Friday, March 26, 2010

[kERaS hAti]

"Kau cakap senang la, kau bukan ada kat tempat aku!" suara adikku meninggi dicorong telefon. Marahnya berhamburan. Saat itu suaranya seolah halilintar yang membelah bumi. Awan mendung yang berarak antara kami membawa bersama deras hujan air mata.

"Bukan masalah aku ada atau tak. Masalahnya cuba kau dengar apa yang aku nak cakap. Sampai bila kau nak marah ma? Sampai bila kau nak gaduh dengan dia? Kau nak apa yang berlaku pada arwah ayah berlaku pada kau sekali lagi? aku memulangkan segala persoalan yang adik aku ajukan dengan soalan yang lebih rasional aku rasa. Akulah tempat ibuku meluahkan rasa kecewa dan kecil hati saat dirinya disakiti adikku yang seorang ini. Lantas aku beranikan diri mendail nombornya untuk berkongsi rasa. Bertanyakan perihal masalah yang berbekam dijiwanya.

Saat dia memulakan bicara, aku tahu ada sesuatu yang tidak kena. Dia benar 'memusuhi' ibuku saat itu. Aku sedaya cuba bertoleransi. Cuba mendengar setiap inti cerita agar aku tidak terlepas setiap patah kata yang akan keluar dari mulutnya.

"Aku tak tahan dengar ma membebel setiap kali dia tengok muka aku. Aku bukan buat salah besar pun."

"Aku tahu, dan aku pernah ada pada zaman tu. Kakak, abang pun pun pernah ada pada zaman tu. Semua pernah rasa, bukan kau sorang je. Kau tahu kan perangai ma, kalau dia bebel semua akan kena tempias dia walau orang tu tak ada depan mata dia. Tak kan tak boleh sabar sikit. Tahan je telinga." aku cuba memujuk.

"Sabar? Aku da cukup sabar dah kau tahu. Dah lama aku sabar." keras suara sudah cukup untuk menggambarkan segala. Betapa dia menderita. Mungkin pada masa itu rumahku adalah 'neraka' dunia padanya.

Aku memahaminya, kerana aku pernah mengalami situasi yang sama. Mendengar 'ceramah' pada frekuensi yang pada aku lagi tinggi dari pencemaran bunyi. Hampir setiap pagi, kami adik beradik akan mendengar siaran 'radio' tidak berbayar. Mendengar itu dan ini. Memang aku akui, mulut emakku cukup petah berkata-kata. Sangat ringan bila ada 'bahan' baru yang akan diolah menjadi cerita dan halwa yang nyatanya amat menyakitkan telinga.

"Kau tahu kan, kalau kau tak buat salah ma tak akan buka mulut dia. Mungkin kau ada buat salah kat mana-mana. Kau pun tahu perangai ma macam mana. Dia bukan boleh tengok anak dia duduk bersenang lenang, goyang kaki kat rumah. Ma pantang tengok semua tu." aku cuba berhujah. Bercakap berdasarkan pegalaman dan pengamatan sedia ada. Memang itu realitinya, emakku bukan jenis yang memanjakan anaknya dengan memberi muka. Bukan itu metod pendidikannya. Kami diajar berdikari, diajar untuk hidup susah agar kami mengerti betapa sukar mencari rezeki. Latihan yang menjadikan aku dan yang lainnya mampu untuk berdiri atas kaki sendiri.

 "Kau fikirlah,kalau kau rasa memusuhi ma adalah jalan terbaik, teruskan. Tapi jangan sampai suatu hari nanti saat ma tiada disisi, kau menangis meratapi. Kita hanya ada satu ma, dan ianya tiada galang ganti. Aku sayang ma lebih dari aku sayang diri sendiri, dan aku harap engkau sayang ma seperti mana aku. Kau boleh marah dia hari ni. Tapi bukan nanti. Kalau kau rasa dah cukup kuat untuk hidup sendiri, keluar dari rumah, dan belajar berdikari. Kau akan faham apa yang aku persoalkan sekarang ni. Sebijak mana pun aku, sepandai mana pun kau, kau tak akan mampu berdiri kalau ma tak meredhai." ada butir jernih yang keluar dari mata aku tika itu. Aku cuba mententeramkan emosi dalam pada aku melancarkan perang psikologi. Talian ku putuskan untuk memberi ruang adikku berfikir.

Percaya atau tidak, hari ini aku tidak perlu lagi kerutkan dahi dengan masalah yang berkisar pada ketinggian frekuensi bunyi. Adikku nyata menyedari, dan kini dia lebih menghargai. Setiap apa yang dia lakukan pasti akan sampai ke pengetahuan emakku tanpa perlu risau pada sebuah leteran walaupun kadangkala sempat tuning 'radio' emakku berbunyi. Berleter itu dan ini. Mungkin itu cara untuk dia menumpahkan rasa kasih dan sayang. 'Radio' itu yang membesarkan kami dan mengajar kami agar tdak keras hati untuk mendengar dan memahami.

p/s: aku dedikasikan untuk ibuku, SITI NOR WAN MAT. dan maafkanku KAMARUL HABIBI ARIFFIN andai nasihatku melukakan hati.

2 comments:

  1. saat hati merindui...
    airmata sebagai ganti diri,
    saat hati benar menyayangi,
    doa qudus senantiasa mengiringi...

    ReplyDelete
  2. air mata silih berganti
    menemani kesayuan di hati
    aku berdoa agar kau sentiasa tabah menghadapi
    abg ku...:)

    ReplyDelete