Friday, April 19, 2013

Nota Untuk Dia - Beza

Tak semua orang suka apa yang kita suka, tapi kita selalu cakap, 'Ada aku kisah?' Kalau aku diberi peluang untuk jumpa mereka yang macam ni, aku akan cakap, 'Ya, kau memang perlu kisah. Sebab bila dah masuk fasa berumah-tangga nanti, 'kisah' tu lah yang akan menentukan hala tuju samada kekal utuh atau jadi ranap dan punah ranah. 

Maaf, beremosi sikit. Tapi harap tak ada yang hatinya sakit.

Masih belajar dan bertatih untuk terus ambil 'kisah'. 




"Tengok apa tu?"

"Kucing? Kenapa dengan kucing?"

 "Saja tengok-tengok...Mana lah tahu nanti awak bagi saya bela seekor dua..."

"Hah?"

"Kalau saya di beri peluang untuk bela kucing, saya nak bela kucing jenis American Short Hair dengan Bengal. Cantik!"

 "Tak ada maknanya. Cantik tak cantik. Awak tahu kan saya takut kucing? Awak tak kesiankan saya?"

"Sebab kesian lah saya nak bela kucing. Dapat juga dia teman awak dan si kecik tu nanti bila saya tak ada. Tak adalah awak dan si kecik sunyi sangat."

 "Hisy...tak nak lah...cerewet. Buatnya dia cakar semua sofa dan langsir yang ada ni macamana?"

"Potonglah kuku dia setiap minggu. Trim jangan bagi panjang dan tajam."

"Mengarut..."

"Bhahahahaha..."

"Jangan gelak...saya serius ni."

 "Ala, kalau dah kucing tu cakar sofa dan langsir awak, sekurangnya dia dah membantu awak. Kira bagus apa?"

"Bagus apanya kalau dah asyik mencakar."

 "Baguslah. Sekurang-kurangnya awak ada alasan untuk minta tukar sofa dan langsir baru."

"Eeeee....pandai lah awak."

"Baru tahu ke?"

"Dah tu awak nak saya cukur ke semua bulu-bulu kucing awak tu kalau bulu dia gugur merata? Nak?"

"Awak ni, kan saya dah hadiahkan vacum cleaner untuk awak. Guna la vacum cleaner tu. Tak baik taw membazir."

 "Ada je idea awak, kan?"

"Hahaha...awak marah?"

"Tak. Geram!"

"Thehehehe...comelnya."

"Awak betul ke ni nak bela kucing?"

 "Tak lah betul sangat. Tunggu saya dah kerja full time kat darat nanti. Time tu baru fikir. Saya tak nak susahkan awak."

 "Susahkan? Maksud awak, awak tak nak susahkan saya jaga dia kalau awak tak ada. Macam tu?"

"Em...itu satu hal. Hal yang lainnya saya tak nak dera psikologi awak untuk terus-menerus terima dan hadam apa yang saya suka dan tak suka dalam satu masa. Takut nanti awak tak boleh terima dan 'muntahkan' balik semua. Lagi haru nanti jadinya. Benda-benda yang melibatkan penerimaan ni memerlukan masa. Perlu diperkenalkan secara berperingkat. Awak takut kucing, tak kan tiba-tiba saya nak bela dan letak kucing tu dalam rumah. Tak cukup tanah awak lari nanti. So, apa yang perlu saya buat, kenalkan awak pada haiwan yang bernama kucing tu dulu. Terangkan sifat dan tabiat dia. Jelaskan ciri-ciri fizikal dia. Apa yang kucing tu suka dan tak suka. Dari situ baru boleh pupuk minat awak untuk membelanya. Bukan dengan menakutkan awak atau momokkan awak dengan benda yang tak sepatutnya. Kucing ni pun beremosi macam manusia. Adakalanya dia bad mood sebab putus cinta dan adakalanya dia hepi sebab dapat keluar date dengan kucing yang berlainan jantina. Jadi, kenalah belajar untuk memahami emosinya. Tak boleh main terjah je. Dia tak agan gigit atau cakar kalau dia rasa tak terancam. Kalau terancam, barulah dia terkam."

 "Em...okay. Tapi kalau saya tetap tak boleh bela kucing tu nanti macamana?"

"Saya akan hormati keputusan awak. Itu namanya meraikan perbezaan. Kerana perbezaan itulah yang menyatukan kita. Perbezaan tu perlu ada, sekurang-kurangnya nanti kita boleh gaduh-gaduh manja bila berdebat tentang sesuatu perkara."

"Macam tu ke? Tapi kenapa ramai je pasangan (lelaki/perempuan) yang tak suka bila pasangan (perempuan/lelaki) mereka punya pendapat atau minat yang berbeza antara mereka?"

"Sebab mereka tak meraikan perbezaan yang sedia ada. Awak tak akan jumpa waima awak ronda keliling dunia dengan pasangan yang berkongsi rasa yang sama. Awak, kopi tu sifatnya hitam pekat, likat. Kelat. Kalau kita minum kosong macam tu sah-sah herot muka, silap-silap boleh tersedak. Tapi cuba campur susu. Tak ke berbeza rasa dan sifatnya. Kopi yang tadinya hitam pekat akan berubah warna. Kopi yang tadinya kelat tu akan berubah rasa. Rasa kopi yang tadinya kelat akan berkurang, diganti pula dengan rasa manis, lemak berkrim yang memberi umphhh yang sukar untuk kita gambarkan."

"Betul juga. Sebab tu Allah ciptakan siang dan malam. Kan?"

 "Em...Sebagaimana diturunkan hujan selepas kemarau yang panjang."

 "Setuju..."

"Kalau setuju, buatkan saya kopi secawan. Boleh?"

"Boleh. Nak campur susu?"

"Tak nak. Saya tak suka susu."

No comments:

Post a Comment