Wednesday, March 31, 2010

[ciNtA dALAM hAti-Ep3]

"Kau ni gila ke apa?" terpacul soalan dari mulut Kamarul. Air bandung yang disisipnya sebentar tadi berhamburan di meja makan. Kamarul mengesat sisa air yang meleleh keluar dari mulutnya dengan belakang tangan. Dia memandang sekeliling takut-takut ada mata yang memandang. Setelah memastikan tiada mata yang memandang, dia kembali memalingkan muka dan menatap seraut wajah temannya yang duduk berhadapan.

"Kau dah gila ke?" Kamarul mengulangi persoalan. Dia mengambil beberapa helai tisu dan kemudian mengelap titisan air bandung yang terpercik di meja.

"Kau tu yang gila, minum pun habis nak sembur sana-sini. Habis basah baju aku." ujar Faris geram sambil tangannya asyik mengelap sisa percikan yang terkena bajunya.

"Salah kau jugak, yang kau bagi aku soalan cepu cemas siapa suruh." Kamarul mencemik. Geli hatinya melihat gelagat sahabatnya yang asyik mengelap sisa tumpahan.

"Tunggu kejap. Aku nak basuh baju aku ni. Habis bau bandung satu badan. Sia-sia aku pakai One Drop pagi tadi." Faris bingkas bangun meninggalkan meja makan menuju sinki. Kamarul yang duduk di hadapannya hanya memandang dengan ekor mata.

Sebentar kemudian Faris kembali, menarik dan melabuhkan punggungnya di kerusi. Hampir suku bajunya basah. Kamarul yang sedari tadi memerhati tergelak kecil.

"Sorry dude, aku memang tak sengaja. Lain kali kalau nak tanya soalan tu agak-agak la." Kamarul menghulurkan tisu pada Faris.

"Ey, apa da. Aku jugak yang salah. Tapi betul kan apa yang aku tanya tadi?" Faris kembali menyambung perbualan yang terhenti. Bajunya yang basah dibiarkan kering sendiri. Dia menyisip minumannya yang masih berbaki.

"Tak ado makno ea jang. Aku dengan Sofea tu kenal pun tak, nak couple apa ke bendanya. Kau gila ke apa? Dari mana lah kau dengar cerita-cerita tahyul ni. Cuba story kat aku. Siapa yang bagitahu kau? Daus? Shafiq? Lah? Meh sini biar aku starlite dahi diorang laju-laju." getus Kamarul geram. Dia ingin tahu siapakah gerangan yang membawa mulut bercerita itu dan ini tentang dirinya dan mahasiswi bernama Sofea. Mindanya ligat merakam dan mencerna imej segelintir sahabatnya yang nakal yang mungkin berniat untuk menyakatnya.

"Kau jangan nak tipu aku la Kam. Aku dengar dari satu sumber yang rapat dengan Sofea tau. Kira memang confirm leh cayo punyolah." Faris membuat muka. Ada riak gembira terpancar dari wajahnya melihat sahabatnya yang satu itu tidak senang duduk mendengar perkhabaran. Khabar angin yang bertiup mengatakan bahawa sahabatnya itu menjalinkan hubungan dengan Sofea. Faris meleretkan senyuman untuk menambah derita di hati Kamarul.

"Siapa?" soal Kamarul serius. Matanya dibulatkan.

"Kau beritahu aku dulu, betul ke idak?" Faris berbasa-basi. Cuba melancarkan perang psikologi terhadap ketua fasilitator kelab yang selama ini kebal dengan segala bentuk emosi.

"Aku pun tak tahu pape la Ris, nak beritahu apanya." tegas Kamarul. Dia sebolehnya cuba untuk berlagak tenang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia cuba menyembunyikan getar rasa yang mula bersarang.

"Kau cuba ingat balik, aku rasa kau mesti dah lupa ni. Kau kan player. Semua perempuan cantik kat U ni kau kenal." Faris cuba mengusik. Dihadapannya, Kamarul kelihatan ligat berfikir. Dagunya ditongkah dengan kedua tangannya.

"Amboi, manis mulut berbicara nampak. Nak rasa makan bersuap minum pakai wayar ke?"

"Eh, tak. Aku gurau je."

"Nasib baik. Kalau tak, memang arwah seorang yang baik lah jadinya. Sambung balik cerita, aku nak tahu siapa Sofea tu? Kamarul kembali menyoal. Fikirannya kusut saat nama Sofea disebut-sebut. Dia langsung tidak mengenali gerangan siswi tersebut. Dia cuba untuk mengingati setiap inci wajah kawan-kawan perempuan yng dia ada. Wajah Sofea tiada disitu.

"Budak yang kau tarbiah kat library hari tu. Ingat?" tingkah Faris.

"Eh, jap..jap. Nama dia Sofea ke? Mana kau kenal dia?" Kamarul kembali menyoal. Terbayang jelas diwajahnya kelibat siswi yang dimarahi tempohari. Masih segar diingatan.

"Tak kenal apanya, dia junior kelab. Kau tu yang senget. Kau lupa ke dia ada masa induksi kita hari tu?"

"Alamak. Betul ke? Masak la aku macam ni. Tapi serius dude, aku memang tak perasan dan aku memang tak ingat langsung muka junior-junior kelab. Aku tak tahu pun dia tu budak kelab kita. Dia ada bagitahu apa-apa kat kau?"

"Mestila ada. Dia cakap kau maki dia berbakul-bakul sampai dia menangis pun kau boleh blah masuk library macam tu je. Dia cakap kau pun salah sebenarnya."

"Apa pulak. Dia tu yang buta. Jalan bukan nak pandang depan. Salahkan aku pulak. Nasib baik aku bagi bakul, kalau aku bagi dulang ke, tempayan ke, lagi haru."

"Tapi kau tak patut buat macam tu. Dia tu perempuan." Faris cuba berhujah. Tindakan Kamarul dirasakan tidak wajar.

"Tak patut sebab dia perempuan? Sebab dia perempuan lah aku buat macam tu, kalau lelaki, tak ada maknanya aku nak maki hamun. Tak pasal-pasal lobam biji mato den ni hah..." tungkas Kamarul. Jari telunjuk di bawa ke matanya.

Monday, March 29, 2010

[buKAN sELaYAknYA]

Aku bukan yang terbaik untuk dicontohi,
jauh sekali untuk diteladani,
aku hanya manusia biasa yang cuma meminjam nafas dari ILAHI,
untuk bertatih merentas REALITI,
Kerap kali aku melupai,
kerap kali juga aku tersasar dalam kembara mencari erti,
Seringkali aku menyakiti,
seringkali juga aku melukai,
hati yang selalu ada mengerumuni,
Hati yang selalu ada menemani,
Hati yang selalu ada menyayangi.

Aku bukan selayaknya untuk dipuji,
jauh sekali untuk dipandang tinggi,
aku hanya manusia biasa yang berdiri dengan izin ILAHI,
melihat dunia dari pelbagai persepsi,
Acap kali hati ini dikotori,
dan acap kali aku lari menjauhi,
fikrah azali.

Dan tidak selayaknya aku.

Ya Allah, kepadamu aku bermohon,
jangan sekali ENGKAU bolak balikkan hati ini yang sebenarnya rapuh dalam mencari erti.

Friday, March 26, 2010

[kERaS hAti]

"Kau cakap senang la, kau bukan ada kat tempat aku!" suara adikku meninggi dicorong telefon. Marahnya berhamburan. Saat itu suaranya seolah halilintar yang membelah bumi. Awan mendung yang berarak antara kami membawa bersama deras hujan air mata.

"Bukan masalah aku ada atau tak. Masalahnya cuba kau dengar apa yang aku nak cakap. Sampai bila kau nak marah ma? Sampai bila kau nak gaduh dengan dia? Kau nak apa yang berlaku pada arwah ayah berlaku pada kau sekali lagi? aku memulangkan segala persoalan yang adik aku ajukan dengan soalan yang lebih rasional aku rasa. Akulah tempat ibuku meluahkan rasa kecewa dan kecil hati saat dirinya disakiti adikku yang seorang ini. Lantas aku beranikan diri mendail nombornya untuk berkongsi rasa. Bertanyakan perihal masalah yang berbekam dijiwanya.

Saat dia memulakan bicara, aku tahu ada sesuatu yang tidak kena. Dia benar 'memusuhi' ibuku saat itu. Aku sedaya cuba bertoleransi. Cuba mendengar setiap inti cerita agar aku tidak terlepas setiap patah kata yang akan keluar dari mulutnya.

"Aku tak tahan dengar ma membebel setiap kali dia tengok muka aku. Aku bukan buat salah besar pun."

"Aku tahu, dan aku pernah ada pada zaman tu. Kakak, abang pun pun pernah ada pada zaman tu. Semua pernah rasa, bukan kau sorang je. Kau tahu kan perangai ma, kalau dia bebel semua akan kena tempias dia walau orang tu tak ada depan mata dia. Tak kan tak boleh sabar sikit. Tahan je telinga." aku cuba memujuk.

"Sabar? Aku da cukup sabar dah kau tahu. Dah lama aku sabar." keras suara sudah cukup untuk menggambarkan segala. Betapa dia menderita. Mungkin pada masa itu rumahku adalah 'neraka' dunia padanya.

Aku memahaminya, kerana aku pernah mengalami situasi yang sama. Mendengar 'ceramah' pada frekuensi yang pada aku lagi tinggi dari pencemaran bunyi. Hampir setiap pagi, kami adik beradik akan mendengar siaran 'radio' tidak berbayar. Mendengar itu dan ini. Memang aku akui, mulut emakku cukup petah berkata-kata. Sangat ringan bila ada 'bahan' baru yang akan diolah menjadi cerita dan halwa yang nyatanya amat menyakitkan telinga.

"Kau tahu kan, kalau kau tak buat salah ma tak akan buka mulut dia. Mungkin kau ada buat salah kat mana-mana. Kau pun tahu perangai ma macam mana. Dia bukan boleh tengok anak dia duduk bersenang lenang, goyang kaki kat rumah. Ma pantang tengok semua tu." aku cuba berhujah. Bercakap berdasarkan pegalaman dan pengamatan sedia ada. Memang itu realitinya, emakku bukan jenis yang memanjakan anaknya dengan memberi muka. Bukan itu metod pendidikannya. Kami diajar berdikari, diajar untuk hidup susah agar kami mengerti betapa sukar mencari rezeki. Latihan yang menjadikan aku dan yang lainnya mampu untuk berdiri atas kaki sendiri.

 "Kau fikirlah,kalau kau rasa memusuhi ma adalah jalan terbaik, teruskan. Tapi jangan sampai suatu hari nanti saat ma tiada disisi, kau menangis meratapi. Kita hanya ada satu ma, dan ianya tiada galang ganti. Aku sayang ma lebih dari aku sayang diri sendiri, dan aku harap engkau sayang ma seperti mana aku. Kau boleh marah dia hari ni. Tapi bukan nanti. Kalau kau rasa dah cukup kuat untuk hidup sendiri, keluar dari rumah, dan belajar berdikari. Kau akan faham apa yang aku persoalkan sekarang ni. Sebijak mana pun aku, sepandai mana pun kau, kau tak akan mampu berdiri kalau ma tak meredhai." ada butir jernih yang keluar dari mata aku tika itu. Aku cuba mententeramkan emosi dalam pada aku melancarkan perang psikologi. Talian ku putuskan untuk memberi ruang adikku berfikir.

Percaya atau tidak, hari ini aku tidak perlu lagi kerutkan dahi dengan masalah yang berkisar pada ketinggian frekuensi bunyi. Adikku nyata menyedari, dan kini dia lebih menghargai. Setiap apa yang dia lakukan pasti akan sampai ke pengetahuan emakku tanpa perlu risau pada sebuah leteran walaupun kadangkala sempat tuning 'radio' emakku berbunyi. Berleter itu dan ini. Mungkin itu cara untuk dia menumpahkan rasa kasih dan sayang. 'Radio' itu yang membesarkan kami dan mengajar kami agar tdak keras hati untuk mendengar dan memahami.

p/s: aku dedikasikan untuk ibuku, SITI NOR WAN MAT. dan maafkanku KAMARUL HABIBI ARIFFIN andai nasihatku melukakan hati.

[uMAt pENiPU]

"Kak, air anggur satu." pesan seorang wanita berbaju kurung.

"Mama, adik nak air sirap." rengek seorang kanak-kanak lelaki dari tingkap Honda CRV penuh mengharap pada wanita yang berbaju kurung tersebut.

"Tak bolehla dik, air sirap ni banyak semut..." sahut ibunya yang berdiri sementara menunggu makanan yang dipesan siap dibungkus.

"Adik nak air sirap..."rengek si anak lagi.

"Tak bolehla dik. Mak cik tak jual air sirap." kali ini tuan empunya gerai pula yang menjawab sambil tangannya ligat membungkus air anggur yang telah sedia dipesan oleh ibu pada si anak kecil itu tadi.

Aku yang asyik menjamu hidangan nasi lemak petang itu terkesima. Aku melihat pada wajah kecil yang kesedihan tatkala permintaannya ditolak bahkan dia ditipu hidup-hidup oleh ibu sendiri.

Apa salah anak kecil tu?

Aku sedaya berfikir rasionaliti disebalik setiap apa yang berlaku. Menipu si anak untuk menolak sebuah kemahuan? Menipu si anak dan menolak permintaan? Rasionalkah ini semua. Tidakkah kita terfikir setiap apa yang kita lakukan hari ini akan menjadi cerminan kepada anak-anak kecil yang bakal menongkah arus kehidupan yang penuh tipu daya? Tidakkah kita terfikir yang satu hari nanti akan lahir lebih ramai penipu yang hidup dalam budaya menipu untuk menipu si penipu?

"Saya jual ya cikgu."tutur peniaga itu lembut usai memulangkan baki pada wanita itu tadi.

Saat itu aku tersepit. Perit untuk aku menempuhi sebuah realiti kehidupan. Aku bingkas, berjalan menuju kaunter dan membayar harga makanan yang aku pesan. Saat berjalan, otak aku ligat memikirkan setiap apa yang berlaku. Susah untuk aku hadam.