, 2010

[ciNtA dALAm hATi]


“Woi, jalan tengok depan la. Tak ada mata ke?!!!”.  Bentak si jejaka. Marah benar dia dengan apa yang berlaku. Buku dan kertas yang dikeleknya tadi,  jatuh bertaburan di lantai. Bertebaran disana-sini.

“Menyusahkan orang je. Ada mata, gunalah!!!”. Omelnya. Mulutnya kumat-kumit melantunkan leteran tanpa henti. Hatinya masih panas.  Tangannya pantas mengutip dan mengumpulkan buku dan kertas yang bertebaran.

15 Minit sebelumnya.
               
“Ok kelas, jangan lupa. Submit assignment  sebelum jam 12 tengahari. Sesiapa yang lewat,  jangan harap saya akan terima ‘sampah’ you all semua! Ucap Profesor Amir  dalam nada penuh tegas.

“Prof, kalau submit petang nanti, boleh tak?” Seorang pelajar siswi mengutarakan soalan.

“Before noon. Ok? Got a problem?”

“Tapi prof...”

“Tak ada tapi-tapi. Submit before noon. Atau, just drop your piece of scrap into the dustbin!!!” Tingkah Profesor Amir.  Kali ini nadanya sedikit tinggi.  Ianya cukup untuk membuatkan kelas pagi itu sepi tanpa ada satu suara yang berani membantah.  Jika ada bantahan sekalipun, ianya hanya berlegar di relung hati.  Bantahan hanya akan menimbulkan padah.   Sesiapa yang membantah juga tidak terkecuali menerima nasib buruk dan ‘sumpahan’ dari MSK.  ‘Mr Silent Killer’.  Pernah suatu ketika, seorang pelajar digagalkan keputusan peperiksaan akhir hanya kerana membantah arahan yang keluar dari mulut “Mr Silent Killer”. 

“Baik prof.” Luah pelajar siswi tadi.  Ada riak kecewa yang berbekas di wajahnya. 

 Ok,so we dismiss our class today. See you soon guys.”  Profesor Amir berlalu meninggalkan dewan kuliah tanpa menghiraukan sebarang permasalahan yang timbul dari kalangan kami. Jelas kedengaran keluhan suara-suara halus yang membisikkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Profesor Amir.  Namun keluhan mereka tenggelam di halkum saat berdepan dengan  ‘pembunuh senyap’ sebentar tadi.

Aku juga tidak terkecuali.

Cepat-cepat aku kemaskan segala buku dan nota yang aku salin sebentar tadi.  Aku ingin ke perpustakaan mencari sedikit bahan untuk assignment yang diberi.  Jam di tangan ku kerling.

“Gila apa orang tua ni?! Satu jam untuk assignment, period ke apa? Mana sempat nak siap.” rungut aku sendiri. 

Aku menyandang begku dan kemudiannya melangkah keluar meninggalkan dewan kuliah yang semakin lengang. Hanya tinggal beberapa pelajar siswi dan siswa yang masih berborak sesama sendiri tanpa aku tahu butir bicara dan topik perbincangan mereka.  Mungkin masing-masing merencana strategi untuk menyiapkan tugasan yang diberi.  Mungkin.

Langkah kaki aku cepatkan.  Aku cuba mengejar masa. Apa yang membimbangkan aku, kalau-kalau tika ini perpustakaan dipenuhi pelajar lain yang juga sepertiku.  Ingin mencari bahan bacaan dan mengulangkaji, dan ada juga segelintir pasangan yang mabuk cinta mengambil kesempatan untuk menganyam rasa kasih dan sayang, merakam gambar pasangan dan kemudiannya bergelak-tawa dari membelek dan meneliti nota kuliah. Suasana begitu adalah rutin harian yang dapat disaksikan dan nyatanya, ianya amat menjengkelkan.

Setibanya di perkarangan perpustakaan,aku  mengeluarkan buku dan salinan nota dari beg sandang yang aku bawa, sebagai rujukan bagi menyiapkan tugasan yang dibekalkan sebelum meletakkannya di dalam loker yang disediakan.  Dan sebelum sempat aku membuka pintu utama perpustakaan, aku terjatuh akibat daripada dorongan pintu kaca yang ditolak dengan kuat oleh seseorang dari dalam.

“Woi!!!, agak-agak la, jalan tengok depan. Tak ada mata ke?!!!”.  Aku membentak pada gadis ‘buta’ yang membuatkan aku terjelopok jatuh. Marah benar  dengan apa yang berlaku. Buku dan kertas yang aku kelek sebentar tadi,  jatuh bertaburan di lantai. Bertebaran disana-sini.  Mata-mata yang melihat kejadian itu hanya memerhati dari jauh dan ada di antara mereka yang datang mendekati.

“Menyusahkan orang je. Ada mata, gunalah, jangan letak kat lutut!!!”. Omelku. Mulutku kumat-kumit melantunkan leteran tanpa henti. Hatiku benar panas.  Langsung aku tidak pedulikan pada mereka yang memerhati.  Belum sempat masalah Profesor Amir aku selesaikan, timbul pula masalah baru.

“Yang kau tercegat je kat situ apahal, tak reti-reti nak tolong?!!! Bentakku lagi.  Terkonyoh-konyoh si gadis tadi tunduk menolong mengutip kertas yang bertaburan, menyusunnya dan menyerahkan kembali padaku.   Takut benar dia untuk bersemuka denganku.  Dia hanya menundukkan wajah tanpa memandang aku.

“Ma..ma..maaf.  Saya tak sengaja.” Tersekat-sekat gadis itu menuturkan bicara.  Masih tunduk.  Aku hanya merengus.

“Kau bawa maaf kau tu, kau cuba jual kat pasar. Nak tengok berapa ringgit kau dapat!!!”

“Tapi, bu...bu...bukan sa...saya je yang salah.  Awak pun salah sebenarnya, awak sepatutnya beri peluang kami keluar dulu.” Tutur si gadis itu lagi.  Ada sedikit keberanian yang disuntik dalam tuturnya.

“Kau langgar aku, lepas tu kau salahkan aku tak tengok kiri-kanan.  Kau tu yang buta.  Ni pintu kaca la mak cik, bukannya kayu.  Kau boleh nampak aku kat luar ni.  Mata kau tu da campak kat mana, hah???” aku menuding dua jariku hampir ke matanya.  Dia cepat-cepat tunduk menutup mata bila aku berbuat demikian.  Wajahnya kemerahan.

“Agak-agakla saudara, kawan saya tu.” Kedengaran satu suara cuba menempelakku.

Aku bingkas bangun.  Menepuk-nepuk habuk dan debu yang tertempel di seluar meninggalkan si gadis tadi yang masih terduduk di muka pintu.  

“Kau jangan sibuk boleh? Ini hal aku dan si buta ni. Lepas ni, kau tolong ajar kawan kau ni berjalan dengan lebih beretika supaya tak menyusahkan orang lain.” Tegasku sambil berlalu melintasi si gadis. Rakan-rakannya yang lain memandangku penuh benci.  Mungkin mereka marah padaku kerna tidak menerima lafaz maaf sahabatnya dan juga menolak untuk menerima kesalahanku.

“Kereknya mamat tu.  Berlagak habis.” Luah seorang rakan gadis itu.

“Dia dengan poyo dia tu sama tinggi je, pegi mati je orang macam tu. Sofea, kau ok?” Salah seorang rakan si gadis cuba membantu Sofea untuk berdiri.  Mereka sama-sama memapah Sofea dan kemudiannya berlalu meninggalkan perpustakaan.

Di dalam perpustakaan, aku mengambil meja di satu sudut paling hujung.  Sebolehnya aku cuba untuk menenangkan diri.  Dan sebolehnya aku cuba mencari ketenangan agar dapat aku sejukkan sekeping hati.  Masih ada mata yang memerhati, tetapi aku langsung tidak ambil peduli.  Ku capai sehelai kertas dan terus larut dalam tugasan yang diberi tanpa menghiraukan kelibat yang lalu lalang.  Aku larut dalam penghayatan.

Fuh...siap akhirnya. Harap orang tua tu puas hati.  Kalau dia reject, masak aku dibuatnya.  Tapi minta-minta  semuanya selamat.  Aku akan pastikan aku grad semester ni.”

Usai menghantar tugasan, aku melangkah meninggalkan bangunan pentadbiran menuju kawasan parkir motosikal untuk keluar makan tengahari.  Terik mentari tengahari itu benar-benar menyengat. Udara panas semilir mengalir.  Meghembuskan bahang panas.   Jelas kelihatan hampir keseluruhan rumput yang baru di tanam di kawasan kampus layu kekuningan kesan dibakar hangat mentari.

                Di kejauhan, tampak berbalam-balam susuk tubuh siswa dan siswi berjalan bergandingan menuju kenderaan masing-masing.  Tika ini, siswa dan siswi berpusu-pusu keluar untuk menikmati hidangan tengahari dan menyisip segelas air bagi menghilangkan rasa haus dan dahaga yang menjalar.

“Bumi semakin panas. Makin gering.” Getusku dalam hati.  Butir-butir jernih mula berbunga di dahi. Mengalir dan kemudian titisan jernih itu gugur ke bumi.  Titis jernih berbau keringat.

Sementara itu di sebuah gerai makan berhampiran kampus, kelihatan Sofea yang sedang menangis ditenangkan rakan-rakannya. Dia menangisi perihal yang menimpanya sebentar tadi.   Benar, dalam soal tadi, dialah yang bersalah.  Tapi baginya, dia tidak berhak untuk dimarahi apatah lagi diherdik dengan penuh berani oleh siswa yang langsung tidak dia kenali.

           “Fiya, sabarlah. Yang lepas tu biarkan je lepas. Lepas ni kalau aku jumpa mamat yang buat kau menangis sekarang ni, aku akan buat dia melutut dan minta maaf dengan kau.”  Ujar Fatimah dalam loghat Sabah cuba menenangkan.  Dia mengusap rambut dan belakang badan Sofea.  Kasihnya pada Sofea tetumpah di situ.  Geram benar dia dengan tindakan dan sikap siswa yang padanya dianggap biadab dan berlagak yang telah menyakitkan hati sahabat karibnya.

“Betul kata Fatimah, yang lepas biarkan lepas. Paling penting kita kena ajar mamat poyo tu...”ulas Ayuni.

“Aku setuju!!!” kedengaran suara Fatimah, Shazwani dan Azie separa menjerit.  Hampir serentak.  Mereka mula berkira-kira apakah hukuman terbaik yang perlu dikenakan pada siswa biadab tersebut.

“Apa maksud kau???” ujar Sofea menginginkan kepastian.  Kedua matanya yang bundar memandang tepat wajah Ayuni. Susana hening seketika.  Mereka berlima cuba merencana.

“Aku ada cara.” Shazwani mula bersuara menghalau keheningan yang hampir meraja di antara mereka.

Sejenak mereka berlima ketawa tanpa menghiraukan pelanggan lain yang turut sama menikmati hidangan makan tengahari.  Tangis Sofea hilang di sebalik perancangan yang telah diaturkan untuk tujuan balas.  Sakit hatinya sedikit terubat.  Dia melemparkan pandangannya ke jalanraya yang sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang.  Pandangannya kosong tika itu.  Masih jelas tergambar setiap apa yang berlaku sebentar tadi di ruang matanya.

“Assalamualaikum, pak cik” aku menghulurkan salam pada pemilik kedai yang berusia hampir separuh abad usai memarkir motosikalku.  Aku melemparkan senyum seraya berjabat tangan.  Aku adalah antara pelanggan tetap yang selalu mengunjungi warung yang lokasinya hampir 1 kilometer dari pintu utama kampus.  Letaknya betul-betul di hadapan papan tanda Kampung Pertama dan Masjid Batu Kampung Pertama.

“Wa’alaikumussalam.  Lama tak jumpa.  Sibuk ke?”  Soalnya selepas menjawab salam yang diberi.

“Biasalah pak cik, student macam saya ni mana penah nak senang.  Sibuk je memanjang.”  aku menjawab persoalan.  Sekadar berbasa-basi.

“Mai sorang ja ka?” soalnya lagi dalam pekat loghat Pulau Pinang.  Tangannya pantas mencedok nasi ke dalam pinggan dan menyerahkannya padaku.

“Haah.  Datang sorang je.  Orang rumah sibuk.” Aku cuba bergurau.  Perkataan orang rumah yang keluar dari mulutku sengaja aku tekankan.  Seketika, kedengaran hilai-tawa kami berdua berhamburan.

Tengahari itu aku makan dengan penuh nafsu.  Masakan tidak, lauk-pauk yang  terhidang dalam pingganku cukup untuk membuat sesiapa yang memandang kecur liur.  Ikan bakar, air asam, sedikit ulaman, sayur kangkung masak belacan dan air durian belanda.  Juadah yang selalu aku inginkan.  Sesekali, juadah sebegini mengingatkan aku pada kampung halaman.  Mengingatkan aku pada susuk tubuh tua yang selalu setia menyediakan juadah dan hidangan kegemaranku bilamana aku pulang kampung halaman. Betapa aku rindu pada air tangan ibuku.  Emosiku mula berkecamuk.

*****

1 comment:

  1. sofea..sdp nama tu tp karakter die lemah sgt..
    sofea sptutnya berani dan jnis yg melawan balik..
    anyway, nice work..suke sgt bace.. keep up a gud work ^^

    ReplyDelete