Wednesday, June 30, 2010

[iNg4t]

Nafas tercungap!
Hilang rentak,
Naik turunnya semakin kerap,
Dada kencang berombak! 
 Adakah ini petanda atau alamat?

Saat melintas kelibat, 
Harumannya memikat,
Jiwa bergelojak, memberontak!
Mata bundar itu ku tatap...
Bening, punya maksud tersirat.

Rasanya sarat,
Seolah beban yang memberat,
Apakah ini hijab?
Atau CINTA yang membejat?
Berilah aku 'mata' untuk melihat.
Agar tidak sesat, 
Menilai dan melihat...
  
Andai benar aku terjerat, 
Khilaf itu perlu ku elak, 
Jangan sampai langkah terikat,
Kerana,
Dalam setiap hela nafas,
Atau kata terucap,
Jangan sampai nafas tersekat!


Tuesday, June 29, 2010

[sEsUAtU]

Menulis dari Putra Perdana, Puchong...

Selesema masih berbaki saat menjejakkan kaki di sini.  Demam masih membaluti diri. Batuk masih lagi menghuni. Alhamdulillah...Lega bila tiba. Semuanya selamat dan sihat belaka. Syukur pada DIA yang mengurniakan limpah rahmatNya dan sentiasa membelai kita di bawah lembayung rahmah.

Penat.  Lenaku hanya sekejap biarpun pada awalnya rasa mengantuk bergayutan membuatkan kelopak mataku memberat dan akhirnya melekat. Tertutup rapat.

Aiman, si cilik yang sentiasa menghiburkan lena diperaduan. Geram! Sudah sekian lama aku tinggalkan pipinya yang nyata semakin tembam dari dihujani ciuman. Tunggu je siang.

Sekadar menulis sesuatu, dari membiarkan laman sesawang ini kelu, beku dan sawangnya memenuhi setiap penjuru.

Saturday, June 26, 2010

[kitA]

Sama?
Hanya pada warna rambut,
Hanya pada udara yang disedut,
Hanya pada tanah yang kita duduk
Hanya pada nilai bahasa yang direnggut,
Hanya pada maruah bangsa yang tinggal sejemput,
Tapi samakah?

Tutur kata?
Patah bicara?
Yang keluar dari mulut?

Budi bahasa?
Sopan-santun?
Atau sekadar menunjuk?

Buahan fikiran?
Kolam idea yang berlimpahan?
Atau sekadar menangguk?

Pendapat yang ditelurkan?
Bantahan yang disuarakan?
Atau sekadar mengangguk?

Mata-mata yang memandang? 
Perhatian yang diberikan?
Atau sebenarnya mengantuk?

Bebelan?
Suara-suara sumbang?
Sudahkah mengunci mulut?

Renung,
Tenung,
Jangan hanya terus melukut,

Bangkit!!!
Bangun!!!
Jangan terus terperosok!!!

[bidALaN]

Memetik kata seorang teman,

"Orang  yang bijak tidak akan sesekali betah menunjukkan kebijaksanaanya, tetapi di luahkan kebijaksanaanya tika menyelesaikan sesuatu perkara..."

Kebijaksanaan itu itu diukur dari atau melalui kemampuan untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Setuju?
Masih ramai dari kalangan bijak pandai, yang luas pengetahuannya, tetapi cetek pengalaman dalam gelanggang kembara di belantara dunia. Mereka yang bijak dari segi akalnya, kekadang tersadung juga langkah bilamana diasak oleh masalah yang bertimpa, berbeza dengan mereka yang luas pengalamannya. Masalah pada mereka adalah ruang dan peluang keemasan untuk mereka teroka.  Belajar dari pengalaman, optimumkan pencapaian, dan minimumkan kesilapan.

Kerna, ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan.(Pahrol Mohd Juoi-Nota Hati Seorang lelaki)

Friday, June 25, 2010

[.... ePis0d 2]

~ada nampak macam demam x?

~merenung nasib di dinding!!!


Ulasan hati yang parah:
Bosan yang membadai buat kaki aku patah...
Nak membaca, semua buku kat rak aku dah khatam dah,
Nak ngorat anak jiran sebelah rumah jenjalan, fikir dua tiga kali, 
Bukan apa, susah...
Hidung tersumbat, badan lemah, batuk tak sudah-sudah,
Nanti cakap aku bawa virus pulak, kan parah,
Leh bawa padah... 
Baik duduk je rumah...


Thursday, June 24, 2010

[....]





Selesema sepanjang hari...

Sakit kepala bagai ditusuk duri.

Hilang upaya untuk berdiri.

Bertemankan buku, sekujur tubuh aku selimuti.

Flu! Aku memang alah. Sebabnya, bila ia menyerang aku jadi tak tentu arah.
Nak hela nafas pun bukan main susah. Hidung tersumbat memang sure punyalah. Hah! 
Doktor-doktor perempuan yang single yang panas dan pedas, tolonglah. Tak tertanggung rasanya dah. Langsung tak ada tanda-tanda nak kebah. 
Makin bertambah teruk adalah.

Tuesday, June 22, 2010

[kENAngAN]

Bukan mudah untuk lupakan kisah yang indah, bukan? Tapi apa yang perlu aku atau kita semua ingat, jalan mesti ke depan.Bukan mengatur langkah ke belakang. Seindah manapun kenagan, simpan. Hargai masa depan. Kerana itu yang pasti. Yang lepas itu realiti yang kini semakin tebal dibaluti ilusi. Belajarlah untuk lebih menghargai. Itu pesan aku pada Kamarul Abadi.

"Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran..."

Pepatah di atas adalah cerminan kepada apa yang aku cuba manifestasikan. Betapa datuk nenek moyang kita dulu belajar dari pengalaman yang mematangkan fikiran dan pengamatan yang cukup tajam. Jika tidak, masakan mereka mampu untuk menelurkan kata-kata berhikmah seperti ini. Pengalaman. Kerana mereka belajar dari pengalaman yang sama tapi berbeda situasi dan masa, juga betapa pengalaman itu sendiri mengajar mereka untuk lebih menghargai, jadi mereka titipkan pada kita, anak cucu mereka kata penuh kiasan. Indah,bemakna serta mendalam.

Dalam apa jua tindakan, atau perlakuan yakinlah bahawa Tuhan telah menetapkan yang terbaik untuk kita sebagai hamba. Ilmu Tuhan sangat luas, manakala ilmu yang dipinjamkan pada kita bersifat terbatas. Akan ada hikmah disebalik kejadian, kerana DIA adalah sebaik-baik dan sebijak-bijak perancang. Jangan pernah cuba untuk melakukan atau masuk campur 'kerja Tuhan'!

Yakinlah.

Setinggi mana kita berdiri,
Sejauh mana kita berlari,
Tetap akan dihitung buku amalan kanan dan kiri....

Berdepan dengan realiti,
Jangan kita dihinjak dengan ilusi,
Diperkotak-katik mimpi sendiri,
Semalam adalah kenangan,
Hari ini adalah kenyataan!
Pahit atau manis,
Itu, kita yang tentukan!

Sunday, June 20, 2010

[niL4i]

Biar jauh,
Kasihmu tetap utuh.
Biar berbeza sempadan,
Tak kan lerai ikatan,
Kemas dalam ingatan.

"Selamat Hari Bapa ayah..."

 2 tahun kami ditinggalkan, dan ucapan itu hanya berlegar di dinding ingatan. Sekadar monolog dalaman. Bicara hati aku yang sarat merindu pada figura yang tegas dan garang: hanya pada zahirnya, tapi penuh kelembutan. Menyoroti pengalaman bersama arwah ayah, aku jadi sayu. Gurau senda arwah, cerita-cerita lucu, semuanya seolah baru semalam ia berlalu.

Garang arwah ayah memang tidak dapat aku nafikan walau aku tidak pernah jadi sasaran. Sedari kecil sehinggalah menginjak dewasa, aku pernah menjadi saksi beberapa episod baran ayah. Semuanya aku akui, silap kami sendiri. Kayu atau tali pinggang, sepak terajang mahupun tamparan kerap menguliti setiap dari kami. Aku terkecuali. Mangsanya: abang-abang dan adik-adik aku yang cuba mencabar kredibiliti arwah atau juga mungkin mereka merindui penangan dari arwah ayah menjalari setiap inci tubuh mereka. Mereka inginkan cenderahati yang bisa buat mereka mengingati kembali setiap memoir nakal yang pernah mereka lalui. Mandi sungai, memancing, berbasikal sejauh 20-40 km semata-mata mencari keseronokan sehingga lupa pada satu-satu rutin harian.

Pernah abang dan adik dipukul dengan batang penyapu sehingga patah dua batang penyapu tersebut gara-gara mereka pergi memancing sehingga mengabaikan sesi pengajian Al-Quran (mengaji Quran sebelah rumah dengan seorang nenek). Itu cara arwah mendidik. Bukan ayah menghalang, tapi perlakuan sebegitu diluar kebiasaan. Arwah sangat suka memancing. Satu ketika, arwah pernah membawa semua anak jantannya meredah denai dan hutan serta ladang sawit, menyolangkar dan menjelajah dari satu lubuk ke satu lubuk. Hasilnya, kami pulang dengan senyuman melihat hasil tangkapan. Arwah juga suka memikat dan memukat burung. Aku adalah pengikut setia arwah. Dulu, rumah kami dikelilingi reban dan sangkar yang menempatkan berbagai jenis burung. Tapi perlahan-lahan semuanya bertukar wajah, saat ketiadaan arwah.

Senyuman arwah mampu menyembuhkan luka. Mampu mengubat duka. Arwah seorang yang memeliki keupayaan mengubat orang sakit. Kata arwah, dulu arwah penah belajar dan menuntut di tanah seberang (Indonesia). Walaupun ramai yang meminta bantuan dari arwah saat mereka menahan kesakitan, aku memandangnya dari sudut berbeza. Ayah adalah pilihan terakhir. Pengalaman mengajar aku erti kesakitan. Saat aku terseliuh ketika dalam latihan bola sepak, aku lunjurkan kakiku pada ayah. Akibatnya, terpekik terlolong aku menahan kesakitan dan kaki yang sebelah lagi menendang-nendang udara. Ayah membuat keputusan untuk menguci pergerakan aku. Ma hanya memandag dan meleretkan senyuman. Aku, terkia-kial menahan kesakitan.

Bukan setakat itu sahaja, adik yang pernah patah tangannya disembuhkan dengan hanya menggunakan rawatan trdisional. Siput sedut ditumbuk bersama sireh dan kemudiannya dilekapkan bersama balutan dan disokong oleh bilah-bilah buluh yang diikat dengan kain perca. Tangan adik pulih seperti sediakala tanpa perlu medapatkan khidmat doktor. Sakit gigi, cacing, demam kuning, semuanya boleh diubati. Sekadar mencalit kapur di jari dan kemudiannya disapu pada tempat-tempat tetentu. Palin menarik, abang yang pernah berubah sikap secara mendadak, dikesan oleh arwah 'membawa' sesuatu bersamanya usai mengikuti latihan ketenteraan. Dengan bacaan suci ayat-ayat al-Quran, arwah melingkarkan benang kuning pada pinggang abang. Segalanya kembali seperti sedia kala dan arwah sempat bepesan pada ma, ambil dan simpan pinggan hijau yang berada dalam beg celoreng abang. Kerana itu puncanya. Betapa ruginya aku tidak berkesempatan mempelajari semua itu. Ada hikmahnya.

Bagi aku arwah adalah seorang yang romantis walau tegas dan garang pada ma. Arwah seorang yang sabar dengan pelbagai kehendak dan karenah ma yang pelbagai. Paling terkesan, arwah sanggup memandu berjam-jam lamanya membawa 'datin' keluar bercanda. Itu yang ma luahkan. Arwah tidak cerewet, makan apa sahaja yang ma masak tanpa banyak songeh kerna tahu perangai 'nakal' ma. Jangan dikutuk atau gatal-gatal memberi komen. Atau anda perlu berlapar sepanjang hari bilamana 'exec chef'  menarik diri untuk beraksi dari memegang senduk dan kuali. Jadi, hati-hati. Dulu arwah adalah segala tukang dirumah dan kerap 'dibuli' ma.

Andai aku jadi bapa suatu hari nanti, pasti akan ku suntik elemen yang ada dalam diri arwah ke dalam diri aku. Garang, baran aku tolak ketepi kerana aku lebih selesa berdiplomasi dari menyakiti untuk menasihati. Aku adalah cerminan arwah ayah yang memiliki sifat dan peribadi ma. Adunan yang membentuk aku.

Ayah,
Di merindui saat Di berkesempatan menggunting rambut ayah. Itulah kali terakhir sebelum ayah tinggalkan kami dengan rambut yang tersisir rapi. Maaf ayah andai Di banyak menyakiti. Hanya doa yang akan mengiringi.

Selamat Hari Bapa, bapa yang hebat!

[k0Ngsi]

Banyak sangat yang aku rakam.

Aku simpan.

Aku telan.

Tetapi belum tentu aku mampu hadam. Semuanya aku biarkan dalam lipatan kenangan.

Complicated? Itu gambaran. Supaya senang untuk semua buat tafsiran. Sekadar analisa, sebelum mula berjabat tangan. Sebelum senyum engkau  ukirkan.

Lafazkan salam perkenalan sebelum membuat sebarang penilaian. Itu aku rasa yang terbaik. Asbabnya, aku rasa tak semua manusia dikurniakan 'deria' keenam. Mampu membuat penaakulan tanpa perlu menghulur salam atau berjabat tangan.

"Tak nak lah aku, tengok muka dia pun aku da seram, inikan pula nak tegur. Tak kuasa aku."

"Dia tu tak pernah senyum. Lokek sangat! Apahal, ada emas ke kat dalam mulut dia tu?"

Itu adalah antara komentar yang senantiasa berlegar. Tapi untuk apa komentar itu diperdengar?

Jangan beri alasan untuk setiap tingkah dan perlakuan. Jangan menghukum sebelum mendengar hujah perbicaraan!

Saturday, June 19, 2010

[LeW4t]

Saat mata bertentang mata,
Kagum!
Saat mulut terbuka,
Terlopong!
Saat minda dikerah bekerja,
Kosong!

Siapa yang kau tenung?
Siapa yang kau pasung?

Mendabik dada!

Pemilik jiwa!
Angkuh itu nak dibawa ke mana?
Sombong itu ke mana pula nak dihala?

Pemilik jiwa!
Sedarlah,
Jangan hanyut dengan ammarah.
Jangan kalah dengan bisik yang 'indah',
Jangan tewas dengan hampar dunia yang mewah,

Kembalilah,
Kembali sebelum datangnya mati,
Kembali sebelum halkum ia lewati,
Kembali sebelum tiupan itu membelah bumi!

Friday, June 18, 2010

[sAR4t mERiNdU]

Belum puas berada di rumah.

Itu apa yang aku cuba terjemahkan sekarang. Neuron-neuron otak bertindak-balas secara aktif memberikan respon serupa. Hasilnya, setiap kali aku diasak dengan sesuatu kerja, aku jadi sedikit malas. Malas untuk melaksanakan tugas. Alasannya, aku lebih rindukan awek-awek hot suasana rumah aku. Dengar cerita-cerita keluar dari bibir ma aku, ibu aku.

Ma dah kurang berleter sekarang. Sangat jarang aku dengar bebelannya yang panjang. Mungkin dek kerana usia kami sendiri sudah menginjak tua bangka tak sedar diri dewasa. Maka, kematangan dalam berfikir menjadi titik-tolak kepada permulaan hidup yang lebih baik. Aku jadi rindu semua tu. Rindu pada butir suara ma yang keluar ibarat peluru muntah, bertaburan keluar dari magazin dan meluru laju menebak kalbu. Sakit, perit, tapi itu semua mendidik. Ma tak pernah naik tangan, seingat aku ma hanya mengugut.

"Buatlah kalau berani, kalau nak rasa!"

"Nak kena ni, nak kena..."

Hanya itu baris ayat yang keluar dari mulut ma. Tidak ada jentikan, cubit dan tampar. Tak pernah.

Aku langsung tak kisah diarahkan melakukan kerja rumah seawal pagi sebelum ma melangkah kaki ke tempat kerja. Pesanannya walau panjang berjela akan tetap aku laksanakan dengan hati yang bengkek rela. Sebaik mungkin. Itu rutin.Ma adalah boss, dan aku adalah kuli tak bergaji ma. Tiada rungutan (walau kadang-kadang ada kerja-kerja simple yang ma suruh aku buat yang ma boleh selesaikan sendiri aku rasa).

Di rumah, aku adalah tukang kebun, electrician, pembantu tukang masak, penebang pokok, pembantu rumah, tukang sapu (dah macam majlis perbandaran), tukang repair alatan-alatan yang da rosak, tukang paip, tukang adjust anak dara jiran seblah umah, tukang kayu, perunding imej, pereka landskap, tukang cat, interior designer, dan berbagai tugas sampingan lain yang tak perlu aku nyatakan di sini. Itu aku. Mungkin sebab didikan arwah ayah dan ma yang berjaya membentuk kami 5 beradik agar terbiasa dengan persekitaran kerja. Ma tak suka tengok anak dia duduk senang, goyang kaki dan ternak badan. Kala itu badan dia jadi panas, organ dalaman dia mula tak stabil dan mulutnya terasa ringan. Hasilnya, radio Cik Nor berkumandang, bergema ke serata alam.

Aku jadi rindu. Hati jadi sayu.

Lima hari di rumah cukup untuk menambahkan berat badan aku ke paras ideal maut! Semacam buncit bilamana satu hari 3 ke 4  kali keluar dating dengan anak jiran menghadap periuk nasi. Peti ais ma yang biasanya sarat dengan barangan makanan dan buahan jadi kosong dek kerana penangan pelahap tahap dewa aku. Ma garu kepala. Jin, syaitan Puaka apakah yang merasuk anaknya sehingga berubah sebegitu rupa. Hampir-hampir aku berkampung di hadapan pintu peti sejuk.

Aku jadi rindu. Hati jadi sayu. Walau nasi hanya berulamkan petai dan budu, semua itu sudah cukup untuk membuka pintu selera aku untuk makan dengan penuh bernafsu. Air tangan ibu mengalir penuh kasih sayang. Manis, masin, tawar semuanya cukup membangkitkan selera makan.

Terima kasih ma. Untuk ikan bakar yang memang tiada tolok bandingnya. Terima kasih ibu, untuk nasi dagang yang berjaya menodai perutku. Terima kasih!

Tuesday, June 15, 2010

[hiL4Ng]

Sirna itu masih ada,
Bersisa,
Sakitnya masih terasa,
Berbisa!
Menyesakkan dada.

Walau ku kembara serata,
Walau ku redah segala,
Walau ku harung semua,
Walau nafas dihujung hela,
Walau nyawa jadi galang-gantinya,
Penawarnya?
Masih belum aku jumpa.

Sukar untuk aku fahami,

Payah untuk aku telusuri,

Susah untuk dimengerti,

Butakah mata ini?
Pekakkah telinga ini?
Bisukah mulut ini?
Matikah hati ini?

Andai benar,
Silapnya, aku yang mula.
Buta untuk melihat setia,
Pekak untuk dengar kisah duka,
Bisu untuk jelaskan kusut yang melanda,
Matikan hati dari melihat dan memahami!
Akulah punca segala...

[sEs4L]

Bicara hati,
Tak akan pernah sunyi,
Sakit!
Perit!
Adalah teman,
Sentiasa mengisi segenap inci ruang,
Jadi kesumat!

Saat langkah terhenti,
Ditemani angin semilir,
Sepi datang bergulir,
Biar awan cerah berarak hadir,
Semuanya dihembus ke hilir,
Dibiarkan berhujan, berpetir.

Sepi,
Selalu menghiasi taman-taman hati,
Seolah terisi,
Walau hakikatnya 'mati'!
Relung-relung waktu jadi saksi,
Betapa sunyi sekeping hati!
Membunuh jiwa ini...

Sinar,
Hadirlah...
Biar teubat rasa sakit,
Rasa perit...
Biar terhambat rasa sepi,
Agar langkah kaki,
Bisa dihayun berlari...
Walau bicara hati kerapkali menyanyi.

Monday, June 7, 2010

[dERitA]

Entah kenapa aku jadi pilu bila tengok paper sejak dua tiga hari ni...sayu semacam je aku rasa.


SELASA, 1 JUN 2010

Aku keluar dari rumah kakak pukul sembilan lebih (pagi). Destinasi, KL Sentral. Aku ada janji dengan 'anak-anak aku nak keluar' ronda-ronda. Sekadar jenjalan, cuci mata. Sampai di KL Sentral, aku ringankan kaki melangkah ke bookstore berhampiran. Membelek buku-buku, makalah-makalah baru. Aku terpempan saat anak mata menyoroti muka depan akhbar-akhbar tempatan.


KOMANDO 'LAKNATULLAH' MENYERANG DAN MENAWAN KAPAL BANTUAN MISI KEMANUSIAAN KE GAZA, 19 MAUT 30 YANG LAIN CEDERA

Saat itu aku menyumpah dalam hati. Perasaan benci, marah aku satukan! Aku letuskan dengan seranah yang berterusan. Rejim zionis yang 'berperikebinatangan' tidak pernah puas melakukan kezaliman. Seolah-olah bau darah itu adalah wangian yang bisa menenangkan. Seolah-olah, tangis dan duka sengsara itu adalah melodi yang bisa menghiburkan hati dan jiwa yang ketandusan. Alasan kononnya mereka (rejim zionis) diserang dengan senjata tajam oleh anak kapal Mavi Marmara , salah satu kapal yang menyertai misi keamanan "Free Gaza" Flotilla adalah bukti betapa mereka (rejim zionis) cuba menutup propaganda yang telah mereka timbulkan. Di fahamkan, kapal dari Turki hanya membawa muatan seperti bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan.

"Ya Allah, selamatkanlah mujahid-mujahid yang berjuang di jalanMu. Tempatkanlah mereka di kalangan para syuhada', para anbia', para solihin..."hanya itu yang aku mampu. Doa-doa sentiasa ditembak bagi mengiringi perjuangan para mujahid dan mujahidin yang sengsara di bumi Palestin.

Ada butir jernih yang bergenang di kelopak mata. Aku biarkan tanpa perlu aku seka kerna aku turut merasa peritnya derita yang ditanggung setiap daripada mereka. Kerana aku dan mereka adalah bersaudara.