BIAR HATI BERBICARA
PERBUALAN telefon itu dimatikan. Dia terduduk di birai katil. Terdiam. Kedua tangannya meraup muka. Sebentar tadi, hampir satu jam dia menadah telinga mendengar cerita, dan hampir satu jam itu juga dia terpaksa memendam rasa. Kisah yang diperdengarkan benar-benar meruntun jiwanya.
Saat ini, akal waras dan emosinya bertempur hebat.
Kemenangan hampir berpihak kepada emosi. Akal warasnya dibelasah hebat. Langsung tidak diberikan peluang untuk berdiri. Tidak upaya melawan. Emosinya betul-betul jagoan tempur,membelasah akal warasnya hingga jatuh tersungkur.
Dalam kekalutan itu, airmata lelakinnya menitis. Dia tidak lagi mampu menahan sebak yang membadai jiwa.
Dari birai katil, dia kemudiannya bingkas berdiri. Melangkahkan kaki menuju bilik mandi.Seketika, kedengaran bunyi dentuman akibat dari pintu kayu yang ditarik kuat. Di situ, di dalam bilik mandi itu, tangisnya semakin menggila. Pancuran air yang membasahi sekujur tubuhnya membawa bersama kehampaan yang sedari tadi datang bertandang ; tanpa diminta, tidak mampu untuk menyejukkan hatinya. Dia terus-terusan begitu, sesekali menumbuk dinding, cuba menyatakan ekspresi perasaannya tika itu.
Hampir setengah jam berlalu, tapi dia masih berkurung di situ. Di dalam bilik mandi.Tubuhnya kemudian di sandarkan ke dinding. Perlahan-lahan, dia menurunkan badan. Duduk di lantai bilik mandi yang masih lagi basah diterpa pancuran air yang setia memuntahkan rintik-rintik kecil. Kedua lututnya disatukan, dirapatkan ke badan. Kemudian, dia memeluk kedua lututnya. Tangisnya masih lagi berterusan.
Masih terngiang-ngiang perbualannya sebentar tadi. Dia masih mampu mengingati setiap butir perbualan yang berlaku antara dia dan gadis itu. Semuanya kemas terakam di kotak ingatan. Dan yang lebih teruk, ianya seolah diulang dan dimainkan semula beberapa kali.
Dia menekup telinga dengan kedua belah tangan.
Tapi suara itu masih lagi terngiang. Masih lagi kedengaran.
“Habil, Cha happy sangat hari ni!” kedengaran suara ‘Aisyah Abdul Razak yang begitu teruja memulakan perbualan di hujung talian usai memberikan salam. Lunak suaranya sudah cukup untuk menggambarkan segala. Betapa, hari ini dia disapa ceria berbeza dengan hari-hari yang sebelumnya. Dan keceriaan itu ingin dikongsikannya bersama dengan teman tapi mesranya.
Benarlah, lelaki dan perempuan ini mempunyai medan kutub yang berbeza. Saling menarik. Ironinya, saat tiba saat manis atau duka pasti si lelaki akan kongsikan dengan sahabat yang berlainan jantinanya. Begitu juga dengan kaum hawa, mereka lebih cenderung untuk berkongsi segala pahit maung kehidupan dengan sahabat yang berlawanan jenis. Seolah, segalanya telah ditetapkan begitu, dan ia akan kekal begitu selamanya.
“Kenapa? Ada apa-apa yang berlaku yang Habil tak tahu?” soal Habil ingin tahu.
Diam.
‘Aisyah Abdul Razak cuba menyusun kata. Cuba menyuntik kekuatan dalam setiap tutur biacara yang akan berlangsung selepas ini.
Di pihak Habil, jantung seolah dipalu bertalu-talu. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah ada perkara buruk yang akan berlaku.
“Petang tadi, ada seorang lelaki propose Cha.” Ujar ‘Aisyah Abdul Razak setelah berdiam diri hampir 120 saat lamanya.
Jangkaan Habil tepat. Jantungnya kini seolah ditebak.
“Awak terima?” soal Habil memotong percakapan ‘Aisyah Abdul Razak yang nadanya begitu beria-ia.
“Em...” ‘Aisyah Abdul Razak seolah kehilangan kata-kata. Hanya itu yang terbit dari mulutnya. Itu sudah cukup menggambarkan segala.
“Congratulations!!!” sekali lagi Habil memotong perbualan sebelum sempat ‘Aisyah Abdul Razak memberikan jawapan. Saat itu hatinya mula tidak keruan. Seolah-olah dihiris dengan sebilah belati tajam. Pedih dan menyakitkan. Perasaannya remuk redam namun cuba juga disembunyikan perasaannya yang saat itu bergelandangan.
“Thanks...”
“Congratulation and good luck!!!” Tiada riak gembira.
Perbualan mereka tidak tamat di situ. ‘Aisyah Abdul Razak terus-terusan berkongsi cerita suka yang mengulit dirinya. Tanpa sedar, emosi Habil semakin terdera. Dia berusaha mententeramkan jiwa. Dia berusaha berlagak seolah tiada apa yang berlaku, walaupun pada hakikatnya hatinya seolah dihentak batu.
*****
Habil keluar dari bilik mandi bilamana terdengar daun pintu itu diketuk berkali-kali dari luar. Masih ada titi-titik jernih yang gugur dari rambutnya yang berjuraian. Masih lagi basah. Matanya yang bengkak disembunyikan disebalik tuala yang menutup keseluruhan kepala dan sebahagian dari muka. Dia berjalan perlahan menuju bilik.
“Bil, kau okay?” soal Nasman. Sahabat yang begitu prihatin terhadap apa yang berlaku pada dirinya sekarang. Tangannya kemudian merangkul bahu Habil. Dia bimbang melihatkan keadaan Habil. Sebentar tadi dia mendengar pekikan Habil yang bergema. Nasib baik hanya dia dan Habil yang berada di rumah sewa ketika ini. Kalau tidak, ia pasti mengundang pelbagai reaksi, mencetus spekulasi. Segera dia mendapatkan Habil yang ketika itu berada di bilik mandi.
“Aku okay. Jangan risau.” Habil berbasa basi. Sesekali, bahunya terangkat menahan sedan yang masih lagi berbaki.
“Kau rehatlah dulu. Kalau kau rasa nak share problem dengan aku, aku sudi dengar.” Nasman bersuara kendur. Cuba memujuk Habil sekaligus menenangkannya.
“Okay. Aku tidur dulu. Anyway, thanks dude.”
“No problem kawan. Kau tidurlah. Bagi kosong sikit kepala.” Pintas Nasman sebelum menghantar Habil ke biliknya. Habil melangkah lesu. Usai menyalin baju, tubuhnya dihenyakkan ke tilam nipis yang sedia menunggu. Habil lena dalam sedu.
*****
“Bil, tunggu!!!” ‘Aisyah Abdul Razak melangkah laju. Cuba untuk menyaingi langkah Habil yang semakin laju. Sebentar tadi mereka bertembung, tetapi Habil cepat-cepat mengelak dan melarikan diri. Dia belum punya kekuatan untuk berdepan ‘Aisyah Abdul Razak pada saat-saat begini.
Langkah Habil semakin laju. Meninggalkan ‘Aisyah Abdul Razak yang terkocoh-kocoh berlari dengan sepatu putih mengalasi kaki.
“Habil!!!” kali ini ‘Aisyah Abdul Razak menjerit. Suaranya mengundang mata-mata lain untuk sama memandang. Melihat apa yang berlaku.
Kali ini Habil berhenti. Dia segera memalingkan badannya. ‘Aisyah Abdul Razak yang kini di hadapannya memandangnya dengan pandangan berbeza. Menyinga.
“Kenapa lari bila nampak Cha?” soal ‘Aisyah Abdul Razak geram. Anak matanya masih lagi membuntang memandag seulas wajah Habil yang menundukkan pandangan di hadapan.
Tiada jawapan.
“Cha tanya ni, kenapa lari?” ‘Aisyah Abdul Razak mengulang soal setelah soalannya tadi tidak berjawab.
“Takut nanti boyfriend Cha marah. Takut dia salah anggap.” Habil mengangkat muka. ‘Aisyah Abdul Razak ditatapnya seketika sebelum melarikan pandangannya ke arah lain. Bertentang mata dengan ‘Aisyah Abdul Razak buat hatinya buta.
“Boyfriend? Marah? Apa Habil cakap ni?” ‘Aisyah Abdul Razak sekali lagi menyoal. Keningnya dikerutkan. Keliru dengan soalan yang diajukan pihak lawan.
Belum sempat Habil menutur kata, ‘Aisyah Abdul Razak meleret senyum. Habil terpinga-pinga melihat reaksi spontan ‘Aisyah Abdul Razak.
Kenapa ni?
“Salah ke apa Habil cakap?” Habil menjawab persoalan yang diajukan ‘Aisyah Abdul Razak dengan persoalan baru. Dia sendiri jadi keliru.
“Salah tu tak, tapi tak betul.” Tutur ‘Aisyah Abdul Razak lembut. “Bila masa Cha cakap Cha ada boyfriend?” Kali ini senyum ‘Aisyah Abdul Razak semakin melebar.
“Malam tu kan Cha cakap ada sorang mamat propose Cha. Kan?”
“Memanglah dia propose, tapi ada Cha cakap Cha terima?”
“Haah, Cha mengaku.”
“Mana ada, Cha tak habis cakap, tapi Habil dah potong dulu. Pastu merajuk. Nasib baik Nasman bagitahu.”
“Bila Habil merajuk?”
“Sekarang ni apa?”
“Ni bukan merajuk la. Buat apa Habil nak merajuk? Buang masa je.”
“Ye lah tu. Macam lah Cha tak tahu.”
“Tahu apa?”
“Habil suka Cha, tapi malu nak mengaku. Kan?”
“Perasan!!! Mana ada.”
“Ok then. Habil tak nak mengaku, so jangan menyesal kalau Cha terima mamat tu.”
Diam.
“Errm..betul ke Cha nak terima mamat tu?”
“Kalau Habil tak nak mengaku, then Cha terima dia.”
“Ugut lah ni?”
“Tak, bergantung.”
“Okay. Habil mengaku.”
“Mengaku apa?” ‘Aisyah Abdul Razak mengangkat muka. Mata mereka bertentang.
“Tak ada apa-apa lah...”
“Habil!!!”dengus ‘Aisyah Abdul Razak geram. Kaki kiri dihentakkan. Anak matanya sekali lagi dibuntangkan. Memandang Habil seolah-olah ingin ditelan.
“Cha garang sangat, Habil takut.”
“Habil tu yang buat Cha jadi macam ni.” Kali ini tona suara ‘Aisyah Abdul Razak lebih mendatar berbanding tadi. “Cepat cakap. Habil nak mengaku apa tadi?” ‘Aisyah Abdul Razak buat-buat marah.
“Sebenarnya....” Habil diam seketika.
“Sebenarnya apa?” ‘Aisyah Abdul Razak tidak sabar menanti patah perkataan seterusnya.
“Sebenarnya dragon ball ada tujuh biji semuanya.” Lancar lidah Habil berkata-kata. Tidak semena-mena, satu cubitan hinggap di lengannya. Habil tidak sempat mengelak.
“Cha, sakit.” Habil merayu. Minta diampunkan.
“Cepat cakap!”
“Ya. Habil cakap. Tapi lepaskan dulu.”
Cubitan kemudiannya dilonggarkan. Habil menggosok-gosok lengan. Cubitan itu meninggalkan kesan.
“Cha jahat!!!” Habil merengek.
“Cepat cakap. Atau nak Cha cubit lagi?”
“Erm...”
Diam.
Lama.
“Habil, nak lagi ke?”
“Tak nak!!!” Habil mencemik. Buat muka sedih.
“Cepat cakap.”
Habil menarik nafas. Matanya dipejamkan seketika. Kemudian kembali dibuka.
“Habil suka Cha. Dah lama. Tapi Habil takut nak mengaku. Takut Cha tak boleh terima Habil.” Jelas Habil panjang lebar. Saat dia menerangkan, wajah ‘Aisyah Abdul Razak ditatapnya sambil merenung ke dalam anak mata.
‘Aisyah Abdul Razak tertunduk malu.
“Sebenarnya, Cha tunggu Habil propose Cha. Tapi tak tahu bila Habil akan buat macam tu.” Bicara ‘Aisyah Abdul Razak terhenti di situ.
Habil merapatkan mukanya ke sebelah kanan telinga ‘Aisyah Abdul Razak. Kemudian dia membisikkan sesuatu.
“‘Aisyah Abdul Razak, will you be my girl?”
‘Aisyah Abdul Razak terkedu.