NOTA 2
"Kau ni gila ke apa?" terpacul soalan dari mulut Kamarul. Air bandung yang disisipnya sebentar tadi berhamburan di meja makan. Kamarul mengesat sisa air yang meleleh keluar dari mulutnya dengan belakang tangan. Dia memandang sekeliling takut-takut ada mata yang memandang. Setelah memastikan tiada mata yang memandang, dia kembali memalingkan muka dan menatap seraut wajah temannya yang duduk berhadapan. Kawasan kafetaria kala itu lengang. Hanya segelintir pelajar yang kelihatan sedang asyik menikamati hidangan tanpa mempedulikan palajar-pelajar lain yang lalu – lalang. Ada juga segelintir pelajar yang mengambil peluang untuk mengisi masa terluang dengan insan tersayang. Menikmati hidangan bersama pasangan tersayang adalah saat paling mendamaikan pada pandangan mata mereka tanpa mempedulikan cakap-cakap belakang tentang apa yang mereka lakukan. Kuasa cinta.
"Kau dah gila ke?" Kamarul mengulangi persoalan. Dia mengambil beberapa helai tisu dan kemudian mengelap titisan air bandung yang terpercik di hampir keseluruhan meja.
"Kau tu yang gila, minum pun habis nak sembur sana-sini. Habis basah baju aku." ujar Faris geram sambil tangannya asyik mengelap sisa percikan yang terkena bajunya.
"Salah kau jugak, yang kau bagi aku soalan cepu cemas siapa suruh." Kamarul mencemik. Geli hatinya melihat gelagat sahabatnya yang asyik mengelap sisa tumpahan.
"Tunggu kejap. Aku nak basuh baju aku ni. Habis bau bandung satu badan. Sia-sia aku pakai One Drop pagi tadi." Faris bingkas bangun meninggalkan meja makan menuju sinki. Kamarul yang duduk di hadapannya hanya memandang dengan ekor mata.
Sebentar kemudian Faris kembali, menarik dan melabuhkan punggungnya di kerusi. Hampir suku bajunya basah. Kamarul yang sedari tadi memerhati tergelak kecil.
"Sorry dude, aku memang tak sengaja. Lain kali kalau nak tanya soalan tu agak-agak la." Kamarul menghulurkan tisu pada Faris.
"Ey, apa da. Aku jugak yang salah. Tapi betul kan apa yang aku tanya tadi?" Faris kembali menyambung perbualan yang terhenti. Bajunya yang basah dibiarkan kering sendiri. Dia menyisip minumannya yang masih berbaki.
"Tak ado makno ea jang. Aku dengan Sofea tu kenal pun tak, nak couple apa ke bendanya. Kau gila ke apa? Dari mana lah kau dengar cerita-cerita tahyul ni. Cuba story kat aku. Siapa yang bagitahu kau? Daus? Shafiq? Lah? Meh sini biar aku starlite dahi diorang laju-laju." getus Kamarul geram. Dia ingin tahu siapakah gerangan yang membawa mulut bercerita itu dan ini tentang dirinya dan mahasiswi bernama Sofea. Mindanya ligat merakam dan mencerna imej segelintir sahabatnya yang nakal yang mungkin berniat untuk menyakatnya.
"Kau jangan nak tipu aku la Kam. Aku dengar dari satu sumber yang rapat dengan Sofea tau. Kira memang confirm leh cayo punyolah." Faris membuat muka. Ada riak gembira terpancar dari wajahnya melihat sahabatnya yang satu itu tidak senang duduk mendengar perkhabaran. Khabar angin yang bertiup mengatakan bahawa sahabatnya itu menjalinkan hubungan dengan Sofea semakin kencang. Sesekali membawa bersama haruman dan wangian cinta yang memenuhi ruang angkasaraya. Faris meleretkan senyuman untuk menambah derita di hati Kamarul. Kali ini terperangkap. Dia tidak mampu lagi mengelak. Sebagai Pengerusi Kelab Ikatan Kasih Rumpun Anak-Anak Melayu (IKRAM), Faris sememangnya mengambil berat kebajikan setiap anak buah yang berada di bawah jagaannya. Walaupun Kamarul adalah senior, tapi senioriti itu sendiri tidak pernah menjadi halangan buat Faris dan ahli kelab lain untuk saling mengenali dan mendalami hati budi setiap ahli.
Sepanjang keberadaan Kamarul dalam kelab, dia dapat melihat ‘keluarga’ yang dahulunya kecil semakin membesar. Fokus kelab bukan hanya kepada pembangunan akademik semata, tetapi juga pada pembangunan sahsiah. Kelab IKRAM sendiri adalah perintis kepada program-program yang berbentuk akademik dan motivasi di mana setiap ahli dilatih untuk menjadi fasilitator atau pemudah cara. Sasaran kelab adalah pelajar-pelajar sekolah. Ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Inisiatif sebegini diambil bertujuan untuk memperkasa jati diri dan memperbaharui azam dan iltizam anak bangsa agar terus bangkit maju menongkah arus perdana yang penuh variasi tanpa mengenakan sebarang bayaran. Semuanya dijalankan atas dasar memberi. Ikhlas dari hati.
Isu yang diperdebatkan hari ini antara Kamarul dan Faris berkisar pada seorang mahasiswi yang Kamarul sendiri tidak pasti siapa empunya diri. Nama siswi itu begitu asing padanya. Sangat asing. Dia langsung tidak mengenali Sofea. Tetapi warga kampus heboh memperkatakan hubungannya dengan Sofea. Kamarul hilang punca. Entah siapa gerangan Sofea? Kamarul kadangkala menjadi titk fokal warga kampus. Dia adalah antara public figure yang bermasalah. Dan kebanyakan masalahnya melibatkan lawan sejenisnya. Dalam bahasa mudahnya, perempuan. Kamarul adalah player tetapi dia juga adalah ketua fasilitator kelab selain memegang jawatan Exco Majlis dan Protokol Jawatankuasa Perwakilan kolej serta memegang portfolio sebagai Exco Aktiviti Komander Kesatria. Sisi gelap dan terang disatukan bersama membentuk prisma warna dan membiaskan cahaya yang menyilaukan mata.
"Siapa?" soal Kamarul serius. Matanya dibulatkan. Soalan yang diajukan tadi masih belum dijawab Faris. Dia masih setia menanti Faris menjawab persoalan yang diajukan.
"Kau beritahu aku dulu, betul ke idak?" Faris berbasa-basi. Sesekali terdengar loghat Kuala Kangsar meniti bibirnya. Faris cuba melancarkan perang psikologi terhadap ketua fasilitator kelab yang selama ini kebal dengan segala bentuk emosi walau diasak dari segenap sisi.
"Aku pun tak tahu pape la Ris, nak beritahu apanya." tegas Kamarul. Dia sebolehnya cuba untuk berlagak tenang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia cuba menyembunyikan getar rasa yang mula bersarang, sedangkan pada hakikatnya paluan gendang di hatinya tidak lagi memainkan irama seragam. Temponya tidak lagi sehaluan.
"Kau cuba ingat balik, aku rasa kau mesti dah lupa ni. Kau kan player. Semua perempuan cantik kat kampus ni kau kenal." Faris cuba mengusik. Dihadapannya, Kamarul kelihatan ligat berfikir. Dagunya ditongkah dengan kedua tangannya. Mencari helah bagi menangkis setiap persoalan yang diajukan.
"Amboi, manis mulut berbicara nampak. Nak rasa makan bersuap minum pakai wayar ke?" canda Kamarul.
"Eh, tak. Aku gurau je."
"Nasib baik. Kalau tak, memang arwah seorang yang baik lah jadinya. Sambung balik cerita, aku nak tahu siapa Sofea tu? Kamarul kembali menyoal. Fikirannya kusut saat nama Sofea disebut-sebut. Dia langsung tidak mengenali gerangan siswi tersebut. Dia cuba untuk mengingati setiap inci wajah kawan-kawan perempuan yng dia ada. Wajah Sofea tiada disitu.
"Budak yang kau tarbiah kat library hari tu. Ingat?" tingkah Faris. Dia cuba mengembalikan kembali ingatan Kamarul yang telah hilang. Mungkin terlalu banyak nama siswi yang mengisi ruang storan di mindanya. Mungkin juga memorinya sudah tidak lagi mampu menampung kapasiti nama Sofea kerana telah penuh.
"Eh, jap..jap. Nama dia Sofea ke? Mana kau kenal dia?" Kamarul kembali menyoal. Terbayang jelas diwajahnya kelibat siswi yang dimarahi tempohari. Masih segar diingatan. Mana mungkin dia melupakan peristiwa ‘bersejarah’ yang telah menghiasi sebahagian dari lipatan sejarah hidupnya.
"Tak kenal apanya, dia junior kelab kita. Kau tu yang senget. Kau lupa ke dia ada masa induksi kita hari tu?" Faris cuba memberi gambaran. Cuba mengingatkan.
Kamarul mula gelabah. Tidak senang duduk.
"Alamak. Betul ke? Masak la aku macam ni. Tapi serius dude, aku memang tak perasan dan aku memang tak ingat langsung muka junior-junior kelab. Aku tak tahu pun dia tu budak kelab kita. Dia ada bagitahu apa-apa kat kau?"
"Mestila ada.”
“Apa dia cakap?” pintas Kamarul.
“Dia cakap kau maki dia berbakul-bakul sampai dia menangis pun kau boleh blah masuk library macam tu je.”
“Lagi, apa dia cakap?” Kamarul seolah-olah tidak sabar untuk mendengar setiap penjelasan dari Faris.
“Dia cakap kau pun salah sebenarnya."
"Apa pulak. Dia tu yang buta. Jalan bukan nak pandang depan. Salahkan aku pulak. Nasib baik aku bagi bakul, kalau aku bagi dulang ke, tempayan ke, lagi haru."
"Tapi kau tak patut buat macam tu. Dia tu perempuan." Faris cuba berhujah. Tindakan Kamarul dirasakan tidak wajar.
"Tak patut sebab dia perempuan?” Kamarul meraup muka. “ Sebab dia perempuan lah aku buat macam tu, kalau lelaki, tak ada maknanya aku nak maki hamun. Tak pasal-pasal lobam biji mato den ni hah..." tungkas Kamarul. Jari telunjuk di tunjukkan ke mata kanannya. Dia cuba mempertahankan apa yang telah dia lakukan sebelum ini. Langsung tidak menyesali apa yang telah dia lakukan.
**********
“Woi, jalan tengok depan la. Tak ada mata ke?!!!”. Bentak si jejaka. Marah benar dia dengan apa yang berlaku. Buku dan kertas yang dikeleknya tadi, jatuh bertaburan di lantai. Bertebaran disana-sini.
“Menyusahkan orang je. Ada mata, gunalah!!!”. Omelnya. Mulutnya kumat-kumit melantunkan leteran tanpa henti. Hatinya masih panas. Tangannya pantas mengutip dan mengumpulkan buku dan kertas yang bertebaran. Langsung tidak mengangkat muka atau memandang wajah si gadis yang kelihatan masih terkejut kerana ditengking dan dimarahi atas apa yang terjadi.
15 Minit sebelumnya.
“Ok kelas, jangan lupa. Submit your assignment sebelum jam 12 tengahari. Sesiapa yang lewat, jangan harap saya akan terima ‘sampah’ you all semua! Ucap Profesor Amir dalam nada penuh tegas.
“Prof, kalau submit petang nanti, boleh tak?” Seorang pelajar siswi mengutarakan soalan.
“Before noon. Ok? Got a problem?”
“Tapi prof...”
“Tak ada tapi-tapi. Submit before noon. Atau, just drop your piece of scrap into the dustbin!!!” Tingkah Profesor Madya Encik Muhammad bin Abdul Razak. Kali ini nadanya sedikit tinggi. Ianya cukup untuk membuatkan kelas pagi itu sepi tanpa ada satu suara yang berani membantah. Jika ada bantahan sekalipun, ianya hanya berlegar di relung hati. Bantahan hanya akan menimbulkan padah. Sesiapa yang membantah juga tidak terkecuali menerima nasib buruk dan ‘sumpahan’ dari MSK. ‘Mr Silent Killer’. Pernah suatu ketika, seorang pelajar digagalkan keputusan peperiksaan akhir hanya kerana membantah arahan yang keluar dari mulut “Mr Silent Killer”.
“Baik prof.” Luah pelajar siswi tadi. Ada riak kecewa yang berbekas di wajahnya.
Ok,so we dismiss our class today. See you soon guys.” Profesor Madya Encik Muhammad Abdul Razak berlalu meninggalkan dewan kuliah tanpa menghiraukan sebarang permasalahan yang timbul dari kalangan kami. Jelas kedengaran keluhan suara-suara halus yang membisikkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Profesor Madya Encik Muhammad Abdul Razak. Namun keluhan mereka tenggelam di halkum saat berdepan dengan ‘pembunuh senyap’ sebentar tadi.
Kamarul juga tidak terkecuali.
Cepat-cepat dia kemaskan segala buku dan nota yang dia salin sepanjang pembelajaran sebentar tadi. Dia ingin segara ke perpustakaan mencari sedikit bahan untuk assignment yang diberi. Jam yang melingkar di tangan dikerling.
“Gila apa orang tua ni?! Satu jam untuk assignment, period ke apa? Mana sempat nak siap.” rungut Kamarul sendiri. Mulutnya kumat-kamit mengalunkan ‘zikir; yang hanya dia mengerti.
Kamarul menyandang beg dan kemudiannya melangkah keluar meninggalkan dewan kuliah yang semakin lengang. Hanya tinggal beberapa pelajar siswi dan siswa yang masih berborak sesama sendiri tanpa dia tahu butir bicara dan topik perbincangan mereka. Mungkin masing-masing merencana strategi untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Mungkin.
Langkah kaki dipercepat. Kamarul cuba mengejar masa. Tempoh masa satu jam adalah amat berharga padanya. Apa yang dia bimbangkan, kalau-kalau tika ini perpustakaan dipenuhi pelajar lain yang juga sepertinya. Ingin mencari bahan bacaan dan mengulangkaji, dan ada juga segelintir pasangan yang mabuk cinta mengambil kesempatan untuk menganyam rasa kasih dan sayang, merakam gambar pasangan dan kemudiannya bergelak-tawa dari membelek dan meneliti nota kuliah. Suasana begitu adalah rutin harian yang dapat disaksikan dan nyatanya, ianya amat menjengkelkan.
Setibanya di perkarangan perpustakaan, Kamarul mengeluarkan buku dan salinan nota dari beg sandang yang dia bawa, sebagai rujukan bagi menyiapkan tugasan yang dibekalkan sebelum meletakkannya di dalam loker yang telah disediakan. Dan sebelum sempat dia membuka pintu utama perpustakaan, Kamarul terjatuh akibat daripada dorongan pintu kaca yang ditolak dengan kuat oleh seseorang dari dalam.
“Woi!!!, agak-agak la, jalan tengok depan. Tak ada mata ke?!!!”. Kamarul membentak pada gadis ‘buta’ yang membuatkannya terjelopok jatuh menyembah lantai. Marah benar dengan apa yang berlaku. Buku dan kertas yang dia kelek sebentar tadi, jatuh bertaburan di lantai. Bertebaran disana-sini. Mata-mata yang melihat kejadian itu hanya memerhati dari jauh dan ada di antara mereka yang datang mendekati.
“Menyusahkan orang je. Ada mata, gunalah, jangan letak kat lutut!!!”. Omelnya. Mulutnya tidak henti-henti melantunkan leteran. Hatinya benar panas. Dia angsung tidak mempedulikan pada mereka-mereka yang memerhati. Belum sempat masalah Profesor Madya Encik Muhammad Abdul Razak diselesaikan, timbul pula masalah baru.
“Yang kau tercegat je kat situ apahal, tak reti-reti nak tolong?!!! Bentak Kamarul lagi. Terkonyoh-konyoh si gadis tadi tunduk menolong mengutip kertas yang bertaburan, menyusunnya dan menyerahkan kembali pada Kamarul. Takut benar dia untuk bersemuka dengan Kamarul. Dia hanya menundukkan wajah tanpa memandang ulas wajah Kamarul yang merona merah menahan amarah.
“Ma..ma..maaf. Saya tak sengaja.” Tersekat-sekat gadis itu menuturkan bicara. Masih tunduk. Kamarul hanya merengus.
“Kau bawa maaf kau tu, kau cuba jual kat pasar. Nak tengok berapa ringgit kau dapat!!!”
“Tapi, bu...bu...bukan sa...saya je yang salah. Awak pun salah sebenarnya, awak sepatutnya beri peluang kami keluar dulu.” Tutur si gadis itu lagi. Ada sedikit keberanian yang disuntik dalam tuturnya.
“Kau langgar aku, lepas tu kau salahkan aku tak tengok kiri-kanan. Kau tu yang buta. Ni pintu kaca la mak cik, bukannya kayu. Kau boleh nampak aku kat luar ni. Mata kau tu da campak kat mana, hah???” Kamarul menuding dua jari hampir ke mata siswi tadi. Dia cepat-cepat tunduk menutup mata bila Kamarul berbuat demikian. Wajahnya kemerahan. Malu mungkin setelah diperlakukan demikian.
“Agak-agakla saudara, kawan saya tu.” Kedengaran satu suara cuba menempelak tindakan Kamarul.
Kamarul bingkas bangun. Menepuk-nepuk habuk dan debu yang tertempel di seluar. Sebahagian daripada nota yang ada pada tangan si siswi direntapnya deras. Gadis itu terkejut dengan tindakan kasar Kamarul. Kamarul hanya memandang si siswi dengan ekor mata, meninggalkan si siswi tadi yang masih terduduk di muka pintu.
“Kau jangan sibuk boleh? Ini hal aku dan si buta ni. Lepas ni, kau tolong ajar kawan kau ni berjalan dengan lebih beretika supaya tak menyusahkan orang lain.” Tegas Kamarul sambil berlalu melintasi si gadis. Rakan-rakannya yang lain memandangnya penuh benci. Mungkin mereka marah pada Kamarul kerna tidak menerima lafaz maaf sahabatnya dan juga menolak untuk menerima kesalahannya sendiri.
“Kereknya mamat tu. Berlagak habis.” Luah seorang rakan siswi tersebut.
“Dia tu bukan ke...” belum sempat si gadis tadi meneruskan bicara, timbul pula suara siswi lain memotong percakapannya.
“Dia dengan poyo dia tu sama tinggi je, pegi mati je orang macam tu.”
“Sofea, kau ok?” Salah seorang rakan si siswi cuba membantu Sofea untuk berdiri. Mereka sama-sama memapah Sofea dan kemudiannya berlalu meninggalkan perpustakaan.
Di dalam perpustakaan, Kamarul mengambil meja di satu sudut paling hujung. Sebolehnya dia cuba untuk menenangkan diri. Memeberi ruang dan privasi yang cukup untuk diri sendiri. Dan sebolehnya dia cuba mencari ketenangan agar dapat dia sejukkan sekeping hati yang takat didihnya masih lagi berbaki. Masih ada mata yang memerhati, tetapi Kamarul langsung tidak ambil peduli. Dia capai sehelai kertas dan terus larut dalam tugasan yang diberi tanpa menghiraukan kelibat yang lalu lalang. Dia benar-benar larut dalam penghayatan.
“Fuh...siap akhirnya. Harap orang tua tu puas hati. Kalau dia reject, masak aku dibuatnya. Tapi minta-minta semuanya selamat. Aku akan pastikan aku grad semester ni.”
Usai menghantar tugasan, Kamarul melangkah meninggalkan bangunan pentadbiran menuju kawasan parkir motosikal untuk keluar makan tengahari. Terik mentari tengahari itu benar-benar menyengat. Udara panas semilir mengalir. Meghembuskan bahang panas. Jelas kelihatan hampir keseluruhan rumput yang baru di tanam di kawasan kampus layu kekuningan kesan dibakar hangat mentari. Seolah-olah tidak mampu hidup dan bertahan dengan darjah kepanasan yang kadangkala mengalami peningkatan melampau.
Di kejauhan, tampak berbalam-balam susuk tubuh siswa dan siswi berjalan bergandingan menuju kenderaan masing-masing. Tika ini, siswa dan siswi berpusu-pusu keluar untuk menikmati hidangan tengahari dan menyisip segelas air bagi menghilangkan rasa haus dan dahaga yang menjalar.
“Bumi semakin panas. Makin gering.” Getus Kamarul dalam hati. Butir-butir jernih mula berbunga di dahi. Mengalir dan kemudian titisan jernih itu gugur ke bumi. Titis jernih berbau keringat.
Sementara itu di sebuah gerai makan berhampiran kampus, kelihatan Sofea yang sedang menangis ditenangkan rakan-rakannya. Dia menangisi perihal yang menimpanya sebentar tadi. Benar, dalam soal tadi, dialah yang bersalah. Tapi baginya, dia tidak berhak untuk dimarahi apatah lagi diherdik dengan penuh berani oleh siswa yang langsung tidak dia kenali.
“Fiya, sabarlah. Yang lepas tu biarkan je lepas. Lepas ni kalau aku jumpa mamat yang buat kau menangis sekarang ni, aku akan buat dia melutut dan minta maaf dengan kau.” Ujar Fatimah dalam loghat Sabah cuba menenangkan. Dia mengusap rambut dan belakang badan Sofea. Kasihnya pada Sofea tetumpah di situ. Geram benar dia dengan tindakan dan sikap siswa yang padanya dianggap biadab dan berlagak yang telah menyakitkan hati sahabat karibnya.
“Betul kata Fatimah, yang lepas biarkan lepas. Paling penting kita kena ajar mamat poyo tu...”ulas Ayuni.
“Aku setuju!!!” kedengaran suara Fatimah, Shazwani dan Azie separa menjerit. Hampir serentak. Mereka mula berkira-kira apakah hukuman terbaik yang perlu dikenakan pada siswa biadab tersebut.
“Apa maksud kau???” ujar Sofea menginginkan kepastian. Kedua matanya yang bundar memandang tepat wajah Ayuni. Susana hening seketika. Mereka berlima cuba merencana.
“Aku ada cara.” Shazwani mula bersuara menghalau keheningan yang hampir meraja di antara mereka.
Sejenak mereka berlima ketawa tanpa menghiraukan pelanggan lain yang turut sama menikmati hidangan makan tengahari. Tangis Sofea hilang di sebalik perancangan yang telah diaturkan untuk tujuan balas. Sakit hatinya sedikit terubat. Dia melemparkan pandangannya ke jalanraya yang sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang. Pandangannya kosong tika itu. Masih jelas tergambar setiap apa yang berlaku sebentar tadi di ruang matanya.
“Assalamualaikum, pak cik” Kamarul menghulurkan salam pada pemilik kedai yang berusia hampir separuh abad usai memarkir motosikalnya dibawah pokok mangga yang merendang. Sempat dia melemparkan senyum seraya berjabat tangan. Kamarul adalah antara pelanggan tetap yang selalu mengunjungi warung yang lokasinya hampir 1 kilometer dari pintu utama kampus. Letaknya betul-betul di hadapan papan tanda Kampung Pertama dan Masjid Batu Kampung Pertama.
“Wa’alaikumussalam. Lama tak jumpa. Sibuk ke?” Soalnya selepas menjawab salam yang diberi.
“Biasalah pak cik, student macam saya ni mana penah nak senang. Sibuk je memanjang.”
Kamarul menjawab persoalan. Sekadar berbasa-basi.
“Mai sorang ja ka?” soalnya lagi dalam pekat loghat Pulau Pinang. Tangannya pantas mencedok nasi ke dalam pinggan dan menyerahkannya pada Kamarul.
“Haah. Datang sorang je. Orang rumah sibuk.” Kamarul cuba bergurau. Perkataan orang rumah yang keluar dari mulutnya sengaja dia tekankan. Seketika, kedengaran hilai-tawa mereka berdua berhamburan.
Tengahari itu Kamarul makan dengan penuh nafsu. Masakan tidak, lauk-pauk yang terhidang dalam pinggannya cukup untuk membuat sesiapa yang memandang kecur liur. Ikan bakar, air asam, sedikit ulaman, sayur kangkung masak belacan dan air durian belanda. Juadah yang selalu dia inginkan. Sesekali, juadah sebegini mengingatkannya pada kampung halaman. Mengingatkannya pada susuk tubuh tua yang selalu setia menyediakan juadah dan hidangan kegemarannnya bilamana dia pulang kampung halaman. Betapa dia rindu pada air tangan ibunya. Emosi Kamarul mula berkecamuk.
“Kam...woi Kam!” Faris separa menjerit. Kamarul di hadapan tetap tidak memberi sebarang reaksi. Masih kayu. Membatu. Faris mengambil seketul ais di dalam gelas di hadapannya dan bersedia untuk membuat balingan jarak dekat. Sasarannya adalah Kamarul yang kekal berteleku di hadapan.
“Woi Kam!!! Jauh mengelamun!.” Kamarul tersentak. Lamunannya terhenti. Kembali ke alam nyata setelah beberapa minit lamanya dia hanyut dalam khayalan. Ketulan ais yang dilemparkan Faris sebentar tadi tepat mengenai dahi Kamarul. Headshot!
*****