Monday, March 21, 2011

Rusuk Kiri

"Turn kau bila pulak?" aju seorang kawan rapat padaku. Nasi minyak yang ku kumpul dihujung pinggan sebelum aku suakan ke mulut aku biarkan seketika. Sekilas, aku memandang roman wajah selamba sahabatku dengan pandangan dan persoalan yang sarat di kepala. Aku hanya mampu mengoyak senyum saat sahabatku menepuk belakang badanku penuh makna.

Jika anda biasa menjejakkan kaki ke majlis-majlis kahwin (bagi mereka yang masih belum berpunya dan belum mendirikan rumah tangga), aku yakin dan pasti anda akan diasak soalan cepu cemas yang akan buat lidah anda semua keras dan terus kelu dari menyambung bicara. Jika tidak diajukan soalan sebegini, mungkin sahaja anda silap menghadiri majlis. Mungkin majlis yang anda hadiri itu adalah majlis kenduri doa selamat atau mungkin juga majlis bercukur atau berkhatan. Sila semak semula kad jemputan yang anda terima dan lihatlah dengan teliti apa yang tertera dan tertulis (atau mungkin ter'print') di atas kad yang penuh dekorasi pastinya. Jika anda pasti anda menghadiri sebuah majlis perkahwinan dan tidak juga diajukan soalan, eloklah kiranya anda paksa sahabat dan rakan yang berada di sebelah kiri atau kanan, depan dan mungkin juga belakang supaya mereka mengajukan sebarang bentuk soalan yang berkisar tentang masa depan. 

"Bila pulak boleh aku merasa nasi minyak kau?"

atau,

"Kau bila lagi???"

Soalan ini aku klasifikasikan sebagai soalan sarat dan penuh makna. Juga mungkin boleh diletakkan dalam kategori soalan-soalan berbisa. Soalan yang pasti buat anda semua hilang selera untuk menikmati juadah dan hidangan lazat yang tersedia. Atau lebih teruk, boleh menyebabkan sindrom mental disoder.

"Der, kalau boleh lah kan. Besok jugak aku sebat kahwin dengan Lisa Surihani. Tak pun Juliana Evans. Tapi kau faham kan. Tu kalau. Ustaz aku pernah cakap, misal kata KALAU ni adalah buah, ke mana je kau campak, tak akan ada binatang yang berani makan der... Tu penangan KALAU tu der." Aku menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembuskan segumpal nafas melewati rengkungan. Jika tadinya aku rasa sesak, tapi kali ini dada tidak lagi berombak. Aku menambah. "... So, kau jangan tanya aku bila atau dengan siapa aku akan kahwin. Sebab aku sendiri tak ada jawapan dia. Hari ni boleh je aku cakap aku tangkap cintan dengan Si A, tapi esok lusa adakah Si A yang akan menemani aku sepanjang jalan menuju tua? Sampai aku menutup mata? Sampai ke syurga? Apa yang mampu aku buat hanya berdoa semoga dipertemukan aku dengan rusuk kiriku. InsyaAllah "


JODOH DI TANGAN TUHAN

"Jangan sesekali mencuba untuk mendahului dan melaksanakan kerja-kerja Tuhan!"

"If u see God's hand in everything u can leave everything in the hand of God. 
Everything happened for a reason."


Bukan kita yang menentukan! 
 Dan bukan kita yang berhak menoktahkan episod suka dan duka sebuah kehidupan. Kita hanya mampu membuat perancangan. Merencana dan melukis di atas 'kanvas' kehidupan, tetapi hasilnya masih tampak berbalam-balam. Tidak tetap dari segi komposisi warna dan juga pengimejan. Lukisan apakah yang cuba kita hasilkan?

Dari sudut pandang atau konteks perkahwinan. Kita hanya mampu menetapkan tarikh dan juga bulan. Menyediakan segala kelengkapan menuju saat yang dinantikan. Menentukan tekstur dan material yang akan kita gunakan saat hari penyatuan. Menentukan pilihan warna yang akan menjadi tema saat berlangsungnya hari yang paling mengujakan.Tapi adakah mungkin segala apa yang kita rancangkan akan berjalan atau berlaku sepertimana yang kita impikan?

Selama mana kita kembara merentasi belantara dunia, pasti kita akan diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Jadi, penting untuk kita senantiasa mengingati dan percaya serta yakin akan rukun iman yang ke-6 yakni percaya dengan sepenuh hati kita dengan qada' dan qadar Allah. Kita hanya merancang, tetapi DIA yang lebih berhak menentukan segala. Baik atau buruk yang bakal kita terima.

Jangan sesekali kita merancang untuk GAGAL. Benar, setiap apa yang berlaku adalah dengan izin-Nya tetapi itu bukanlah alasan untuk kita berhenti dari berusaha dan hanya berpeluk tubuh sahaja. Berserah dengan segala tanpa menggandakan usaha. Fahami konsep tawakkal yang sebenarnya. Lipat gandakan usaha, panjatkan doa kepadanya dan setelah itu barulah kita berserah atau bertawakkal dengan takdir-Nya. Itulah konsep tawakkal yang sebenarnya. Wujudkan kelansungan diantara Khaliq dan hamba.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w. jagalah kaum wanita (dengan baik), sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan sesungguhnya yang paling bengkok dari tulang rusuk itu adalah yang teratas, maka jikalau engkau berusaha meluruskannya engkau akan mematahkannya dan jika engkau biarkannya ia akan kekal bengkok, maka jagalah kaum wanita (dengan baik)”.



No comments:

Post a Comment