Wednesday, September 15, 2010

[n0tA 4]




NOTA 4






Malam semakin larut. Angin sejuk yang sesekali menghembus menusuk hingga ke tulang hitam. Mencengkam.  Sofea yang masih tekun di meja belajar sesekali menggigil kesejukan. Rambutnya yang panjang mengurai melepasi paras bahu turut sama terbuai disapa angin malam. Dia segera bangkit  mengambil sweater yang disampirkan pada ampaian di dalam locker peribadi yang terletak betul-betul di sudut hujung bilik bersebelahan katilnya bagi mengurangkan rasa sejuk yang mencucuk-cucuk.  Daun tingkap yang sedikit ternganga menampakkan suasana kelam malam di luar ditutup rapat. Langsir yang tergantung kemudiannya ditarik menutupi keseluruhan lebar tingkap. Kebetulan, meja belajarnya menghadap tingkap. Sofea sengaja meletakkan mejanya di situ. Lokasi itu strategik baginya. Padanya, panorama dari tingkap bilik itu mendamaikan biarpun deruman enjin kenderaan kadangkala kedengaran, sedikit sebanyak ianya memberikan kelegaan saat jemalanya terbeban dengan pelbagai tugasan. Rumahnya yang berada di tingkat dua Apartmen Idaman memberikannya kelebihan. Dari tingkap bilik itu dia dapat melihat kawasan persekitaran pada waktu siang. Waktu petang adalah kemuncak, taman itu dipenuhi kanak-kanak yang berlari dan bermain penuh riang. Sesungguhnya waktu kecil adalah momen paling indah yang pernah terakam. Bebas dari belenggu masalah.

Sofea mencapai gelas porcelin bercorak bunga  yang berada di hujung meja. Gelas porcelin pemberian Kamarul selalu menjadi pilihan. Kosong. Nescafe 3 in 1 yang setia menemaninya sepanjang malam tanpa sedar telah lama dia habiskan. Sofea menyusun langkah ke tandas yang terletak di dalam biliknya yang bersaiz sederhana. Masterbedroom. Lampu pendaflour dinyalakan sebelum menyusun langkah kaki ke dalam. Seketika Sofea keluar kembali dengan gelas sama yang telah siap dibasuh sambil menyanyi kecil.

“Belum tidur lagi Sofea? Study?” Shazwani menegur. Tidurnya terganggu. Matanya dipisat-pisat dengan belakang tangan. Bahu Sofea ditepuknya lembut. Suara garau yang keluar dari mulut Shazwani sudah cukup untuk membuatkan jantung Sofea berhenti berdegup. (ada ke sesiapa yang baru bangun tidur suaranya lunak merdu disukai ramai?)

“Ya Allah!!!” Sofea menjerit lemah. Nafasnya turun-naik. Tercungap-cungap seolah-olah usai berlari beratus-ratus sentimeter. Seluruh tubuhnya terasa longlai. Nyaris-nyaris dia jatuh terjelupuk ke lantai.

Sofea mengurut dada. Gelas yang berada di tangan hampir terlepas. “Hish kau ni, buat aku terkejut je. Ingatkan apa lah tadi.” Rungut Sofea.

“Ingatkan hantu ea?” Shazwani mengukir senyum. Tangan kanannya meraba-raba hujung bantal mencari cermin mata yang biasanya diletakkan disitu. Dapat. Segera dia mengenakan cermin mata.

“Mulut tu jangan celupar sangat boleh?” Sofea kecut perut. Dia memang terkenal dengan sifatnya yang penakut. Pantang nampak lipas, cicak, atau katak pasti dia menjerit sekuat hati. Dari jarak beribu kilometer suaranya boleh didengari. Inikan pula hantu. Meremang bulu romanya mendengarkan perkataan itu. Betapa dia masih lagi tenggelam dalam mentaliti kuno, dimomokkan dengan sesuatu yang pada zahirnya tidak pernah wujud.Dia sendiri tidak pernah melihat sebarang bentuk kelibat yang selalu dizahirkan dengan mata yang merah menyala, gigi serta taring yang tajam dan panjang, rambut yang mengurai dan mengerbang, wajah yang hodoh, buruk dan menakutkan, selalunya berpakaian putih bersih dan bukan pula hitam legam, dan yang peliknya kelibat itu selalunya perempuan. Mana hilang kelibat lelaki? Atau memang benar, lelaki semakin lupus menjelang akhir zaman sekaligus menjejaskan populasi kelibat-kelibat lelaki yang selalu wujud dalam bentuk yang menyeramkan?  Datang dan hadir dalam minda mereka yang penakut. Kadangkala sikapnya itu mengundang hilaian tawa sahabatnya yang lain hingga senak perut.

“Hahaha. Penakut!”

“Mana ada. Tak pun!”

“Sofea, nak Nescafe jugak. Boleh?”

“Buat sendiri!”

“Ala, kau punya Nescafe sedap. Nak lah satu.”

“Tak ada maknanya. Buat sendiri. Baik jadi penakut dari jadi pemalas!” Sofea memulangkan paku buah keras.

“Sampai hati kau. Buatkanlah aku satu. Please...”. Shazwani separuh merayu. Kelopak matanya dikelipkan beberapa kali. Cuba menagih simpati barangkali. Lagak seperti budak kecil yang merayu meraih simpati minta dibelikan aiskrim atau roti.

Sofea mula mengalah.  “Yelah.” Tangannya ligat membancuh Nescafe. Siap. Aromanya bertebaran menusuk hidung. Dua kesemuanya. Satu untuk dia dan satu lagi untuk Shazwani, sahabatnya.

Sebentar kemudian Sofea menghulurkan gelas berisi Nescafe kepada Shazwani. Asap nipis terapung di permukaan. Shazwani menyisipnya perlahan dan kemudian meletakkan kembali gelas berisi Nescafe di lantai bilik. Sekejap dia memandang Sofea yang sedang asyik membelek nota. Sedikitpun tidak menyedari yang dirinya sedang diperhatikan.

“Sofea, so apa perkembangan plan kita?” Shazwani memulakan bicara. Dia masih memandang Sofea yang sedang leka membelek helaian nota di tangan. Minggu-minggu ujian adalah minggu yang memenatkan. Sofea turut menerima lempias kesan daripada ujian yang dijalankan bagi menguji sejauh mana kefahaman dan kemampuan setiap pelajar. Ujian sebegini adalah ukuran kepada kemampuan pelajar sebelum menempuh peperiksaan yang sebenar.

Wajah Shazwani dipandang Sofea sekilas. Kemudian kembali membelek nota.  “Plan?” Sofea masih leka dengan nota-notanya.  

Tugasan yang bertimbun memaksa Sofea untuk berjaga malam mengulangkaji pelajaran. Dia tidak mahu ketinggalan walau satu bab pun. Sebolehnya dia cuba untuk kekal fokus dalam pelajaran. Tambahan pula, kursus Farmasi yang diambilnya sekarang  adalah antara kursus sukar yang memerlukan konsentrasi. Mana tidaknya, dia perlu lulus dengan gred purata kumulatif (CGPA) 3.5 dan keatas untuk melayakkan dia menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda. Jika tidak, dia perlu bekerja selama satu tahun sebagai syarat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

 “Yelah plan. Plan nak kenakan mamat kerek tu la. So far macamana?”

Shazwani memeluk bantal. Erat. Sesekali dia menguap. Disekanya dengan belakang tangan. Rasa mengantuk masih lagi bergayutan. Tetapi dia tetap cuba menahan. Dia ingin tahu perkembangan rancangan yang telah mereka aturkan.  Mereka telah merangka strategi sekian lama. Baru kini mereka mendapat peluang. Senang kata, Sofea adalah umpan. Kebetulan, Kamarul dan Sofea telah dipadankan di dalam satu kumpulan sebagai fasilitator untuk Program Semarak Kasih 11, dan peluang itu telah Sofea gunakan sebaik mungkin untuk menarik perhatian Kamarul. Hasilnya memberansangkan. Dia berjaya mengumpan jerung itu untuk masuk perangkap yang telah mereka sediakan.

Sepanjang program tersebut berlangsung, Kamarul tidak putus-putus menguntum senyum walaupun Sofea yang terpaksa memulakan perbualan. Dan di akhir program, Kamarul telah meminta nombor telefonnya. Sekadar untuk berkawan katanya. Dengan perasaan segan dan malu yang dibuat-buat, Sofea memberikan nombor telefonnya pada Kamarul. Dalam hatinya, dia menjerit riang. Sofea akan terus-terusan melayan sikap buaya Kamarul. Itu adalah sebahagian dari rancangan asal mereka untuk mengenakan Kamarul.

“Semuanya berjalan lancar. Sepertimana yang kita rancang.” Sofea berbasa-basi.

Shazwani jadi seronok.  “Hahahaha...serius?”

“Shhhh...control sikit gelak tu. Orang lain tidur tu.” Sofea menegur bilamana gelak Shazwani terburai memecah keheningan malam. Jika tidak ditegah, suaranya boleh didengari dari jarak 40 batu dari tempat dia berdiri sekarang. Gema suaranya mampu meratakan busut-busut kecil dan menyebabkan laut bergelora dengan ombak mencecah ketinggian 178 milimeter. Lebih parah lagi, ia pasti menganggu konsentrasi sahabat-sahabat lain untuk terus berdengkur kala dinihari.

Shazwani menekup mulut. Dia terlalu seronok. Seronok kerana rancangannya untuk mengenakan Kamarul sudah hampir berjaya. Baginya itu adalah pengajaran yang terbaik. Kamarul yang sebelum ini pernah memaki-hamun dan mengherdik Sofea perlu diajar tentang adat dan budaya serta tatacara budi bahasa. Dia begitu teruja untuk mengajar Kamarul yang kurang kesedaran sivik dan moral.

“Dia dah admit dia suka kau ke Sofea?”

“Belum. Tapi dia tu sweet talker. Pandai main ayat. Bahasanya penuh kiasan. Silap-silap aku boleh jatuh cinta dibuatnya.”

“Please dear, jangan cakap yang kau dah start suka dia.” Shazwani menjegilkan biji mata.

“Tak ada maknanya. Not my taste, okay!”

“Good girl.”

Tawa mereka berdua berderai. Tapi ditahan-tahan. Bimbang kalau-kalau menggangu rakan-rakan mereka yang lain. Sofea segera mengemaskan nota-notanya yang berselerakan di meja dan dikumpulkan di satu tempat. 

1 comment:

  1. NGENG PNY KAM!! TP XPE.. IT'S A GOOD STORY~~ NNT LE KO!! PLATFORM BAKAL RUNTUH!!

    ReplyDelete