Sunday, June 20, 2010

[niL4i]

Biar jauh,
Kasihmu tetap utuh.
Biar berbeza sempadan,
Tak kan lerai ikatan,
Kemas dalam ingatan.

"Selamat Hari Bapa ayah..."

 2 tahun kami ditinggalkan, dan ucapan itu hanya berlegar di dinding ingatan. Sekadar monolog dalaman. Bicara hati aku yang sarat merindu pada figura yang tegas dan garang: hanya pada zahirnya, tapi penuh kelembutan. Menyoroti pengalaman bersama arwah ayah, aku jadi sayu. Gurau senda arwah, cerita-cerita lucu, semuanya seolah baru semalam ia berlalu.

Garang arwah ayah memang tidak dapat aku nafikan walau aku tidak pernah jadi sasaran. Sedari kecil sehinggalah menginjak dewasa, aku pernah menjadi saksi beberapa episod baran ayah. Semuanya aku akui, silap kami sendiri. Kayu atau tali pinggang, sepak terajang mahupun tamparan kerap menguliti setiap dari kami. Aku terkecuali. Mangsanya: abang-abang dan adik-adik aku yang cuba mencabar kredibiliti arwah atau juga mungkin mereka merindui penangan dari arwah ayah menjalari setiap inci tubuh mereka. Mereka inginkan cenderahati yang bisa buat mereka mengingati kembali setiap memoir nakal yang pernah mereka lalui. Mandi sungai, memancing, berbasikal sejauh 20-40 km semata-mata mencari keseronokan sehingga lupa pada satu-satu rutin harian.

Pernah abang dan adik dipukul dengan batang penyapu sehingga patah dua batang penyapu tersebut gara-gara mereka pergi memancing sehingga mengabaikan sesi pengajian Al-Quran (mengaji Quran sebelah rumah dengan seorang nenek). Itu cara arwah mendidik. Bukan ayah menghalang, tapi perlakuan sebegitu diluar kebiasaan. Arwah sangat suka memancing. Satu ketika, arwah pernah membawa semua anak jantannya meredah denai dan hutan serta ladang sawit, menyolangkar dan menjelajah dari satu lubuk ke satu lubuk. Hasilnya, kami pulang dengan senyuman melihat hasil tangkapan. Arwah juga suka memikat dan memukat burung. Aku adalah pengikut setia arwah. Dulu, rumah kami dikelilingi reban dan sangkar yang menempatkan berbagai jenis burung. Tapi perlahan-lahan semuanya bertukar wajah, saat ketiadaan arwah.

Senyuman arwah mampu menyembuhkan luka. Mampu mengubat duka. Arwah seorang yang memeliki keupayaan mengubat orang sakit. Kata arwah, dulu arwah penah belajar dan menuntut di tanah seberang (Indonesia). Walaupun ramai yang meminta bantuan dari arwah saat mereka menahan kesakitan, aku memandangnya dari sudut berbeza. Ayah adalah pilihan terakhir. Pengalaman mengajar aku erti kesakitan. Saat aku terseliuh ketika dalam latihan bola sepak, aku lunjurkan kakiku pada ayah. Akibatnya, terpekik terlolong aku menahan kesakitan dan kaki yang sebelah lagi menendang-nendang udara. Ayah membuat keputusan untuk menguci pergerakan aku. Ma hanya memandag dan meleretkan senyuman. Aku, terkia-kial menahan kesakitan.

Bukan setakat itu sahaja, adik yang pernah patah tangannya disembuhkan dengan hanya menggunakan rawatan trdisional. Siput sedut ditumbuk bersama sireh dan kemudiannya dilekapkan bersama balutan dan disokong oleh bilah-bilah buluh yang diikat dengan kain perca. Tangan adik pulih seperti sediakala tanpa perlu medapatkan khidmat doktor. Sakit gigi, cacing, demam kuning, semuanya boleh diubati. Sekadar mencalit kapur di jari dan kemudiannya disapu pada tempat-tempat tetentu. Palin menarik, abang yang pernah berubah sikap secara mendadak, dikesan oleh arwah 'membawa' sesuatu bersamanya usai mengikuti latihan ketenteraan. Dengan bacaan suci ayat-ayat al-Quran, arwah melingkarkan benang kuning pada pinggang abang. Segalanya kembali seperti sedia kala dan arwah sempat bepesan pada ma, ambil dan simpan pinggan hijau yang berada dalam beg celoreng abang. Kerana itu puncanya. Betapa ruginya aku tidak berkesempatan mempelajari semua itu. Ada hikmahnya.

Bagi aku arwah adalah seorang yang romantis walau tegas dan garang pada ma. Arwah seorang yang sabar dengan pelbagai kehendak dan karenah ma yang pelbagai. Paling terkesan, arwah sanggup memandu berjam-jam lamanya membawa 'datin' keluar bercanda. Itu yang ma luahkan. Arwah tidak cerewet, makan apa sahaja yang ma masak tanpa banyak songeh kerna tahu perangai 'nakal' ma. Jangan dikutuk atau gatal-gatal memberi komen. Atau anda perlu berlapar sepanjang hari bilamana 'exec chef'  menarik diri untuk beraksi dari memegang senduk dan kuali. Jadi, hati-hati. Dulu arwah adalah segala tukang dirumah dan kerap 'dibuli' ma.

Andai aku jadi bapa suatu hari nanti, pasti akan ku suntik elemen yang ada dalam diri arwah ke dalam diri aku. Garang, baran aku tolak ketepi kerana aku lebih selesa berdiplomasi dari menyakiti untuk menasihati. Aku adalah cerminan arwah ayah yang memiliki sifat dan peribadi ma. Adunan yang membentuk aku.

Ayah,
Di merindui saat Di berkesempatan menggunting rambut ayah. Itulah kali terakhir sebelum ayah tinggalkan kami dengan rambut yang tersisir rapi. Maaf ayah andai Di banyak menyakiti. Hanya doa yang akan mengiringi.

Selamat Hari Bapa, bapa yang hebat!

No comments:

Post a Comment