TELEFON bimbit bewarna pink buatan China itu berdering dan menari mengikut mod getaran yang telah ditetapkan menandakan pemilik telefon bimbit bewarna pink itu menerima mesej yang dihantar kepadanya entah dari siapa. Sesungguhnya, hanya dia yang tahu siapa empunya mesej yang dihantar ke telefon bimbit miliknya itu.
Telefon bimbit yang berada diatas dada meja dicapai.
Mesej yang diterima dibuka.
Senyum.
Kepala digelengkan.
Kembali senyum.
Kemudian, jemari runcingnya bergerak laju di pad kekunci telefon bimbit bewarna pink miliknya yang dihadiahkan ayahnya. Dia berhenti seketika dengan kerutan di wajah dan dahinya yang dibuat-buat menandakan yang dia sedang memikirkan sesuatu. Bibir mungil miliknya digigit lembut. Larian jemarinya bersambung setelah hampir 30 saat lamanya dia berhenti mencari ilham untuk memberikan jawapan balas kepada si penghantar mesej.
Sementara itu, di suatu tempat yang lain, Zarir yang ketika itu sedang menonton rancangan Hawaii Five – O di saluran AXN mengukir senyum setelah menerima mesej menandakan mesejnya yang dihantar tadi diterima oleh pihak di sebelah sana dunia. Jika tidak,masakan dia menerima jawapan balas. Tertera di skrin telefon bimbitnya gambar Fatimah Zahrah yang mengenakan headphone bersaiz mega di kepala. Gambar itu adalah gambar candid, juga diistilahkan dalam bahasa pasar sebagai gambar curi, dan sesungguhnya jika Fatimah Zahrah mengetahui hal yang demikian, pastilah dia dimarahi. Pastinya dia akan dibentak Fatimah Zahrah sepanjang hari tanpa ada rasa simpati. Tapi dia bernasib baik. Fatimah Zahrah belum mengetahui. Jauh sekali menyedari.
Jarum jam yang berputar hampir menginjak ke pukul 12.00 tengah malam.Tetapi jemari Zarir dan Fatimah Zahrah masih lagi aktif ‘bersukan’ walaupun mereka dipisahkan oleh jarak. Zarir ketika ini berada di rumah kakaknya di Kajang, manakala Fatimah Zahrah pula berada di TTDI Jaya Shah Alam. Namun jarak yang memisahkan tidak menjadi penghalang buat jemari mereka terusan berlari-lari di sekitar pad kekunci telefon bimbit masing-masing yang menjadi medan balapan. Jika bukan kerana waktu sekarang adalah cuti semester, pastinya kedua mereka telah lena dibuai mimpi, samada mimpi sedih, gembira, lucu atau seram. Bergantung kepada keadaan.
Telefon milik Zarir memekik memecahkan keheningan malam. Mesej yang diterima dibuka dan dibaca tanpa ada suara yang keluar. Hanya dibaca di dalam hati.
Mesej dari Fatimah Zahrah.
‘Salam. Oi, handsome buat apa tu?’
Zarir meleret senyum. Jemarinya pantas menaip sesuatu. Sebelum menghantar, dia memastikan perkataan yang digunakan betul dari segi ejaan dan nahu. Takut timbul perdebatan jika dia salah dalam penggunaan dan pemilihan perkataan.
‘Salam. Oi, tengok Hawaii Five – O kat Axn.Sweetie?’
Setelah berpuas hati dengan jawapan balas, dia kemudiannya menekan butang hijau. Tertera ikon sampul surat yang terbuka dan kemudiannya ditutup terbang melayang entah ke mana. Ikonik menandakan mesej tersebut telah dihantar kepada pihak kedua.
Zarir bingkas menuju dapur. Peti sejuk yang berdiri bersebelahan dengan rak makanan kering dibuka. Kemudian, dia mencapai sebotol jus oren Tropicana Twister dan dituangkan ke dalam mug yang tersedia di atas meja. Usai menyimpan jus tersebut ke tempat asal, dia menyelongkar pula isi perut peti sejuk dan mengeluarkan sebiji epal hijau bagi mengalas perutnya yang sudah sedia terisi sebenarnya dengan juadah makan malam sejak dari tadi. Dasar perut belanga.
Zarir kembali ke ruang tamu dengan tangan kiri memegang mug dan tangan kanan mengenggam sebiji epal. Sesekali dia melambung-lambung epal di tangannya sebelum menyua epal itu ke mulut bagi menikmati kelazatan isi epal.
Sekujur tubuhnya disandarkan pada kerusi Cleopatra yang mengisi hampir suku dari ruang tamu. Matanya kembali bersatu dengan kaca televisyen menyaksikan aksi tembak-menembak yang berlaku di antara pihak polis dan penjenayah.
Lima minit kemudian telefon bimbit miliknya memekik lagi. Lagu OST Full House bergema memecah sunyi suasana. Mata Zarir yang tadinya lekat di kaca televisyen kini beralih arah. Memandang tepat telefon bimbitnya yang masih galak memekik. Cepat-cepat Zarir menyambar sekaligus mematikan deringan dari berterusan mengilai di malam hari. Jika tidak, free-free aje dia terpaksa menadah telinga mendengar siaran radio tidak berbayar dari kakaknya yang mewarisi DNA kehandalan emaknya berleter tanpa henti.
‘Handsome dah tidur ke?’
Zarir mengerutkan kening. “Dia tak dapat mesej yang aku hantar tadi ke?” Gumam Zarir sendiri. Dia lupa kot. Ke dia ada short term memory? Lupa apa yang aku dah beritahu dia tadi. Zarir mengoyak senyum. Jemarinya pantas berlari di sekitar pad kekunci menekan dan mencipta perkataan di telefon bimbit miliknya.
‘Belum. Tengok cerita ni.’
Butang SEND ditekan. Epal hijau yang masih berbaki ditangan disua ke mulut seiring dengan tindakan.
Sepuluh minit kemudian.
‘Ok. Sorry ganggu. Mungkin awak sibuk kot mesej dengan girls lain. Sorry.N8...’
Zarir jatuh rahang bawah. “Mesej perempuan lain? Bila pulak aku mesej perempuan lain?” Soalnya sendiri. Nalurinya merasakan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku ketika ini. Jemarinya menekan-nekan butang di pad kekunci telefon bimbit.
Message sending failed!
Mesej yang dihantarnya sepuluh minit tadi dan yang terbaru masih berada di peti keluar mesej. Masih lagi menghuni sent items.
Tidak dihantar.
Butang *124# didailnya. Cuba memeriksa baki kredit panggilan.
Baki 013XXXXXXX : RM 0.00, sah sehingga 19/05/2010
Terbaik! Sangkaannya tepat.
Zarir garu kepala. “Awat la time-time camni hang nak putuih kredit? Awat tak bagi warning awal-awal? Hadoi la...” Bebel Zarir sendiri, walau dia sedar telefon bimbit miliknya tidak akan memberikan sebarang reaksi balas atas apa yang terjadi.
Patutla Fatimah Zahrah asyik dok Tanya. Rupa-rupanya engkau yang buat hal ye. Tak boleh diharap sungguh la kau ni inche kredit. Sia-sia je aku bayar kau mahal-mahal untuk berkhidmat pada aku. Aku bagi kau makan, bagi kau minum. At least, bagi la warning awal-awal, boleh la aku bersedia. Sungai Golok kalau air dia naik paras bahaya pun dia bagitahu apa. Ini tak, malam-malam buta macam ni la baru kau nak bagitahu kau da expired la, out of credit la. Cit!
‘Message girls lain?’ Zarir tahu ini petanda yang tidak baik.
Fatimah Zahrah sudah mula berprasangka. Itu apa yang difikirkannya sekarang, melihatkan kepada turutan mesej yang dihantar Fatimah Zahrah.
“Awak, saya tak mesej any other girls pun. Please, believe in me.” Walaupun Zarir sedar yang suaranya tidak dapat didengari Fatimah Zahrah tetapi dia tetap mencuba untuk menerangkan kondisi yang sebenar. Dia kehabisan kredit sebenarnya. Itulah punca utama kenapa Fatimah Zahrah tidak menerima mesej balas darinya. Skrin telefon bimbit miliknya ditatap lama-lama. Seolah-olah mengharapkan ada keajaiban akan berlaku, mengharapkan Fatimah Zahrah dapat mendengar suaranya dan berkomunikasi dengannya tika itu.
Seketika, telefon bimbitnya kembali menyanyikan OST Full House. Cepat-cepat Zarir mencapai.
Ada mesej baru dari Fatimah Zahrah. Apa lagi kali ini?
‘Ok fine. Kalau awak tak nak reply message saya, lepas ni jangan cari saya lagi! Awak tak pernah serius pun kan? Stay away from me!!!’
Zarir kaget. Matanya dipejamkan. Dia menggigit bibir bawah. Tak sanggup rasanya membaca dan menghadam setiap patah kata yang kini menghuni inbox telefon bimbit miliknya.
Stay away???
Ayat terakhir dari mesej yang dihantar benar-benar menguji. Adakah Fatimah Zahrah sudah jauh hati? Adakah Fatimah Zahrah sudah mula membenci? Dan bermacam lagi andaian yang kini sarat menujal fikiran dari kiri dan kanan, depan serta belakang. Dia perlu mencari jalan bagaimana caranya untuk menyiram api kemarahan Fatimah Zahrah yang kini sedang menjulang tinggi. Marak membakar setiap apa yang ada berhampiran, dan Zarir adalah antara yang menjadi mangsa kebakaran tanpa sempat dia membuat panggilan kecemasan untuk memohon pertolongan.
15 MINIT kemudian di 7-Eleven selepas kejadian.
ZARIR mengetuk dahi sendiri berulang kali. “Adoi, macamana boleh terlupa pulak ni? Time-time macam ni la semua menda nak jadik!!!” Tadinya, selepas membuat perkiraan, dia nekad untuk ke 7-Eleven berdekatan untuk membeli kad tambah nilai sekaligus menerangkan situasi sebenar kepada Fatimah Zahrah. Tapi, malang sememangnya tidak berbau. Untuk kes Zarir, dia terlupa untuk membawa dompet yang tadinya diletakkan di sofa ruang tamu. Zarir ibarat sudah jatuh ditimpa eskalator.
DUMM!!!
Saat itu, bumbung kereta yang tidak bersalah menjadi mangsa.
*****
SEMENTARA itu, di TTDI Jaya. Fatimah Zahrah yang masih lagi marah dengan tindakan Zarir kekal bermasam muka. Dia duduk di kerusi yang menjadi medan studinya memandang ke luar jendela. Terang bulan tidak dapat mengembalikan ketenangan yang telah digugat. Hatinya terasa disiat-siat. Jikalau Zarir ada didepannya sekarang, semestinya mamat itu akan menerima jurus backhand peringkat ke-3 darinya yang belum singgah ke muka sesiapa.
Segumpal nafas berat dilepaskan melewati rengkungan, cuba menghalau rasa galau yang sedari tadi bertandang.
“I hate him...Lelaki semua sama. Dasar potassium cyanide, hydrogen peroxide!!!” bebelnya sendiri.
Seketika, Fatimah Zahrah kembali sedar. Cepat-cepat dia mengalunkan istghfar. Syaitan-syaitan pastinya sedang berpesta kerana berjaya menggula-gulakannya sebentar tadi. Wajahnya diraup beberapa kali seiring dengan lafaz istighfar. “Aku berlindung daripada-Mu Ya Tuhanku dari syaitan yang direjam...”.
*****
Zarir membelokkan keretanya ke kanan. Kawasan perumahan itu hanya diterangi lampu jalan yang setia berdiri di bahu-bahu jalan. Sebentar tadi, dirinya hampir disangka penceroboh kerana masuk kawasan perumahan itu tanpa membuat sebarang laporan di pondok keselamatan. Nasib baiklah dia bijak memberi jawapan kepada pengawal keselamatan warga Bangladesh yang hampir tidak dia fahami apa yang mereka tuturkan.
“Saya nak pergi rumah saudara saya. Ada kes kecemasan.” Dan dia dibenarkan meneruskan perjalanan setelah pengawal keselamatan memastikan tiada apa-apa yang mencurigakan pada dirinya.
“Phuhh...Nasib baik selamat...” Zarir mengurut dada.
Kereta Perodua Kelisa rona ungu itu kemudian diparkir di bahu jalan. Dan sesungguhnya, kereta itu adalah milik kakaknya, dan Zarir tidak pula meminta izin untuk menggunakan kereta tersebut. Tahu-tahu dia kini berada di sebuah rumah teres dua tingkat di hujung jalan.
Zarir meninjau-ninjau keadaan. “Sah, rumah ni. Tapi macamana aku nak masuk?” Zarir mengetuk-ngetuk stereng kereta dengan jemarinya. Otaknya ligat mencari idea.
*****
“Kakak, ada orang nak jumpa. Dia ada kat bawah.” Suara Zakir mematikan lamunan Fatimah Zahrah yang asyik memintal hujung bantal. Sedari tadi dia cuba untuk mencari idea untuk menulis seuatu dalam diari miliknya sambil meniarap di atas katil. Fatimah Zahrah mengerutkan kening. Siapa pula yang nak jumpa aku malam-malam buta macam ni?
“Siapa?” soal Fatimah Zahrah.
“Entah...” Jawab Zakir sebelum berlalu menuruni tangga menuju tingkat bawah. “Lelaki taw...” jerit Zakir dari tingkat bawah. Fatimah Zahrah kaget. Siapa pulak yang buat lawak antarabangsa datang buat lawatan sambil belajr malam-malam buta macam ni.
*****
“Kenapa datang sini malam-malam buta? Tak boleh tunggu besok dah?” Aju Fatimah Zahrah saat pandangan mata mereka bertemu. Hampir terjatuh dia saat melihat kelibat Zarir yang berdiri menyandar di kereta. Zakir yang menjadi peneman hanya menunggu di garaj dengan wajah masam mencuka. Sebentar tadi dia sedang asyik bermain Playstation 3 bersama Iqbal sebelum diarah Hassan memanggil kakaknya. Kini dia sekali lagi terpaksu melakukan tugas paksa-rela oleh kakaknya setelah diugut dengan ugutan berbisa. “Esok kakak tak nak masak, Zakir makan je PS3 tu, nak?”. Dalam keterpaksaan, dia terpaksa berdiri menunggu sehingga kakaknya habis berdiskusi.
“Tak boleh. Sebab ada orang tu merajuk. Siap warning orang suruh orang stay away from her siap.” Jawab Zarir selamba. Tangannya melambai pada Zakir di belakang Fatimah Zahrah.
"Macamana tahu rumah kat sini? Pernah datang ke sebelum ni?" Sesungguhnya Fatimah Zahrah lagi musykil. Serasanya, dia tidak pernah menjemput Zarir datang ke rumahnya. Tidak pula pernah menceritakan kedudukan rumahnya secara tepat.Tapi bagaimana si Zarir boleh drive ke sini awal-awal pagi macam ni? Atau memang alamat rumahnya ada tertera pada signboard-signboard jalan yang ditampal merata?
Zarir hanya menggeleng. Seketika dia meraba sesuatu dari poket seluar khakisnya sebelum mengunjukkan telefon bimbit miliknya. Fatimah Zahrah angkat kening. Orang tanya betul-betul dia main-main pulak. Ni ada yang balik bertongkat ni karang.
"Orang tanya Inche Garmin GPS. Dia yang tunjuk jalan..." Zarir yang dapat menangkap persoalan yang bermain di benak Fatimah Zahrah segera merungkai segala permasalahan itu.
"Garmin GPS? Apa tu?" Biar benar. Moden sungguh nama pemandu teksi..eh pemandu teksi ke? Ah, apa-apa jela. Yang penting nama itu cukup moden dan jarang didengar. Inche Garmin GPS.
"Global Positioning System..." lancar Zarir menjawab. Seolah sudah berlatih berulang kali untuk menyebut patah perkataan itu. Fatimah Zahrah hanya mengangguk.
“Nak apa ni?”
“Nak minta maaf...”
“Kenapa tak reply mesej?”
“Kredit orang habis la. Bukan orang tak nak reply.” Jujur Zarir menutur. “Ni pun terlupa bawak wallet. Nasib baik tak ada road block, kalau tak, free-free je kena lepak kat bilik besi.” Tambahnya. Fatimah Zahrah di hadapannya dipandangnya sebelum membuang pandang pada pokok mangga yang tumbuh subur di tepi pagar.
“Tipu...mesej perempuan lain kan?”
“Ya Allah, mana ada. Orang tak tipu. Betul, orang habis kredit.” Zarir angkat tangan kanan buat gaya orang bersumpah.
“Em...” datar suara Fatimah Zahrah. Antar percaya dan tidak.
“Awak, sorry...”
Bulat mata Fatimah Zahrah. “Apa sorry-sorry?” Cermin mata yang terletak di pangka hidung dilurut ke atas bagi membetulkan tempat letak.
Zarir hanya menunduk. Gaya budak tadika kena marah dengan cikgu sebab bersikap hiperaktif.
“Dah, pergi balik. Dah lewat ni. Karang kena tangkap dengan polis susah pulak. Saya tak nak anak-anak saya nanti tahu ayah dia pernah masuk lokap sebab buat kerja gila malam-malam buta.” Fatimah Zahrah masih bertegas.
Zarir menguntum senyum.
Saya tak nak anak-anak saya nanti tahu ayah dia pernah masuk lokap sebab buat kerja gila malam-malam buta.
Itu sudah cukup sebagai tanda Fatimah Zahrah memaafkan dia. “Ala, kena tangkap sebab nak pujuk ibu dia yang merajuk tak tentu hala, salah ke?” balas Zarir dengan muka comel beserta pakej senyum tujuh juta megawatt.
“Cheesy...”
Zarir masih senyum.
“Dah, pergi balik...orang nak tidur.” Fatimah Zahrah mula mengatur langkah mengundur.
“Ok. Thanks sweetie...”
“Gedik!!! Bawak kereta elok-elok. TC!!!”
Zarir membuat isyarat ok dengan tangan. “Okeh...awak...” Panggil Zarir.
“Apa?”
“Garangnya...em, saya...sa..saya cuma nak cakap yang saya betul-betul serius dengan awak, saya tak main-main. ILY. I do!” ujar Zarir lembut sebelum masuk ke perut kereta. Enjin dihidupkan sebelum dia berlalu meninggalkan Fatimah Zahrah yang masih kaku tercengang.
“Kalau ye pun nak buat drama angau overboard, masuk la dalam rumah dulu. Zakir sejuk ni. Dah la banyak nyamuk. Tak pernah dibuat orang dating depan rumah awal-awal pagi macam ni.” Zakir menyergah. Dia menggosok-gosok lengan bagi menambah haba untuk menghilangkan kesejukan.
“Shut up!!!”
“Abang!!! Kakak angau!!!” laung Zakir separuh menjerit sebelum kemudiannya pipi tembamnya menjadi mangsa cubitan.
“Shut up atau besok tak payah makan!!!” Fatimah Zahrah sudah mengutuskan blackmail.
Zakir hanya mengangguk perlahan. Mereka kemudiannya sama-sama bergandingan menuju ke dalam rumah sebelum kemudiannya suasana bertukar gamat dengan usikan.
“Besok abang nak bagitahu mak ngan ayah yang dieorang bakal dapat menantu!!!” giat Hassan. Tadi, sewaktu sampai di depan pintu pagar dia terkejut melihat Zarir berdiri di luar kereta menghadap rumah mereka. Disangkakan perompak beretika mana yang datang dengan berbaju kemeja dan khakis, rupa-rupanya Zarir. Zarir kemudian melangkah perlahan merapatinya sebelum menerangkan niat serta nawaitunya kenapa dia singgah di teratak itu awal-awal pagi begini. Hassan yang pada awalnya terkejut sempat meleret senyum.
“No biggie. Tunggu sini kejap. Aku panggil dia turun turun, my adik ipar.” Ketawa mereka berdua pecah.
Malam itu Fatimah Zahrah tidur dengan wajah merona merah.