Monday, November 8, 2010

[sAY]

SAY

DALAM kesamaran cahaya yang menerangi ruang kamar tidurnya, dia berusaha untuk membuka mata. Berpinar-pinar. Kepalanya masih lagi berdenyut. Migrain yang menyerangnya sebentar tadi masih lagi menguasai. Belum ada tanda-tanda yang menunjukkan migrain itu akan pergi. Dia mengurut-ngurut kepala. Cuba untuk mengurangkan dan memberikan kelegaan segera  pada tekanan yang memusat di kepala.

                Masih juga belum reda.

                Dia memisat-misat kedua biji mata, dan kemudian meraup muka.

                Jam Fossil yang melingkari pergelangan tangan kirinya ditanggalkan dan diletakkan diatas rak buku yang terletak dihujung katil. Sebelum itu, dia sempat memandang muka jam tersebut sekilas.

Jam 3.34 minit pagi.

Hampir lima jam lamanya dia dibawa ke alam mimpi setelah dirinya tadi bertarung dengan sakit kepala seolah-olah ditusuk duri. Dia memutuskan untuk tidur dari mengambil ubat tahan sakit yang hanya akan memberikan kesan negatif suatu hari nanti. Dia tidak mahu terlalu bergantung dengan preskripsi. Dia memang begitu, pantang diasak dengan sesuatu masalah, pasti kepalanya berdenyut tak sudah-sudah. Biar disua dengan pelbagai jenis ubatan, dia tidak akan sesekali telan jauh sekali untuk dia kemam.

‘Utamakan hati. Diterima atau tidak, itu perkara kemudian. Yang penting hati sudah menerima jawapan.’ Kata-kata itu hanya bermain di fikiran. Tidak terluah dengan perkataan. Kata-kata yang dipetik dari novel grafik Hanya karya Fakhrul Anour masih segar di ingatannya biarpun novel grafik itu telah dia khatam hampir sepuluh kali sejak tiga tahun yang lalu.

 Entah mengapa fikirannya benar-benar berkecamuk kala itu. Ada sesuatu yang menganggu. Perasaannya berperang sesama sendiri. Itulah punca kepada kesakitan yang dihadapinya sekarang.

Dia sebolehnya cuba untuk bertenang biarpun jiwanya bergelandangan.

Untuk kesekian kalinya dia meraup muka dan setelah itu kedua tangannya yang disilangkan pada jemari kiri dan kanan di bawa ke belakang kepala. Dia menutup mata. Cuba menyuntik sebanyak mungkin dos-dos semangat untuk mengubati perasaan resah dan gundah yang mengulitinya.

“Utamakan hati!”dengan mata yang terpejam rapat, suaranya berdesir perlahan.

Dia kemudian bangkit berdiri, berjalan menuju tingkap memandang dada langit yang suram tiada berbintang. Panahan cahaya bulan hampir tidak kelihatan dilitupi tebal awan. Rintik hujan masih lagi kelihatan. Biarpun renyai, ianya sudah cukup untuk membuatkan suasana malam itu dibaluti kedinginan. Malam yang panjang.

Pandangan kosong itu kemudiannya beralih. Tiada apa yang menarik perhatian. Dia menundukkan pandangan. Matanya dipejamkan. Rapat.  Air matanya yang mengalir keluar dari hujung mata kemudiannya diseka. Air mata itu keluar mengalir tanpa dipinta bersama renyai dan derai hujan yang gugur melata membasahi lantai bumi.

Saat ini jiwanya terganggu. Dia sendiri tidak mengetahui asbabnya. Perasaan itu hadir tanpa dia sendiri sedari. Dia jadi tidak keruan saat mendengarkan pengakuan dari seorang perempuan yang selama ini menjadi teman rapatnya punya teman istimewa. Dia cuba untuk berlagak seolah tiada apa, biarpun getar rasa menebak dada.

Cemburu?!

Tapi untuk apa?

 Kenapa perlu ada rasa cemburu, sedang hatinya sendiri masih lagi keliru?

Dia tidak pernah menyuarakan hasrat hatinya. Tidak pernah mengiyakan atau menidakkan rasa hati kerada dia tahu syariat membataskan segala. Dia tidak mahu terus hanyut, leka dan alpa dengan cinta dunia. Cinta sementara.

Daun tingkap yang terbuka luas kemudian ditariknya perlahan. Kes peningkatan demam denggi sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak memberikannya peringatan bahawa sakit itu datang tanpa perlu diundang!

Mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Itu yang pasti.

Dia kemudian berjalan keluar dari kamar tidur. Seketika, dia kembali dengan kesan basahan di beberapa bahagian anggota badan. Kedua anak matanya kemerahan.

                Wudhuk.

                Dia masih belum menunaikan kewajipan.Rukun Islam kedua belum lagi dilunaskan. Sebentar tadi, sebelum dia dibawa ke alam mimpi, dia masih belum lagi menunaikan solat fardhu Isya’. Mujurlah dia dikejutkan di sepertiga malam dan masih diberikan kesempatan untuk menyempurnakan amalan.

                Sejadah yang disampirkan di ampaian di sisi bilik dicapai dan dibentangkan. Saat tubuhnya berdiri tegak mengadap kiblat, mulutnya kumat-kamit melantunkan sesuatu. Membaca surah-surah lazim dari Al-Quran sebelum mengangkat takbir memuji keagungan Tuhan. Dia larut dalam penghayatan dalam interaksinya dengan Allah s.w.t, Tuhan pemilik sekalian alam. Pemilik jiwa-jiwa yang lemah dan kontang.

                Dia sekali lagi berdiri medirikan solat sunat setelah membaca doa ringkas. Dia ingin mengadu untung nasibnya pada Tuhan. Dia tidak mahu hanyut dibuai perasaan yang bukan-bukan. Mencintai seorang perempuan yang bukan muhrim memang satu anugerah, tapi dia tidak mahu anugerah itu nanti bertukar menjadi musibah. Benar, cinta adalah fitrah. Tetapi dia merasakan yang sebaiknya adalah mengembalikan cinta itu kepada pemilik cinta yang hakiki. Kerana Dia tidak pernah memungkiri janji dan selalu ada menemani saat cinta manusia itu dikhianati.

                Usai mengerjakan solat, dia menadah tangan bermunajat pada Yang Maha Kuasa. Dalam dialognya, dia mengadu akan kelemahan diri yang selalu berbolak-balik hati. Dia memejamkan mata bilamana butir jernih memenuhi kolam mata. Tanpa berselindung, butir-butir jernih itu gugur juga dari tubir mata membasahi kedua pipinya.

“Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu...”




No comments:

Post a Comment